Wednesday, October 31, 2007

Kontrak Kasih

2 Februari 2005

Anuar termenung sendirian merenung Selat Tebrau yang begitu tenang tanpa ombak yang memukul pantai. Suasana sungguh berbeza dengan jiwa Azman yang begitu berkocak. Dia tidak pasti keputusan yang harus dia buat dengan tawaran yang diberikan oleh Nadia. Perkenalan Anuar dan Nadia yang pada mulanya hanya antara seorang pelajar dan pensyarah berubah menjadi intim. Memang suatu hubungan yang pelik. Anuar merupakan pelajar separuh masa yang baru berumur 28 tahun. Dia sudah beristeri dan mempunyai 2 orang cahaya mata hasil perkahwinan 4 tahun lalu dengan Hafiza. Perkahwinan yang begitu bahagia, isteri yang begitu setia serta memahami suami yang selalu sibuk dibebani tugasan kerja dan belajar, dihiasi pula dengan sepasang cahaya mata yang comel dan bijak. Semuanya kelihatan begitu indah. Namun dalam keindahan itu muncul pula insan lain dalam hidup Anuar... Nadia... Pensyarah bujang yang kini telah menjangkau usia 38 tahun. Nadia memang seorang wanita yang dianggap berjaya dalam kerjaya berkelulusan Doktor Falsafah dan kini dia bergelar Profesor. Mungkin kerana terlalu mengejar kerjaya itulah sehingga dia terlupa kepada tugas yang diamanahkan tuhan untuk mencari pasangan hidup.

Anuar memang seorang yang berfikiran terbuka dan peramah.. dan atas sikap itulah, Anuar secara tidak sengaja pernah bertanya soalan peribadi kepada Prof Nadia tentang pasangan hidup. Semenjak dari saat itu mereka sering berbincang tentang perkahwinan, anak dan akhirnya poligami. Nadia yang sebelum ini tidak pernah terfikir tentang itu semua kini semakin risau dengan usia yang semakin meningkat. Dia merupakan anak tunggal yang boleh dikatakan kaya. Punya kereta besar dan banglo mewah. Kini Nadia mula berfikir tentang pewaris hartanya, siapa yang akan menjaganya dikala dia tua kelak dan siapa yang sanggup menjaganya dikala dia sakit dan tidak berdaya. Tambahan pula masa semakin suntuk untuknya untuk mendapatkan anak. Perkara yang tidak pernah dia fikirkan dulu, kini sentiasa bermain diminda apabila Anuar mengajukan persoalan itu kepadanya. Nadia semakin risau.

Perkenalan mereka yang semakin rapat akhirnya telah menyebabkan Nadia menawarkan perkahwinan Kontrak kepada Anuar. Perkahwinan kontrak yang sememangnya agak pelik. Tapi itulah cadangan Nadia kepada Anuar. Sebenarnya dalam status Nadia yang sebegini tiada siapa yang berani mendekatinya untuk menjadi pasangan hidup. Tiada siapa yang boleh Nadia ajak berunding tentang hal-hal sebegini melainkan Anuar. Dan akhirnya Nadia terpaksa menjadi 'perigi yang mencari timba' untuk menjadikan Anuar sebagai suami sementara, hanya untuk mendapatkan anak. Dan selepas itu mereka harus berpisah. Nadia tidak mahu perkahwinan mereka menjadi penghancur kepada keluarga bahagia Anuar dan Hafizah. Biarlah kontrak itu benar-benar difahami oleh Nadia, Anuar dan Hafizah. Kehadiran Nadia bukanlah sebagai api yang membakar sekam tapi hanya sekadar suatu pertolongan untuk menyambung zuriat. Secara teorinya memang nampak mudah tetapi praktikalnya tiada siapa yang tahu. Anuar sendiri masih tidak mampu untuk membuat keputusan. Dia seakan setuju tetapi masih tidak pasti adakah perkara yang ingin dia lakukan ini benar. Adakah dia benar-benar ikhlas untuk menolong atau sebagai mencuri peluang mengaut kemewahan dari lubuk emas yang terbentang di depan mata.


