Friday, September 5, 2008

H K S (Bab 2). : Ayah & Ibu

Malam semakin larut. Kelihatan mata ayah semakin layu. Kadang kala terasa geli hati pula memerhati ayah yang tersenggut-senggut di bucu meja Jepun setinggi satu setengah kaki. Mungkin dia terlalu mengantuk agaknya. Kasihan dia, sanggup menemankan anak perempuannya manghabiskan kerja sekolah walaupun dalam keadaan yang tidak begitu larat.

“Ayah pergilah masuk tidur dulu… Wani nak siapkan kerja sekolah sikit lagi ni…” Ayah diam saja Cuma sedikit tersenyum. Tak pasti sama ada senyuman itu diukir dalam keadaan sedar ataupun mamai.

“Ayah… Tolong Wani pamkan lampu gas, cahayanya dah semakin malap.”

Ayah terus bangkit tidak membantah. Ternyata dia masih sedar lagi. Ayah menjengkitkan kaki memanjangkan tubuh lalu mencapai lampu gas yang tergantung pada palang kayu di tengah-tengah ruang tamu. Perlahan dia menurunkan lampu gas itu lalu meletakkannya di lantai bersandar pada tiang seri rumah.

“Gas dah nak habis ni” Ayah memberitahu. Aku diam saja kerana aku sendiri tidak faham tentang teknikal lampu gas itu.

Ayah menarik kepala pam lampu gas yang berwarna merah lalu menolaknya semula. Dia melakukannya beberapa kali sehingga cahaya lampu gas itu kembali cerah.

Ayah terus menarik dan menolak pengepam lampu gas dengan lebih laju sehingga menggegarkan lampu gas itu. Tiba-tiba terlihat koyakkan berlaku pada mentol lampu gas yang diperbuat daripada nilon. Semakin lama koyakkan itu semakin besar.

Ayah terus menggelabah. Dia terus meluru ke tepi dinding dan terus mencapai pelita yang terdampar di situ. Terus saja dia meleretkan mancis kayu lalu mencucuhkan apinya pada sumbu pelita itu. Pelita itu terus menyala, namun lampu gas semakin malap. Koyak pada mentolnya semakin membesar dan mentolnya terus terkapai-kapai menunggu masa untuk gugur.

Ayah tersenyum sambil memerhatikan aku. Aku membalas senyuman itu. Sebenarnya kami berasa gelihati dengan kejadian tadi. Tujuan asal mahu menerangkan kembali cahaya lampu gas yang semakin malap tetapi hasilnya mentol lampu gas itu terkoyak lalu memadamkan terus lampu gas. Kini rumah kami hanya diterangi dengan sebiji lampu pelita sahaja yang cahayanya jauh lebih malap berbanding cahaya lampu gas.

“Tu lah… dia suruh Wani tidur tu…”
“Mungkin juga..” Aku membalas kata-kata ayah lalu kami tersenyum bersama.

“Tapi kerja sekolah Wani belum siap lagilah ayah”
“Tak apa esokkan Wani boleh sambung lagi. Lagipun esok hari cuti..”
“Tak boleh… Kan esok ayah dah janji nak bawa Wani jalan-jalan”
“Yelah.. kita jalan esok pagi.. petang atau malam Wani siapkan lah. Tak kan nak jalan satu hari kot…”
“Tu lah... ayah tu ganas sangat, lain kali kalau nak pam lampu gas tu perlahan-lahan lah sikit…” Aku memerli ayah. Ayah senyum saja.

“Sebenarnya Ayah kamu tak sabar nak masuk tidur tu Wani..” Tiba-tiba suara ibu mencelah.

Ayah tersenyum lagi lalu dia terus menjeling ke arah ibu menandakan sedikit geram. Ibu membalasnya dengan senyum sinis sambil keningnya terangkat sedikit. Entah apa maksud disebalik reaksi mereka berdua. Insan kurang matang seperti aku masih belum mampu memahaminya reaksi orang dewasa seperti mereka.

