Friday, June 15, 2007

Bagong Itu Suci

"Apa lah nak jadi ngan ko ni Bagong... rambut panjang tak terurus... Macam Mat gian mak tengok.. Dah lah takde kerja... Tapi pakai kereta besar.. Mak dah tak tahan orang kampung tuduh kau perompak... Dulu masa kau kat UK, aman kampung kita ni... Sekali kau balik macam-macam jadi.." panjang Mak Esah membebel, namun Bagong hanya mendiamkan diri, dicapainya gitar lalu terus masuk ke dalam bilik.

Tak paham Makcik Esah dengan perangai anaknya. Sudah 2 tahun Bagong pulang ke kampung selepas ditamatkan pengajian di United Kingdom. Dia gagal dalam pelajarannya. Semenjak itu Bagong langsung tidak bekerja.. duduk di rumah. Tengah hari baru dia bangun. Petang jam 3 terus lepak di pondok di simpang jalan.. Melalak.. memekak... mengganggu awek-awek kilang pulang dari kerja... Hinggakan dia digelar Bagong walaupun nama sebenarnya Razli. Perangainya tak ubah seperti kutu-kutu kampung. Cuma bezanya kawan-kawannya semua berbasikal, paling baik pun bermotosikal, tapi dia berkereta mewah, Honda Civic.

Dulunya Kampung Sri Nanang memang aman... tak ada langsung kejadian pecah rumah. Namun semenjak 6 bulan kebelakangan ini keadaan berubah. Kejadian pecah rumah menjadi-jadi hinggakan pernah sekali Bagong ditahan polis kerana disyaki terlibat. Namun dia dibebaskan semula kerana langsung tiada bukti mengaitkannya. Mana tidaknya pemuda berusia 25 itu boleh berkereta besar sedangkan tidak bekerja. Setiap kali kejadian pecah rumah, banyak jari akan menuding ke arah Bagong. Hatta ibunya sendiri pun mengesyaki sesuatu pada anaknya. Mana tidaknya, tepat jam 10 malam bagong akan masuk ke dalam bilik... dikuncinya bilik lalu dialunkan lagu-lagu rock Melayu tahun 80-an.

"Mungkin anak aku ni ada ilmu ngaib agaknya..." Bisik hati Makcik Esah sambil memandang ke arah pintu bilik anaknya yang tertutup rapat. Tiba-tiba pintu bilik itu terbuka perlahan... "Kau nak kemana tu Bagong?, mak nak cakap sikit..." sapa Mak Esah.. "Mak.. saya sayang mak, saya hormat mak... walaupun apa pun orang kampung cakap pasal saya.. percayalah.. saya tak buat..." jawab Bagong... "Habis kalau bukan kau, sapa?... Macam mana kau boleh beli kereta tu... handphone mahal tu... ni barang-barang dalam rumah ni semua... mana kau dapat duit ?. Kau bukan kerja."Mak Esah bersuara sambil menahan sebak

"Mak... saya tak kisah kalau orang kampung tak percaya saya. Tapi kalau mak saya sendiri tak percaya, saya sedih mak. Memang saya gagal belajar. Tapi saya masih ada maruah mak..." Sedih Mak Esah dengan kata-kata Bagong. Ditekupnya muka menahan pilu. Tak terkata dia. Dia seakan tidak tahan dengan pandangan orang kampung. Bila saja dia berjalan, banyak mata yang akan memandang sinis... Terasa dia tidak pandai mendidik anak.

"Bagong.. Lambat lah lu sampai... Kita orang punya asap dah habis..." Seperti biasa Yus, Bob dan Tapa sudah menunggu di pondok simpang jalan. Dan seperti biasa Bagong akan datang dengan 4 kotak rokok, dibahagikannya sekotak seorang termasuk dirinya. "Alah sorrylah bro.. Wa pegi bandar kejap... jumpe client..." Jawab Bagong ringkas.. "Client????? client mendanya.. lu bukan ada business bro?. Entah-entah lu dating ngan Milah kot? Kah.. kah.. kah.." Kata-kata Yus terus disambut dengan hilai tawa kawan-kawan yang lain.