3 Mac 2005

"Aku terima nikah Nadia Bte Kamil dengan mas kawinnya dua puluh dua ringgit setengah tunai". Air mata Hafiza terus mengiringi ucapan Akad nikah yang dilafaz oleh suaminya Anuar . Entah mengapa secara tiba-tiba dia terasa begitu bodoh kerana membenarkan poligami itu. Mata Hafizah yang berlinang dengan airmata terus merenung surat kebenaran berpoligami yang di tandatanganinya dua minggu lalu. Mungkin pada waktu itu dia bagai terpukau dengan niat yang disampaikan oleh Anuar untuk membantu Nadia. Anuar memang suami yang baik dan dia yakin suaminya bukan lah seorang yang gatal atau sengaja untuk menduakannya. Tapi kini dia sedar hatinya seakan tidak boleh terima dengan kehadiran Nadia dalam rumah tangga mereka. Tiba-tiba dia terasa bagai ada satu ancaman dari Nadia. Nadia punya kerjaya yang kukuh, punyai kewangan yang kukuh dan mungkin itu mampu untuk memisahkan dirinya dan Anuar. Memang Hafizah tidak setanding dengan Nadia. Hafizah hanya seorang Pembantu Am yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia. Tetapi semuanya telah terlambat. Akad nikah telah pun dilafaz. Kini sudah sah perkahwinan antara Anuar dan Nadia. Secara tidak langsung telah sah jugalah Hafizah kini bermadu dengan Nadia. Suatu status yang tidak pernah diingini oleh insan yang bergelar wanita.

"Fiza.... Nadia..." Hafizah dan Nadia seakan bersahut lemah sesama sendiri... bersalaman kemudian berpelukan... Airmata mereka terus membasahi pipi mereka berdua... Pastinya suatu dugaan hidup yang begitu sukar perlu mereka tempuh selepas ini. Mereka harus buang segala perasaan iri hati, syak wasangka dan perlu saling memahami. Anuar mendekati Hafizah dan Nadia kemudian die memegang kedua-dua tangan isterinya lalu mengucupnya. Suatu peristiwa yang bagaikan mimpi yang dialami oleh mereka bertiga. Semuanya nampak begitu bahagia sekali. Namun dalam hati setiap mereka, tuhan saja yang mengetahui. Andaikata ada diantara mereka bertiga tidak berdiri dilandasan yang betul maka padah yang amat dahsyat pastinya akan berlaku.

Afizul Nizam dan Afizi Laili hanya memerhatikan gelagat mereka bertiga dengan penuh persoalan. Mereka langsung tidak paham dengan apa yang berlaku. "Nizam... Laili.. come here dear..." Anuar memanggil anaknya dengan penuh kasih sayang. Nizam dan Laili datang mendekati... Mereka berlima duduk berpandangan seakan satu bulatan. Tidak ramai hadirin yang datang pada majlis akad nikah itu. Ibu bapa Anuar dan ibu bapa Hafizah langsung tidak kelihatan. Mereka memang menghalang keras perkahwinan itu. Mereka semua tidak sangka Anuar yang selama ini dianggap suami mithali sanggup menduakan Hafizah demi kepentingan diri sendiri. Mereka juga menganggap Hafizah terlalu bodoh kerana memberi kebenaran kepada Anuar untuk dimadukan. Tetapi itulah hakikat hidup. Orang lain hanya boleh melihat dan menilai dari segi luaran sahaja dan sering berfikiran negatif. Mereka tidak tahu apa yang sedang berlaku dan tidak tahu kontrak antara Anuar, Hafizah dan Nadia.