Aku terus akur dengan keadaan dan terus masuk ke dalam bilik tidur. Ayah dan ibu juga begitu, berjalan seiring menuju ke bilik meninggalkan pelita yang hanya ditemani oleh lampu gas yang kini telah terpadam.


Awal Pagi..

Aku bangkit awal di pagi ini. Kedinginan air perigi langsung tidak melemahkan semangatku. Sebenarnya nasib aku memang cukup baik kerana setiap pagi sebelum aku bangkit dari tidur air mandi pasti sudah tersedia.

Sebelum subuh lagi ayah sudah mencedukkan air dari telaga di belakang rumah dan dipenuhkannya ke dalam tempayan simen di dalam bilik mandi. Itu sungguh memudahkan tugas aku. Aku hanya perlu menceduknya dengan gayung tempurung kelapa lalu simpah saja ke seluruh tubuh ini. Begitu beruntungnya menjadi anak perempuan yang manja seperti aku.

“Wani cepat lah sikit.. nanti tertinggal bas..” Ibu sudah mula mahu berleter seakan tidak sabar. Cepat-cepat aku keluar dari bilik dan terus menuju ke pintu hadapan. Aku lihat ibu sudah menanti di muka pintu dan ayah pula sudah bersedia di atas motorsikal Honda C70 nya. Sungguh bergaya sekali mereka hari ini. Bangga aku kerana mempunyai ibu yang cantik dan ayah yang begitu kacak.

Ayah terus mengangkat aku dan didudukkannya di hadapan sekali dengan kaki dimasukkan ke dalam bakul motorsikalnya. Ibu pula terus saja melompat di belakang ayah lalu ayah menerjahkan kakinya menekan penghidup enjin motosikal untuk menghidupkan enjinnya.

Setelah enjin dihidupkan ayah terus meluncur laju melalui denai di sisi tali air dan kemudiannya melalui jalan tanah merah yang berdebu untuk menuju ke simpang jalan masuk ke kampung kami. Aku yang duduk paling hadapan sekali terasa begitu nyaman dengan tiupan angin yang menerbangkan rambut aku yang panjangnya paras bawah bahu.

“Bang cepat sikit… bas dah nak sampai tu…” Ibu menjerit sambil menghunuskan tangan ke arah bas buruk yang bergerak perlahan menghampiri simpang. Terasa bergegar motosikal ayah apabila ibu seakan mengenjut-henjutkan badannya menguruh ayah menunggang lebih laju. Secepat kilat ayah terus melambai-lmbaikan tangan memberi isyarat supaya bas itu diberhentikan.

Ayah terus memberhentikan motorsikal dan menyandarkannya pada sebatang pohon durian. Kami sekeluarga terus berlari mengejar bas yang masih sudi menanti.

Aku terus melangkah naik ke dalam bas yang sememangnya sudah penuh sesak dan diikuti ibu dan kemudiannya ayah. Nasib kami kurang baik kerana tempat duduk semuanya sudah penuh. Kami terpaksa bersesak-sesak berdiri selama sejam hingga ke bandar.


Di Bandar…

Penat kami merayau hari ini. Dari satu kedai ke satu kedai. Matahari pula sungguh terik ditambah pula ibadah puasa yang sedang dikerjakan. Terasa begitu mencabar ibadah puasaku hari ini.

“Lama lagi ke ibu? Wani dah letihlah”
“Ada sikit lagi… Baju Wani belum beli lagi. Kita masuk kedai tu..”

Ibu memberitahu sambil menghunuskan telunjuknya ke arah kedai yang tertulis ‘Kedai Pakaian Tan Lee Lee’. Ayah diam, menurut saja kata-kata ibu. Begitulah lumrahnya wanita. Apabila membeli belah merekalah raja.

Ibu terus membelek-belek baju yang berlonggok di atas meja yang dialas dengan tikar getah berwarna coklat gelap. Ramai orang mengerumuni timbunan baju itu umpama semut yang mengerumuni gula. Mereka mengambil dan kemudian membeleknya satu persatu. Jika berkenan mereka akan terus tersenyum sebaliknya jika tidak mereka akan mencebik mulut lalu melontarkan baju itu kembali ke timbunannya.