Bagong hanya mengeleng-gelengkan kepala sambil tersengih. Suka juga hatinya diusikkan dengan Milah, guru sekolah agama yang melintasi pondok tempat mereka melepak setiap hari. "Milah mana ada hati ngan wa.. wa ni selebet..." Bagong cuba menidakkan. "Selebet tak penting.. yang penting lu punye Civic tu.. kambing tepi jalan pun tayang betis tau kalau lu lalu". Bagong terus tersengeh dengan usikan Yus. "Ok.. apa first song kita hari ni?" Tapa membuka kata.. tapi terus dipotong Bob "Hehehe macam tak biasa.. sebelum mula kena doa makan dulu..."

Memang pelik sebenarnya perangai mereka. Bila saja mereka berkumpul, mereka akan melalak. Namun sebelum itu mereka perlu mendengar kata-kata Bagong terlebih dahulu. Laksana Imam menyampaikan usrah... Itulah penjanjian Bagong dengan kawan-kawannya. Bagong akan tanggung perbelanjaan rokok dan makan mereka sepanjang di pondok itu dengan syarat sebelum melalak mereka perlu dengar Si Bagong membebel. Bila saja bagong membuka kata mereka akan duduk diam cuma sesekali mengangakan mulut sambil menutup dengan tangan tanda mengantuk....

Setiap hari mereka akan mendangar kata-kata motivasi Bagong. Dulunya kumpulan mereka ramai. Tapi telah berkurangan apabila Man dan Moin dihalau oleh bagong kerana cuba membawa ganja dalam kumpulan mereka... "Dalam hidup.. kita perlu ada wawasan.. perlu ada tujuan yang nyata... kita kena pandang jauh ke hadapan. apa kita akan jadi bila kita tua nanti..." Bagong membebel. Kawan-kawan lain hanya mendengar dengan muka yang bosan.

"Bagong.. Milah tu.. cepat..." Bob tiba-tiba memotong motivasi Bagong... "Assalamualaikum cikgu... Baru balik kerja? Kawan saya Bagong kirim salam" Selamba Bob mengusik Milah... Bagong hanya tersenyum.. terpancar muka mengada-ngada... tersipu-sipu kambing.

"Cikgu... ini untuk cikgu... dari kawan saya Bagong..." Secara tiba-tiba Yus memberikan sekuntum bunga kepada Milah... Milah terima sambil tersenyum... "Wei ko gila ke.. malu lah aku.." Bagong bersuara sambil memegang bahu Yus. "Eleh ko tu nak, tapi slow... kang kena sambar orang... baru geget jari..." Usik Yus lagi...

"Eh dia buang bunga tu lah..." Yus seakan berteriak sambil menuding ke arah bunga yang dibuang Milah ditepi jalan... semuanya tergelak kecuali Bagong yang seakan blur... tidak semena-mena Tapa terus menyapai gitar kapoknya lalu mendendangkan lagu "Biarlah Berlalu" yang dipopularkan oleh kumpulan Wings...

Jangan lah memburu...
Angin Yang berlalu..
Kelak kau terima..
Jawapan yang kecundang...

Mereka menyanyi bersama.. Bagong turut menyanyi walaupun nampak sugul... muka umpama kambing jantan tak dapat kawin. "Relaklah bro... dia jual mahal je tu... wa yakin dia akan tumbang kat riba lu punya..." Bob cuba meredakan Bagong sambil menghulur sebatang rokok. "Wa no problem..." Bagong membalas lemah... Matanya yang sepet nampak layu.. tangannya longlai menghunus ke bawah....