7 Januari 2007

"Nizam... Laili.. mari sini tukar baju. Kita nak pergi tengok Baby." Hafizah memanggil anak-anaknya. "Baby siapa mama?" Tanya Nizam anak kecil yang begitu petah berkata-kata. "Baby ibu lah sayang... Ibu dah dapat baby..." Hafizah memberitahu lembut. Semenjak bermadu, Nizam dan Laili akan memanggil Hafizah, Mama manakala memanggil Nadia, ibu. "Yeye.. ibu ada baby baru..." teriak Laili keriangan. Mereka memang manja dengan Nadia. hampir setiap minggu Nadia akan bersama-sama Hafizah membawa Nizam dan Laili berjalan. Anuar jarang sekali bersama mereka dikala itu. Suatu kehidupan yang begitu asing bagi mereka. Sebelum bermadu hampir setiap minggu Hafizah akan pulang ke rumah ibu bapa atau mertuanya. Namun kini aktiviti itu dikurangkan sedikit. Kadang kala dia rimas kerana sering diperli oleh mereka yang beranggapan dirinya begitu bodoh kerana membenarkan dirinya dimadu. Hafizah hanya berkata "Dah jodoh mereka...". Itu saja jawapan selamat yang mampu diberikan yang sering membuatkan ibubapa serta mertuanya geram dengan kesabaran yang langsung tidak difahami. "Kau tau Nadia... tak pernah terjadi tau keturunan kita dimadu. Agaknya.. engkaulah orang yang paling bodoh dalam keturunan kita ni" Itulah kata-kata yang paling mengguris perasaan Hafizah dari insan yang bergelar ibu. Namun Hafizah tenang menerimanya. Dia sedar kesabaran saja lah yang akan membawa dirinya berjaya di dunia dan di akhirat. Payung Emas pastinya menantinya diakhirat kelak.

"Ayah!!!!..." Nizam dan Laili berteriak serentak sambil berlari menuju ke arah Anuar yang duduk menemani Nadia yang masih terlantar di katil hospital. Hafizah hanya tersenyum melihat gelagat mereka. "Ayah.. ayah.. mana baby ibu ayah..."Tanya Nizam seakan tidak sabar. "Tu... kat sana.. sekejap ayah ambil..." Anuar memberitahu sambil jari telunjuknya menuding pada bayi yang masih kemerahan. "Macam mana kak... sakit tak?" tanya Hafizah kepada Nadia seakan mengejek... "Tak sakit pun... Sodap..." Jawab Nadia bersahaja. Hafizah terkejut dengan wajah nadia yang hanya tersenyum seolah-olah bukan baru melahirkan anak. "Tak sakit!!!!" Hafizah seperti tidak percaya. Pengalamannya melahirkan Nizam dan Laili amat menyakitkan. "Macam mana nak sakit... dia operation... maklumlah enjin lama..." sampuk Anuar berseloroh yang membuatkan mereka tertawa. Tapi kelihatan Nadia sedikit menahan sakit dari ketawa yang cuba diluahkan. "Abang ni tak baik tau cakap macam tu" Tegur Hafizah... dia takut andai Nadia kecil hati dengan perkataan 'enjin lama' itu.. "Bukan lama Fiza... tapi tua..." Sampuk Nadia pula sambil tersenyum. Hafiza hanya tersenyum melihat Anuar mengangkat-angkat kening dengan jawapan itu.

"Abang lepas ni bawalah akak duduk rumah kita sementara waktu... biar saya jaga akak sementara ni." Hafiza memberi cadangan pada Anuar. Anuar hanya diam saja sambil menudingkan kening ke arah Nadia. "Takpe lah Fiza. Susah kan Fiza pulak. Lagi pun Fiza kan kerja." Nadia memberitau seakan menolak. "Erm.. tak sudi lah tu.. mentang-mentanglah rumah kita buruk. Saya kan dah berhenti kerja.." Hafiza menjawab lagi membuatkan Nadia serba salah untuk menolak. Dia perlu menjaga hati madunya. Bukanlah dia tidak sudi tinggal di rumah madunya yang sememangnya tidak sehebat rumahnya, tetapi dia malu dengan Hafiza yang begitu baik. Selama ini kehidupan Nadia begitu Korporat. Tiada rakan untuk bergurau apalagi berbincang tentang hal peribadi. Namun Hafizah mampu memusnahkan sempadan itu dan menjadi rakan dan adik yang begitu akrab. "Camana kak? ok ker?" Tiba-tiba Hafizah bertanya sambil menepuk lengan Nadia yang sekan termengelamun. Nadia hanya mengangguk lemah tanda setuju... kemudian disusuli dengan airmata yang tiba-tiba berlinang lalu mengalir membasahi pipi... Hafizah diam saja. Mungkin dia dapat menyelami hati Nadia lantas mengesat air mata itu dengan tapak tangannya.