“Wani cuba tengok ni.. lawa tak…” Kata ibu sambil menayangkan sehelai baju gaun berwarna biru tua.

“Ish awak ni. Budak ni kan dah sekolah tak kan lah nak pakai baju gaun macam tu lagi.” Ayah memprotes. Aku diam saja walaupun aku benar-benar berkenan dengan baju itu.

“Apa salahnya.. dia kan budak lagi… Baru darjah 3”
“Tapi saya ni kan imam.. nanti apa pula orang kata..”
“Abang ni segan dengan orang ke tuhan… Dia kecil lagi lah bang….” Ibu menegakkan hujah.

Itulah ibu bila dia berminat pada sesuatu dia akan tetap mahukannya. Jelas hujah ibu itu membuatkan ayah mengalah. Aku gembira mendapat baju gaun biru yang sungguh comel pilihan ibu. Ibu memang pandai memilih.

“Sayang kita balik sekarang… Bas terakhir pukul 5.30. Kita ada 10 minit lagi ni.” Ayah memberitahu sambil menayangkan jam tangan yang terlekat pada tangannya. Ibu mengangguk saja lalu menarik tangan ayah yang sedang mendokong aku. Tak larat rasanya aku mahu berdiri lagi semenjak pagi tadi. Kami terus bergerak menuju ke stesen bas yang terletak benar-benar di hadapan kedai pakaian tadi.

Sesampai saja di stesen bas kami sedari enjin bas sudah dihidupkan. Penumpang juga sudah ramai dan bersedia menantikan bas untuk digerakkan. Tidak lama kemudian pemandu bas mula masuk dan duduk di tempat duduk pemandu.

Bas itu terus meluncur laju meninggalkan bandar yang begitu sibuk dengan kenderaan. Wajah ibu terus bersinar, mungkin puas dengan barang-barang kelengkapan raya yang telah dibeli. Ayah juga tersenyum saja, mungkin gembira kerana kami sekeluarga tidak perlu lagi berdiri dalam perjalanan pulang.

Dari jauh terlihat cahaya matahari mula condong di ufuk barat. Sudah sedia untuk berlabuh. Suasana di dalam bas pula gak ceria. Seorang penumpang yang duduk di bahagian belakang mula menyanyi dan beberapa penumpang yang lain bertepuk tangan mengiringi nyanyian itu.

Tiba-tiba perjalanan bas yang tadinya lancar kini mula terhenguk-henguk. Nyanyian dan tepukan tangan girang tadi juga serta merta terhenti. Pergerakkan bas juga mula perlahan dan menuju ke bahu jalan.

“Kenapa ni…” Ayah terus menjerit bertanya kepada pemandu bas.

“Tak tahulah… nanti saya tengok dulu…” Jawab pemandu bas itu

Penumpang lain mula gelisah. Keadaan penumpang yang penuh sesak membuatkan bahang begitu terasa. Beberapa orang penumpang mula turun memandaikan diri mengeluarkan teori tentang masalah yang bas ini hadapi. Ayah dan ibu pula hanya diam saja, mungkin kepenatan agaknya.

“Minta maaf semua… Bas kehabisan minyak..” Suara pemandu bas tiba-tiba melebihi keriuhan suara penumpang lain.

“Habis tu kami ni macam mana…” Tanya seorang penumpang.

“Kita cuba tunggu bas lain..”

“Dah petang-petang macam ni mana ada bas… Lagi pun ini bas terakhir” Tanya ayah pula.

“Insya Allah ada..” Pemandu itu cuba memberi harapan.

Semua penumpang turun dan menanti di bahu jalan kalau-kalau ada bas yang lain melintasi jalan itu. Hari semakin tua. Matahari mula terbenam, kemerahan mega di ufuk barat mula menjelma. Semua penumpang semakin gelisah kerana waktu maghrib semakin hampir.

“Ha tu ada…” Tiba-tiba salah seorang lelaki mengejutkan kami. Semua yang ada di situ terus tercengang melihat sebuah traktor yang sedang bergerak sambil menarik sebuah gerabak kayu di belakangnya.