"Bro wa ada rasa pelik sikit lah bro... Hari-hari kita lepak sini... Tapi wa tengok lu semakin maju.. kita orang ni macam ni je.. wa teringin gak nak maju... Lagipun hari-hari lu membebel.. wa nampak je bosan.. tapi wa rasa dah sedar diri sebenarnya beb..." Bob tiba-tiba membuka topik baru... "Ye lah Gong... Wa pun tak tau camana lu boleh kaya.. Tapi tak kan lu nak kaya sorang-sorang.. Wa pun sedar diri gak..." Sambung Tapa pula..

Suasana dipondok tiba-tiba seakan muram... "Ok kalau lu semua betul-betul nak maju wa boleh tolong... Kita kena buktikan... Kutu-kutu macam kita ni pun ni boleh maju..." Bagong menjawab... "Tapi macamana Bro?" Yus bertanya... "Itu semua lu bagi gua uruskan.. yang penting lu nak... Wa ingat nak bukak projek bela ikan siakap... Wa keluar modal lu orang uruskan... amacam?" Semuanya terpinga-pinga dengan cadangan Bagong.. Lagak mereka umpama anak kambing nak menyusu tapi kehilangan ibu.... mereka tak sangka Bagong rela bela nasib mereka... Padahal Bagong punya banyak pilihan selain membawa mereka bersama...

"Tapi.. macammana kita nak lepak sini lagi kalau dah buat projek tu..." Tapa bertanya sambil menggaru-garu kepala.. Lagak macam orang bodoh, padahal memang bodoh "Relaks lah mamat... pagi sampai tengah hari je kita kat kolam... Petang kita kat sini lah.. Tak kan lu nak mengadap je muka siakap tu sepanjang hari... baik tengok Milah... " Bagong menjawab dan disusuli dengan hilai tawa mereka semua... Ceria kembali keadaan laksana sekumpulan kambing kenyang pulang ke kandang.

"Wei budak... ni mesti kau yang pecah rumah aku tadi malam..." Secara tiba-tiba Pak Mail ayah Milah berteriak sambil membawa sebilah parang menuju ke arah mereka. Marah sungguh nampaknya... "Kenapa ni Pak Mail?" Yus bertanya ingin meredakan keadaan... "Tu kawan kau si Bagong tu.. mesti kerja dia yang pecah rumah aku... Tadi ada orang beritahu dia ke kedai emas kat bandar... dah tentu dia pegi jual barang-barang kemas bini aku yang dia kebas malam tadi..." Pak Mail terus menyerang...

"Pak Mail jangan cakap sembarangan.. Pak Mail ada bukti...?? ingat kami takut ke dengan parang Pak Mail tu..." Bob mara ke depan tunjuk berani... Bagong hanya tunduk sambil memegang sesuatu dalam poket seluarnya. "Yang ko sibuk tu kenapa? Aku bukan cakap kau... aku cakap si Bagong tu..." Pak Mail kembali menyerang.. "Kami ni Bodyguard Bagong.. Kalau Pak Mail nak tengok matahari lagi, lebih baik Pak Mail blah..." Bob kembali mempertahankan dengan ugutan yang keras... Pak Mail seakan tersentak dengan kata-kata Bob...

"Ok Kali ni aku lepaskan... Tapi kalau terjadi lagi... Nahas kau..." Pak Mail melepaskan ugutan terakhir lalu meninggalkan pondok itu.... Sebak hati Bagong dituduh sebegitu... "Betul ke ko yang buat Bagong....?" Tiba-tiba Bob bersuara... Namun tiada suara yang menyambut pertanyaan itu hanya satu penumbuk keras Bagong yang hinggap di perut Bob.