7 Julai 2007

Percutian keluarga Anuar ke Pulau Tioman kali ini amat menyeronokkan . Ditambah pula dengan kehadiran insan baru Afizul Fikri yang berusia 6 bulan membuatkan semuanya amat ceria. Bagi Hafizah inilah kali pertama dia pergi bercuti ke Pulau sebegini. Di hotel yang serba mewah, sajian yang begitu lazat dan suasana yang amat menenangkan. Dan pada malam itu suasana nampak begitu tenang dengan kilauan bintang yang menghiasi langit biru bersama bulan berbentuk sabit. Anuar, Hafizah dan Nadia menikmati suasana itu bertiga di tepi pantai meninggalkan anak-anak mereka bersama pembantu rumah yang di bawa bersama. "Anuar u ingat tak pada kontrak yang pernah kita buat dulu... i rasa sudah sampai masa untuk kita berpisah..." Tiba-tiba Nadia membuka kata membuatkan Anuar dan Hafizah seakan tersentak diam seribu bahasa... "Ni cek RM 20,000. bukan lah i bermaksud untuk membeli u.. tapi sebagai ucapan terima kasih i kerana sudi membantu i. I pegang pada janji dulu. I tak mahu dituduh sebagai perampas kebahagiaan orang lain..." Nadia bersuara lagi dengan nada yang agak sedih namun dia tenang." Anuar hanya mendiamkan diri, kaku sahaja. Hafizah pula tiba-tiba menangis kesedihan dengan kata-kata Nadia. Dia tidak sangka Nadia telah mengaturkan semua ini dalam keadaan mereka semua bergembira menikmati percutian bersama. Dia merasakan kontrak yang mereka persetujui suatu masa lalu begitu cepat untuk ditamatkan. Kemesraan antara dirinya dan Nadia sudah sampai di penghujungnya. "Abang boleh tak abang tinggal kan kami berdua... Fiza nak berbincang dengan Kak Nadia kejap...." Pinta Hafizah kepada Anuar. Anuar hanya mengangguk lalu bergerak meninggalkan mereka menuju kerusi kayu yang diletakkan di bawah pepohon kayu menghadap ke Lautan Cina Selatan.

"Mengapa kita harus berpisah kak?... Kami bukan mahukan harta kakak... Selama ni abang tak pernah ambil kesempatan atas semua itu..." Tanya Hafizah. "Bukan gitu Fiza... Anuar terlalu baik... Fiza pun terlalu baik bagi kakak... Tiada insan lain yang sebaik u all di dunia ni. Tapi ini perjanjian Fiza. Akak langsung tidak ada niat untuk rampas suami Fiza... Akak hanya minta tolong...". "Bukan suami Fiza kak... tapi suami kita... Anuar jodoh kita kak" Fiza memperbetulkan kata-kata Nadia. "Semenjak akak ada... Fiza rasa gembira kak... sebelum ni Fiza tak ada kawan... Abang Anuar selalu sibuk. Tapi akak dah jadi kawan Fiza... Fiza langsung tak heran harta akak... Fiza hanya mahu hubungan kita kak."Fiza memberitahu sambil menahan sedih... "Akak faham Fiza... Tapi kita bukan lah berpisah terus... berpisah dari segi hubungan suami isteri antara akak dan Anuar. Kita masih boleh terus berkawankan... " Nadia menerangkan sambil menggenggam erat tangan Fiza.