“Gerabak pun gerabaklah… janji sampai..” Kata seorang pemuda lalu disambut dengan ketawa yang berdekah-dekah.

Traktor itu berhenti di hadapan bas. Setelah pemandunya berbincang dengan pemandu bas, kami semua dipanggil untuk naik di bahagian dalam gerabak. Jelas terserlah wajah kelegaan disetiap muka penumpang yang ada di situ. Kami semua terus bergerak dengan gerabak yang ditarik dengan traktor.

Dalam perjalanan tiba-tiba terdengar bunyi azan dari kampung berhampiran. Sayup-sayup bunyinya. Semua penumpang terus berpandangan antara satu sama lain. Ayah terus mengeluarkan sebotol air minuman lalu meneguknya. Kemudian dia menyerahkan kepada ibu yang terus juga meneguknya. Botol air itu terus disampaikan seorang demi seorang hinggalah semua penumpang dapat meneguk airnya untuk membatalkan puasa di hari itu.

“Wani… Menungkan apa tu..” Aku tersentak dan terus menoleh ke belakang. Aku lihat wajah Pakcik Man bersama isterinya.

“Tak ada apa-apa Pakcik.. Wani ingatkan Ayah dan ibu saja…”

“Sabar Wani… yang pergi tetap pergi… kita yang hidup perlu terus bergerak. Kehidupan mesti teruskan. Kehidupan masih panjang Wani...” Pakcik Man memberi nasihat cuba melegakan hati aku.

Aku bangkit perlahan dari terus menghadap pusara ibu yang masih merah tanahnya. Kemudian aku menguatkan semangat untuk berpaling lalu terus melangkah. Aku harus meninggalkan ibu bersendirian di tanah perkuburan ini sementara dia menanti soalan dari malaikat Nukar dan Nakir. Kini dunia kami telah terpisah. Kami berada dialam yang berbeza tapi aku yakin jiwa kami tetap bersatu bersama kenangan lalu.

Memang kehidupan lalu sungguh usang namun aku berasa begitu bahagia dengan kehidupan itu. Kenangan lalu yang begitu indah bisa membuatkan aku tersenyum sendirian apabila mengingatinya. Aku begitu rindu dengan belaian ayah.. Begitu rindu dengan kasih sayang ibu. Aku begitu rindu dengan kenangan lalu.

Sesungguhnya kenangan lalu sentiasa akan menjadi bukti betapa suatu ketika dahulu keluarga kami pernah merasai erti kebahagiaan. Kebahagiaan yang sentiasa membuatkan aku gembira dan ceria. Namun kini kebahagiaan itu kian lenyap. Tiada lagi belaian ayah, tiada lagi peritnya pengorbanan ibu dan aku kini hanya bersendiri. Sesungguhnya hatiku ini semakin sepi…

Monday, September 1, 2008

HATI KIAN SEPI. : BAB 1

Bulan Ramadan memasuki hari yang ke tujuh hari ini. Bulan yang penuh keberkatan dan cucuran rahmat tuhan bagi mereka yang sanggup berkorban untuk mendapatkannya. Tuhan begitu Pemurah mengurniakan Ramadhan kepada Ummat Muhammad untuk peluang menambah bekalan pahala sebanyak yang mungkin.

Mungkin jika 11 bulan yang lain kita begitu lalai dengan kehidupan duniawi, Ramadhan adalah kurniaan tuhan untuk manusia kembali kelandasan mencari erti kehidupan yang sebenar. Hidup sebagai hamba yang hanya menumpang nikmat dunia yang hanya sementara. Begitu singkat jika dibandingkan dengan akhirat yang kekal abadi. Namun manusia seperti aku begitu lemah dan selalu lalai dengan semua itu. Kadang terlupa kepada tujuan hidup sebagai khalifah di muka bumi ini lalu begitu ego mencari kebahagiaan dunia semata sedangkan apa yang tuhan perintahkan adalah mencari kebahagiaan duniawi untuk bekalan di akhirat. Aku selalu tertipu. Mungkin itulah yang dinamakan nafsu. Nafsu yang mengawal diri melebihi akal fikiran yang waras.