"Apa ni Bro gua tanya je..." Bob bersuara sambil menahan senak... "Abih tu lu pergi kedai emas buat apa?" Yus bertanya... Bagong hanya diam... diseluknya poket seluar lalu dikeluarkan sebentuk cincin kepada mereka semua... Semuanya ternganga penuh tanda tanya... "Wa nak risik Milah.." Jawab Bagong perlahan... semua yang lain terus tercengang sambil melentukkan kepala dan terjelir lidah seakan patah tulang leher... "Tapi.. Pak Mail tu ayah Milah..." Kata-kata Tapa terhenti di situ.... mereka semua terdiam...

Di suatu malam…

"Esah!!! Bukak pintu ni Esah!!! Bukak!!!" Tiba-tiba pintu rumah mak Esah di ketuk kuat seakan mahu runtuh... Terkejut Mak Esah bila saja dia membuka pintu. Pak Mail, Pak Lurah ketua kampung, Pak kosan, Milah, serta kawan-kawan Bagong juga ada. Berdiri gagah memegang parang laksana ingin berperang.

"Kenapa ni Tuk, Pak Mail.. subuh-subuh mengamuk rumah saya..." Tanye mak Esah seolah tidak paham apa yang berlaku... "Tadi malam rumah Pak Kosan ni kena pecah pulak... Mana Bagong? serah kan dia. Kalau tak pecah kereta dia kami kerjakan..." Pak Mail terus mengamuk... yang lain hanya mendiamkan diri sambil mengenggam parang ditangan masing-masing. Bob, Yus dan Tapa berdiri dibarisan paling belakang sekali sambil menggaru-garu kepala... Mengantuk agaknya.

"Kejap.. nanti saya panggilkan..."Mak Esah membalas lalu bergerak menuju bilik Bagong yang terletak berhampiran dapur.... "Bagong.. keluar Bagong.. orang kampung serang rumah kita.. tuduh kau pecah rumah Pak Kosan..." Mak esah memanggil sambil mengetuk pintu bilik Bagong yang terkunci rapat. "Biarkan lah mereka... mereka semua gila..." Teriak Bagong dari dalam bilik... "Tapi mereka nak pecahkan kereta kau...." Jelas Mak Esah lagi...

Pintu bilik tiba-tiba dibuka... Bagong hanya berbaju T dan berseluar pendek paras lutut. "Mak panggil Pak Lurah naik ke atas.. suruh yang lain tunggu di bawah..." Perintah Bagong kepada Mak Esah.. Mak Esah hanya mendiamkan diri lalu kembali ke pintu rumah... Tidak lama kemudian Pak Lurah mengekori Mak Esah menuju ke bilik Bagong "Silakan..." Mak Esah menjemput Pak Lurah untuk masuk ke dalam bilik Bagong yang kelihatan suram dari luar. Mak Esah hanya menanti di muka pintu. Muram sungguh mukanya... tak tahu apa yang terjadi...


Seketika kemudian…

"Mana budak tu Tok...?" Pak Mail bertanya apabila Pak Lurah yang terpacul di muka pintu, keluar dari rumah Mak Esah.... "Kenapa Tuk tak tangkap dia?" Tanya Pak Kosan pula...

"Dia tak bersalah..."Jawab Pak Lurah perlahan... "Mana Tuk Tau.." Terus saja ditanya Pak Mail. "Aku tengok di komputer dia..." Jawab Pak Lurah lemah... "Komputer????" Semua nye seakan berkata serentak sambil tercengang... mereka semua tidak paham...

"Habis siapa yang buat?"Tanya Pak Kosan lagi... "Man dan Mion anak aku..." Pak Lurah menjawab semakin lemah... orang kampung terus tercengang tak tahu apa yang terjadi.. mereka tidak tahu apa itu cctv. Bagong memang genius... "Aku dah cakap dah.. bukan Bagong.." Tiba-tiba Bob mencelah dari arah belakang... Milah tiba-tiba tersenyum penuh makna. Manis wajahnya walaupun dalam gelap. Tergambar rasa puas terpancar dari wajah ayu Milah.