Anuar terus merenung jauh memerhatikan lampu-lampu bot nelayan di tengah lautan. Dia tidak pasti apa perbincangan kedua-dua isterinya, apa lagi keputusan yang bakal diperolehi. Sebagai lelaki dan suami dia sememangnya mempunyai kuasa mutlak namun dia lebih sukakan demokrasi terpimpin. "Abang..." Jerit Hafiza sambil melambaikan tangan kepada Anuar. Anuar lantas bangun menghayun langkah yang longlai menuju ke arah kedua-dua isterinya. Dia masih ingat lagi kontrak yang pernah mereka setujui dan masih berpegang pada kontrak itu. Dia amat sayangkan Hafizah, seorang isteri yang sanggup berkorban di dunia demi insan lain. Dalam masa yang sama dia juga menyayangi Nadia, isteri manja yang hampir 10 tahun lebih tua darinya. Namun lembu ditambat pada talinya, manusia harus berpegang pada janjinya. "Abang... Kami dah buat keputusan. Kami ingin terus bersama. Abang tak perlu lepaskan akak Nadia. Kontrak tu dah batal..." Hafizah memberitahu riang sambil mengoyakkan cek bertulis RM 20,000 atas Nama Anuar Bin Ibrahim. "Syukurlah..." Anuar menadah tangan tanda kesyukuran. Isteri-isteri yang baginya anugerah tuhan yang tidak ternilai. Sambil menadah tangan Anuar menggerakkan jari jemarinya tanda menyuruh Nadia dan Hafizah datang mendekati... lalu mereka berpelukan bersama. "Nanti dulu... saya ada satu syarat lagi." tiba-tiba Nadia bersuara dan melepaskan rangkulan itu. "Mulai sekarang harta-harta saya bukan lagi harta saya." Nadia memberitahu lalu membuatkan Hafizah dan Anuar tersentak berpandangan sesama sendiri... "tapi harta kita bersama..." Nadia meneruskan kata-kata dan terus merangkul Anuar dan Hafizah kembali. Kini Nadia mula sedar, kerjaya dan harta yang dikejar selama ini bukanlah segalanya. Kebahagiaan yang dialami kini tidak mampu dibeli dengan wang ringgit. Ia begitu berharga dan tidak ternilai. Atas dasar itulah dia menolak segala keegoan untuk menjadi isteri kedua kepada insan biasa seperti Anuar lalu menyerap segala tohmahan. Sememangnya madu itu sememangnya amat manis jika dinikmati dengan cara yang betul. Jangan dimasamkan sesuatu yang manis. Tiada salahnya berkongsi kasih andainya kita saling memahami tanggungjawab hidup sebagai manusia dibumi tuhan ini. 'Kebenaran' yang tuhan berikan itu pasti ada hikmahnya bagi orang yang benar-benar berfikir....

Thursday, October 4, 2007

Sucikan Kasih Ini...

Kasih itu milikku...
Kemudian aku hulurkan padamu....
Kita cambahkannya bersama...
Membesar lalu menguntum...
Dijaga rapi... terus berseri....

Kasih itu santapan kita...
Menyegarkan segala kelayuan..
Menghangatkan kedinginan malam...
Menyejukkan kehangatan mentari...
Lalu... Ia segar sentiasa...
Ceria... Indah mewangi...

Kasih itu bahtera kita...
Meredah samudera... Merentasi benua...
Menuju matlamat yang satu..
Walau pun jauh beribu batu...
Kadang gementar dilambung ombak yang ganas...
Namun kasih tetap teguh berpadu....

Kasih ku ini kasih yang benar...
Bukan kekasih gelapku..
Bukan kasih separuh masa...
Kasih suci sepenuh hati...
Kasih yang tulus... Kasih yang luhur
Lahir dari hati yang murni...

Kasihku...
Jangan sekali kau pergi...
Jangan sekali kau ratapi...
Tak perlu kau khuatiri...
Kerna walau bagaimanapun sekali aku...
Kasihku tetap benar....

Kekasihku...
Di kesucian Aidilfitri ini...
Kita sucikan kasih ini...
Hilangkan noda... buangkan dosa...
Semoga kasih akan sentiasa...
Bersama dan selamanya...

Dari Bagong :
Sempena Aidilfitri ini... aku benarkan korang amek madah aku ini... dan berilah pada pakwe, makwe, tunang, bini atau suami masing-masing... Semoga Kasih sayang korang akan terus bersemi dan bahagia selamanya. Amin....