“Wani… Mak tak larat nak pergi ke surau malam ni. Wani pergilah sendiri” Suara ibu begitu lemah malam itu. Jauh di sudut hati aku beranggapan ibu terlalu lemah kerana gagal melawan sedikit ujian tuhan demi menunaikan solat terawih secara berjemaah di surau yang terletak hanya kira-kira 500 meter dari teratak kami. Nyata perasaan itu begitu zalim. Mungkin perasaan sebegitu merupakan suatu kesalahan yang amat besar bagi seorang anak seperti aku. Aku begitu zalim menganggap ibu sebegitu.

Aku pergi ke surau bersendirian malam itu. Memang aku menyedari Solat Teraweh merupakan sunat Muakat bagi ummat Islam. Aku juga sedar aku sebenarnya tidak perlu pergi ke surau untuk menjalani ibadah ini kerana tempat paling afdal bagi seorang wanita mengerjakan solat adalah tempat di mana dia tidur. Namun surau itu begitu sebati dengan hidup aku setiap kali Ramadhan menjelma.

Semenjak kecil lagi ayah sudah membiasakan aku dan ibu mengerjakan terawih di Surau itu. Setiap Ramadhan ayah akan memimpin penduduk setempat menunaikan ibadah terawih ini secara berjemaah agar ia dapat ditunaikan dengan lebih tersusun, muafakat dan berkat. Aku begitu bangga dengan ayah yang merupakan seorang pemimpin, seorang imam, seorang ketua yang membawa jemaah sujud mengadap Ilahi, Tuhan yang maha Berkuasa. Ayah adalah sumber inspirasi yang sentiasa menunjukkan jalan kebenaran yang begitu lurus.

Namun langit tidak selalunya cerah. Air di kali tidak selalunya tenang. Kadangkala seketul batu yang sungguh kecil saja bisa menghasilkan gelombang apabila dicampak ke dalamnya. Begitu juga keluarga kami. Entah kenapa, Ayah seorang yang penuh dengan tanggungjawab dan kasih sayang semakin hilang pertimbangan. Pernikahannya buat kali kedua terus menyentap kebahagiaan keluarga kami.

Memang ibu sendiri yang merestui pernikahan itu. Namun madu yang diberi dibalas dengan racun yang sungguh berbisa. Ayah bagai dirampas dari keluarga kami. Kebahagiaan semakin pudar. Semakin lama ayah semakin menjauhi keluarga kami dan akhirnya ayah langsung membiarkan keluarga begitu saja. Aku dibiarkan tanpa kasih sayang. Ibu pula dibiarkan tergantung tanpa bertali. Entah apa status perkahwinan antara ayah dan ibu.

Ibu redha saja dengan apa yang berlaku. Raut wajahnya tetap tenang namun luka di hatinya tiada siapa yang tahu. Kesabaran ibu memang tiada tandingannya. Cintanya terhadap ayah begitu kental. Tidak sekalipun dia menuntut untuk berpisah walaupun mereka sudah tidak bersama sejak sekian lama. Tidak seperti wanita lain yang begitu mudah terpesong oleh sedikit saja usikan nafsu syaitan durjana. Sedikit ujian saja sudah sanggup berlaku curang dan menderhaka kepada seorang suami yang baik, yang bertanggungjawab kepada keluarga. Sungguh menyedihkan.

Penderitaan yang ibu tanggung begitu lama. Penderitaan yang seolah-olah memakan diri sendiri. Mungkin aku sebagai anak juga sebenarnya begitu zalim kerana gagal memberi keceriaan kepada ibu. Malah aku sendiri yang selalu menyakitkan hatinya. “Oh tuhan, sempena Ramadhan ini kau ampunilah dosaku kerana selalu melukakan hati ibu”