"Habis macam mana dia boleh kaya...?" Pak Mail terus bertanya sambil menggaru kepala.. "Forex...." Jawab Pak Lurah ringkas... "Forex!!!" orang kampung seakan serentak menyahut kata-kata Pak Lurah... semuanya kebingungan, menggaru-garu kepala dan terus berlalu meninggalkan rumah Mak Esah. "Binatang apa Forex tu.." Tanya Bob kepada Tapa... Tapa hanya diam "Ala.. spesis macam siakap juga lah... kan dia ada ajak kita buat projek tu..." Tiba-tiba Yus mencelah... "Ooooo..." Tapa dan Bob bob menyahut serentak tanda paham sambil menganggukkan kepala masing-masing umpama kambing mengunyah rumput.

Mak Esah tersenyum puas. Bagong keluar dari biliknya, lalu dipeluknya Mak Esah dari sisi sebelah kanan. Mak Esah terus diam, cuma air mata mengalir membasahi pipinya. Bagong berasa begitu sayu... menitis jua air matanya. "Bagong... Kau memang suci..." bisik hati Mak Esah...

Tuesday, June 12, 2007

Insan Pertama

Dia...
Insan pertama bertahta dihati...
Hadir dalam setiap detikku...
Selimutkan daku dengan kasih sayang...
Mandikan daku dengan belaian manja..
Hidangannya terbaik bagi diriku...

Dia...
Puteri impian dalam hidupku...
Tidurku tak kan lena tanpa dodoinya..
Perutku tak kan kenyang tanpa suapnya..
Mandiku takkan basah tanpanya jirusnya...
Senyumku tak kan hadir tanpa senyumnya...

Dia...
Ratu tercantik buat diriku...
Rindu yang takkan terubat...
Kasih yang sentiasa bertambat...
Tak kan terpisah... selagi bernyawa...

Dia...
Srikandi terhebat pernahku temu...
Sabarnya... itulah inspirasiku..
Tabahnya... nadi kekuatanku...
Airmatanya... adalah azimat buatku...
Pegangan sepanjang zaman...

Dia...
Dia ubati luka hati ini...
Mencernakan minda... Mengisi jiwa...
Melagukan tarian lenggokku..
Indah seirama.. meniti pentas dunia...
Girangku menyanyi... Tawaku berseri...

Tanpanya...
Langkah pastinya sumbang...
Berdiriku pastinya tumbang...
Tawar.. hambar... senyuman ku ini...
Kerna...
Dialah insan pertama dihati ini...

Dia... Dialah ibuku...

Thursday, June 7, 2007

Milah... Kau Persis Mutiara...

Pak Leh termenung di mata tangga. Berkain pelekat, kadang tersengih kadang masam mencuka. Macam orang gila lagaknya. Dia keliru sama ada ingin tersenyum atau bermuram durja. Mana tidaknya sebagai ketua kampung Kepala Botak dia patut berbangga dengan kejayaan menjadi johan pertandingan Desa Wawasan peringkat kebangsaan. Padahal baru 3 bulan dia menjawat jawatan itu, dalam masa yang sama baru 2 minggu kehilangan isteri tercinta.

Ucapan tahniah tak henti dihambur oleh ketua-ketua kampung berdekatan, Tok Penghulu, Pegawai Daerah malah Menteri Besar sendiri. Sebenarnya kejayaan itu bukan hasil mutlaknya, sengaja ketua kampung yang lama Pak Mahdi melepaskan jawatan kerana telah capai takat umur pencen ketua kampung iaitu 65 tahun. Lagak Pak Leh macam superstar. "Kerana aku lah kampung ini berjaya..." Wah... semakin besar lubang hidung Pak Leh. Sekali menghembus nafas umpama kerbau berdengus... kalau dua kali tak ubah serombong kapal laut yang mahu berlepas dari pelabuhan.

Sebenarnya Pak Leh umpama tong kosong. Bunyinya kuat isinya kosong. Selama ini Mak Endan isteri Pak Leh banyak membantu Pak Leh dalam memberi dorongan malah seperti penasihat peribadi Pak Leh. Namun sakit buah pinggang Mak Endan akhirnya membawa maut. Kasihan Mak Endan... Kasihan Pak Leh.... Termenung sana, termenung sini. Sedihlah olok-oloknya... padahal baru 3 hari Mak Endan meninggal Pak Leh dah mula terjengok-jengok Milah janda genit kat kampung seberang. Ah... Sudah lah Pak Leh... Semenjak Mak Endan tak ada, Pak Leh macam orang gila. Nampak waras tapi tindakannya entah apa-apa. Maklumlah dah tak ada penasihat. Macam kena sawan angau.

Pak Leh sebelum ini nampak bagus orangnya. Dulu masa Mak Endan ada, lembut bahasa Pak Leh. "Jangan kerja untuk saya, tapi kerja bersama-sama saya", "Saya terbuka untuk terima teguran...", "Marilah kita sama-sama hapuskan rasuah..." Itulah antara laungan Pak Leh yang sentiasa mendapat tepukan orang kampung. Biasalah tong kosong.

Bila saja Mak Endan meninggal, Pak Leh tiba-tiba berubah sikap. Ganas macam harimau lapar. Hinggakan pernah sekali apabila mantan ketua kampung Pak Mahdi menegur kerana Pak Leh enggan meneruskan projek membina titi di hujung kampung, Pak Leh terus melenting.... "Jangan dengar kata-kata iblis.." Bentak Pak Leh keras. Kemudian apabila Pak Sahir menegur Pak Leh agar lebih hormat kepada pemimpin lama, Pak Leh terus memecat Pak Sahir dari JKKK kampung lantas meletakkan anak menantunya Khairudin sebagai pengganti. Padahal siapalah Khairudin tu, budak mentah hingusan bermata cemeh sebelah. Tong kosong kuasa dua.

Khairudin merasakan dirinya pejuang bangsa, tapi habis penduduk kampung bertelagah kerananya. Akhir sekali abang Hashim Din ketua Pemuda Caw juga yang menjadi pendamai. Semenjak penyingkiran Pak Sahir itu, tiada siapa berani melawan kuku besi Pak Leh. Pak Leh dan menantu buatlah apa saja, tiada sapa berani menentang. Bila orang kampung bertanya pada JKKK... kenapa kamu semua diam dengan tindakan gila Pak Leh... mereka hanya jawab "Kami sokong Pak Leh..." Macam dalam cerita P. Ramlee, Pendekar Bujang Lapok orang tanya apa pun dia jawab "Dugaan..." dan cerita Madu Tiga "Kesian.." He eh!!... disampuk anggau agaknya. Pemimpin ala burung kakak tua.

Sikap bermuka-muka JKKK kampung bukanlah rahsia lagi. Mereka menentang sebenarnya tapi tak berani untuk bersuara. Maklumlah... telur tak cukup masak... masing-masing nak jaga telur sendiri tak mau kasi pecah. Di depan Pak Leh mereka menjerit "Cemerlang... Gemilang... Terbilang.." Tapi di belakang Pak Leh mereka berbisik "Jahanam... tembelang.. temberang.." Kesian Pak Leh. Mana tidaknya... manusia sementah mat rempit, minah rempit malah rempit junior pun dengan selamba bagi komen... "Apa ke bodoh Pak Leh buat macam tu..." Adakah patut dia tak pergi mesyuarat bersama Menteri Besar semata-mata melayan perlawanan bola jaring anjuran Khairudin anak menantunya. Depan Pak Leh semua tepuk... belakang Pak Leh semua ludah. Itulah hakikatnya kepimpinan di bawah Pak Leh.