20 rakaat Terawih aku laksanakan malam ini ditambah 3 Rakaat solat Witir sebagai solat penutup malam. Bunyi surah yang dibaca di setiap rakaat oleh imam yang menggantikan ayah begitu mengusik hati. Begitu sayu. Teringat kembali ayah yang dulu mengaturkan suaranya yang lunak melagukan Ayat-Ayat Suci tuhan. Teringat kembali kebahagian lalu yang kini semakin hilang. Tinggallah aku dan ibu berdua kececeran…

Semenjak ayah tiada ibu adalah segala-galanya bagiku. Dia tempat aku bermanja, bermesra dan mengadu segala susah dan senang. Jika aku kecewa dia akan menangis, jika aku ceria dia akan tersenyum, bila aku gembira dia pasti akan tertawa. Dua tubuh yang berbeza tapi punyai hati dan jiwa yang bersatu.

Aku begitu bersyukur kerana tuhan mengurniakan aku ibu yang sebegitu baik. Sentiasa mengajar aku ke arah kebaikan tidak seperti ibu yang lain yang sering mengajar anaknya ke arah kelalaian. Kelaian yang semakin menjajah kehidupan manusia hari ini dalam keadaan yang langsung tidak disedari. Itulah permainan Yahudi…

Aku melangkah longlai pulang bersendirian. Tidak berteman seperti selalu. Dulu kami bertiga, selepas itu kami berdua dan hari ini aku sendiri. Mungkin hari esok dengan takdir tuhan kami akan bersatu semula. Jika itu tidak berlaku di dunia yang fana ini aku harapkan ianya akan berlaku di akhirat kelak. Insya Allah.

“Ibu… buka pintu… Wani dah balik…” Suara aku langsung tidak bersahut. Berkali-kali aku memanggil ibu namun ibu terus diam. Aku memutarkan tombol pintu namun ia berkunci. Aku mengalihkan pasu bunga dan mengambil kunci pendua yang sentiasa disimpan di situ. Aku terus menerjah masuk namun keadaan terus sunyi sahaja. Langsung tiada kelibat suara ibu.

Aku meluru ke bilik. Ku lihat ibu begitu lena tidur. Lega hati aku seketika. Wajahnya begitu manis penuh dengan senyuman walaupun pigmennya sudah agak lusuh dengan usia mencecah 55 tahun. Wajah seorang isteri yang sentiasa mendoakan kesejahteraan suaminya walaupun telah ditinggalkan. Mungkin itulah wajah orang yang diberkati tuhan. Di dunia lagi sudah jelas ‘Nur’ yang terpancar, moga nur itu bisa kekal hingga membawanya ke pintu Syurga.

“Bangun ibu… Wani dah balik… Mari kita makan.” Aku cuba membangkitkan ibu. Memang rutin itu yang kami lakukan selepas menunaikan ibadah terawih. Tapi hari ini ibu terus kaku, membisu tidak bersuara. Aku melekatkan telingga pada dada ibu. Nadiku berdetap kencang. Jantungku berdengut laju. Namun ia berlawanan dengan ibu. Jelas sudah tiada lagi degupan jantung ibu. Senyap dan sunyi saja…

Air mataku terus mengalir. Lemah dan kaku seluruh tubuh ini. Bagai ada suatu kuasa yang menyentap semangat ini membuatkan aku terus layu. Aku tak mampu mengangkat kembali kepala sendiri. Aaku sedar ibu telah pergi tetapi aku begitu sukar untuk aku menerima hakikat itu. Jika ayah tinggalkan aku dengan cara yang begitu perlahan tapi ibu tinggalkan aku dengan begitu drastik. Begitu cepat secara tiba-tiba. Langsung tiada pesanan. Aku terus longlai.

“Ibu.. maafkan Wani ibu…Maafkan Wani” aku begitu bersalah. Tadi aku tinggalkan ibu bersendirian demi mencari pahala yang lebih. Aku lebih pentingkan diri sendiri. Padahal bukanlah suatu keutamaan bagi wanita seperti aku menunaikan Terawih di surau. Apalagi meninggalkan ibu yang sedang dalam keadaan begitu.

Mungkin ibu begitu nazak menuju akhir nafasnya. Aku tiada di sisinya di saat itu. Tak mampu aku berikannya kekuatan. Tak mampu aku mengajarnya mengucapkan kalimah-kalimah Allah di hujung hayatnya. Tak mampu aku melindunginya dengan Ayat Allah bagi menepis gangguan syaitan yang begitu kuat di kala sebegitu. Aku begitu hampa…

“Ya Allah… Ampunilah hambamu yang zalim ini…” Memang aku berasa begitu zalim terhadap ibu. Ibu yang telah mengumpulkan seluruh kudrat meneran untuk melahirkan aku. Ibu yang telah menyalurkan susu demi menyambung nafas aku hari demi hari. Ibu yang begitu sabar melayan kerenah kedegilan aku demi membesarkan insan ini. Tapi hari ini aku zalim apabila merasakan ibu terlalu lemah kerana tidak mampu melawan dugaan untuk menunaikan solat terawih. Aku zalim kerana meninggalkannya dia sendirian. Tak sempat aku memohon ampun kepada ibu kerana kezaliman aku itu. Moga tuhan akan memberi keampunan kepada aku dari kesalahan yang begitu besar terhadap ibu. Aku hanya berserah padaNya.

Aku menguatkan diri untuk mengangkat kepala. Ku pandang wajah ibu. Pucat lesu namun tetap tersenyum. Masih manis seperti biasa. Wajah yang pasti akan aku rindukan selamanya selepas ini. Inilah peluang terakhir aku menatap wajah ibu. Tiada lagi selepas ini. Esok Ibu akan dimandikan, akan dikapankan dan kemudian akan disemadikan. Selepas itu aku pasti akan bersendirian. Dulu aku sepi tanpa kasih sayang ayah, kini kesepian itu pasti lebih mencengkam tanpa belaian ibu.

Aku bangkit menguatkan semangat. Aku terus menuju ke almari baju mengambil kain batik yang terlipat rapi di susunan rak. Aku koyakkan kain batik itu kepada beberapa bahagian. Satu bahagian aku jadikannya sebagai tali untuk mengikat dagu dengan ubun-ubunnya agar mulut ibu sentiasa terkatup. Perlahan aku mengelak kain batik ibu yang masih tersimpul di bahagian pinggang. Kemudian aku menarik seluar dalamnya yang masih terletak dan mencuci kemaluan serta duburnya kalau-kalau ada najis yang terkeluar di saat nyawanya disentap oleh malaikat maut sebentar tadi.

Kemudian lebihan kain batik tadi aku lipat-lipat dan aku sarungkan sebagai cawat. Aku terus menyalinkan pakaian ibu satu persatu. Di bahagian yang agak tersembunyi aku leretkan bebola pewangi. Kemudian aku sapukan sedikit bedak di bahagian dada, tangan, leher dan mukanya. Mungkin inilah kali pertama dan terakhir aku melakukannya terhadap ibu. Itupun setelah ibu hanya tinggal jasadnya saja, kaku tidak bernyawa. Rasanya tak terbalas jasa ibu yang telah melakukannya beribu-ribu kali terhadap aku. Akhir sekali aku ambil kain batik lepas lalu aku selimutkan keseluruhan tubuh ibu hingga menutupi permukaan mukanya menandakan ibu telah pergi buat selama-lamanya. Hati ini semakin sayu...

Aku terus ke bilik air untuk mengambil wuduk yang tadinya telah terbatal. Kemudian aku ambil senaskah Kitab suci Al-Quran dan aku terus duduk bersimpuh di sisi jasad ibu yang terbaring kaku di atas katil. Aku terus membacakan ayat-ayat suci Al-Quran sebagai sedekah untuk ibu sebelum dibawa pergi esok. Biarlah aku sendiri saja menemankan ibu buat kali terakhir malam ini kerana sebelum ini sekian lama ibu telah menemankan setiap malamku…

Itulah hakikatnya hati. Bila masih bersama kita jarang merasakan kehadirannya di sisi tetapi bila ia pergi meninggalkan kita, barulah kita sedar, barulah kita akan benar-benar merasa kehilangan. Hari ini aku begitu merasai kehilangan ibu. “Ibu… Hati ini semakin sepi….”