Sedih sebenarnya keadaan Kampung Kepala Botak semenjak kematian Mak Endan. Umpama lalang tidak bertebas. Dari jauh nampak cantik tapi dari dekat sungguh hancur, punah… ranah. Nak dekat pun gatal. Pak Leh pula asyik-asyik termenung saja. Tak tau lah termenung sedih atau berangan nak kawinkan Si Milah janda. Pernah sekali dalam mesyuarat JKKK, Pak Ajib bertanya kepada Pak Leh. "Macam mana nak atasi kemasukan sayuran asing ke kampung kita ni... harga diorang murah sampai habis sayur penduduk kampung tak laku..." Tiba-tiba dengan mata yang terkebil-kebil macam katak kena jirus Pak Leh menjawab "Saya tak fikir akan kawin lagi... Mak Endan tiada gantinya..." Tercengang JKKK kampung semua. Mereka semua berpandangan sesama sendiri kemudian tersengeh lalu bersorak "Hidup Pak Leh... Kami sokong Pak Leh..." Tapi dalam kepala otak meraka berkata "Apa punye bangganglah kata-kata Pak Leh tu... Tidur saja tau"

"Eh Milah... kau layan saje lah Si Pak Leh gatal tu... bukan kau tak tau dia gilakan kau... untung kalau jadi suami kau Milah... kaya orang tua tu.. Alah.. paling kuat 5 tahun je orang tua tu... lepas tu kau janda lah balik.. tapi kau dah kaya masa tu Milah oiii... " Mak Cik Peedah beri cadangan pada Milah, janda genit kampung seberang. Mana tak nya, makcik Peedah pun memang gila duit.. dalam mata nampak ungu je. Pak Leh memang kaya raya sekarang ni. Maklumlah duit hadiah kemenangan kampung ada RM 500 ribu. Tapi bila orang kampung mahukan pembangunan Pak Leh selalu jawab... "Mana ada duit.. duit dah dihabiskan Pak Mahdi sebelum letak jawatan..." Manalah Pak Mahdi tak sakit jantung.

Bila saja Pak Mahdi bersuara... dikatanya Pak Mahdi penipu... Apa susah, Pak Leh sebagai Ketua kampung... dia juga bendahari kampung... dan dia juga pegang Pengerusi Biro Keselamatan kampung... jadi kuasa mutlak terletak padanya...

Milah akhirnya setuju dengan cadangan Mak Peedah. Lagipun dia kasihan dengan keadaan kampung yang semakin teruk. Peniaga banyak yang gulung tikar bila banyak sangat sayuran luar masuk tanpa sekatan... Syarikat besar yang berjanji nak buka cawangan kilang kat kampung pun dah tarik diri. Mungkin perkahwinannya dengan Pak Leh dapat menaikkan martabat Kampung Kepala Botak... Siapa tau...

Berita perkahwinan Milah dan Pak Leh yang pada mulanya hanya umpatan orang kampung kini tersebar luas apabila Pak Leh sendiri membuat pengumuman dalam satu mesyuarat PIBG sekolah. "Saya sungguh sedih dan amat terharu dengan kemerosotan keputusan peperiksaan UPSR yang lalu. Oleh yang demikian, saya ingin mengumumkan perkahwinan saya dengan Milah janda Genit pada hari sabtu hadapan." Seperti biasa ucapan Pak Leh mendapat sorakan dan tepukan gemuruh oleh JKKK serta AJK PIBG. "Kami sokong Pak Leh..."

Berita perkahwinan itu tiba-tiba menjadi sensasi hinggakan papan kenyataan kampung pun terpampang muka Pak Leh dan Milah sambil tertulis "Semoga berbahagia Pak Leh dan Milah..." di pintu masuk kampung pula tergantung kain rentang sebesar 5 meter berbunyi "Milah Kampung Seberang Srikandi kampung Kepala Botak." Milah tiba-tiba menjadi popular umpama gadis yang baru menang rancangan realiti TV. Sebenarnya seluruh penduduk kampung bergembira. Harapan mereka, Milah akan mengembalikan kewibawaan Pak Leh yang disanjung tinggi sebelum ini.

Mungkin juga dengan kehadiran Milah, hubungan intim Pak Leh dan Khairudin dapat direnggangkan sedikit. Sekurang-kurangnya hasutan-hasutan nakal Khairudin yang tamakkan harta dapat ditapis oleh Milah. Maklumlah darah muda. Seluruh kampung mengharapkan Pak Leh kembali sebagai seorang pemimpin yang dilihat bersih dan disegani.

Sekarang semuanya terpulang kepada Milah. Mungkinkah Milah dapat menyedarkan Pak Leh yang terus tidur. Bolehkah Milah bertindak sebagai penasihat sepertimana yang dimainkan oleh Mak Endan. Jelas kini penduduk kampung sudah muak dan malu dengan tindak tanduk Pak Leh yang semakin melalut. Kepercayaan penduduk kampung terhadap kepimpinan Pak Leh harus dikembalikan segera menjelang pemilihan ketua kampung yang akan datang.

Di saat inilah Milah perlu memainkan peranan sebaiknya. Milah… kehadiranmu persis mutiara. Persoalannya… Adakah mutiara ini akan membawa kegemilangan kepada kepimpinan Pak Leh atau pun mutiara ini akan membuatkan Pak Leh terus hanyut dilamun tidur yang semakin indah. Lantas meng’qadak’ kan tidurnya di waktu mesyuarat berlangsung. Lihat sajalah….

Tuesday, June 5, 2007

Hati seorang tua...

Wajah tua itu sugul duduk bersandar di balik jendela... Sunyi dirinya ditinggalkan anak-anak yang kian membesar.... Apalah salahnya... dibesarkan anak itu dari sebesar tapak tangan... dari insan yang hanya tidak tahu apa-apa... hanya tangisan memberi arahan... Hilai tawa mereka semakin lama semakin jauh... dulunya sentiasa bermain ditelinga... menangis... merintih.. bergaduh... bergasak didepannya... Tiba-tiba situa ditinggalkan sepi... kasihan situa...

Tangan si tua mengusap-usap peha sendiri yang semakin kendur... Dulunya rambut anak dibelai.. dinyanyi agar nyenyak tidur... Rambut disisir rapi agar sentiasa berseri... Kini.. si tua hanya sendiri... Menanti hari yang terus pergi... Entah esok entah lusa Situa akan pergi jua...

Situa termenung sendiri... Anak-anak semua nya telah berjaya... Puas sungguh hatinya... Berjaya.. berkerjaya... dihormati.. dipandang tinggi... Situa tak pernah menyesal... belaian kasih sayang yang dicurah.. keringat yang dikerah... kesunyian yang diganti.... "Tak pe lah wahai anakku... kau makan lah dahulu... sisa mu itu saja untuk diriku..." Itu dulu... kini situa makan sendiri... anaknya berdekah-dekah di kedai kopi...

Jauh situa merenung... kerinduan yang tidak dapat dipendam... Rindu serindu-rindunya... sunyi sesunyi-sunyinya.... Bila saja anak ingin kembali... Rumah dihias rapi... makanan yang enak dihidang.... bagai menyambut menteri yang datang... Padahal dulu... betapa comotnya anak itu... Betapa busuknya budak itu... Kini bila ia ingin kembali... sitau girang menanti...

Menitis air mata Situa... anak yang dinanti masih belum kembali... bukan lah helaian wang ehsan pengubat hati... tapi sekadar pulang menjenguk situa ini... Sedikit belaian yang dicurah tak kan sama segunung kasih sayang dan pengorbanan situa beri... Namun bagi situa.. cukup lah itu wahai anak... itu semua sudah memadai... sebelum situa ini pergi.. pergi buat selama-lamanya...

I luv u mum....