Sunday, January 6, 2008

Hati Batu.

7 Januari. Genaplah umur aku 35 tahun. Mungkin bagi sesetengah orang mereka begitu gembira menyambutnya. Sambut dengan keriangan dan kegembiraan. Mereka meraikan bersama keluarga, rakan-rakan dan sesiapa saja yang rapat di sekeliling. Sambutan yang meriah dengan kek yang enak, belon berwarna-warni yang bergantungan, nyanyian, hilai tawa dan ucapan tahniah yang tidak putus-putus. Namun bagi aku, tarikh keramat 7 Januari saban tahun membuatkan aku menjadi takut. Takut pada diri sendiri, takut pada masa yang terus berlalu dan membuatkan aku benci dengan tarikh 7 Januari.

Kalau dulu masa umur aku belasan tahun aku juga seperti orang lain yang pastinya ngairah menyambut ulang tahun. Bangga kerana merasakan aku semakin dewasa. Namun kini setiap 7 Januari aku sedih meratapi diri sendiri. Aku masih sendiri tiada berteman. Bukankah tuhan menciptakan manusia itu berpasang-pasangan. Tapi siapa pasangan aku?. Mengapa aku masih sendiri?. Buruk sangatkah wajah aku ini? padahal aku juga insan ciptaan tuhan seperti mereka. Kawan-kawan seangkatan dengan ku semuanya sudah bahagia bersama keluarga masing-masing. Gembira bersama suami, bersenda bersama anak. Masa depan mereka cerah. Hidup sentiasa ditemani dan hari tua yang pasti dibela tidak seperti aku yang hidup keseorangan.

10 tahun lalu aku bercinta dengan Yazid. Aku mengenalinya semenjak sama-sama menuntut di Institut Teknologi Mara di Dungun lagi. Yazid seorang yang tampan, baik dan penyabar. Aku sayang sangat padanya. Tapi aku selalu saja suka menduganya, suka mencurigainya dan terlalu mengongkongnya. Entahlah mungkin aku terlalu sayang padanya sehingga aku terlupa pada kebebasan hak peribadi seorang anak lelaki.

Mungkin dia rimas dengan sikap aku. Pernah sekali aku menduganya untuk memilih antara untuk menemani aku pergi menonton wayang dikala dia mahu pulang ke kampung untuk majlis kenduri keluarganya. Mungkin aku merasakan aku terlalu bagus dan aku rasa Yazid terlalu menyayangi aku dari yang lain-lain. Tapi aku silap kerana sikap aku membuatkan Yazid terus meninggalkan aku dan bernikah dengan gadis pilihan ibunya. Bagi aku Yazid bukan lelaki sejati yang perlu mengikut arahan walaupun dalam perkara yang amat penting dalam memilih pasangan hidup. Dulu aku rasa aku tak galat kehilangan lelaki lemah seperti Yazid.

2 tahun selepas itu aku mengenali seorang jejaka bernama Hairul. Tegap, gagah dan berkulit sawa matang. Berbeza dengan Yazid yang putih melepak. Hairul agak pendiam, tegas dalam setiap tindakan. Aku suka dengan sikap Hairul yang menampakkan dia lelaki sejati tidak sepeti Yazid yang menurut saja kemahuan ibunya. Kami bercinta tetapi tidaklah seperti kekasih lain yang berkepit seperti belangkas. Jarang sekali aku dapat menyentuh kulitnya walaupun kami berjalan atau duduk bersama walau dalam panggung wayang sekali pun.

Hairul menyampaikan hasrat untuk menikahi aku. Waktu itu usia aku baru 25 tahun dan aku rasa ia terlalu muda. Aku belum puas untuk enjoy. Belum bersedia untuk berhenti kerja seperti yang dimahukan oleh Hairul yang menginginkan aku menjadi suri rumah sepenuh masa. Hairul memberi aku tempoh selama 2 tahun untuk berhenti kerja dan menikah dengannya.

Kami terus bercinta seperti biasa dan aku rasa aku tak akan meninggalkan kerjaya aku. Aku selesa dengan kejayaan kerjaya aku sebagai seorang pegawai kerajaan dan sentiasa dipandang dan semakin dipandang tinggi. Waktu itu dalam hati aku sudah terbayang kerusi Pengarah Jabatan yang aku begitu yakin suatu hari nanti akan menjadi milik aku.

Prestasi aku yang sentiasa mendapat pujian membuatkan aku lupa pada tempoh 2 tahun yang diberikan Hairul yang semakin berjaya dalam perniagaannya. Akhirnya Hairul akur dengan keputusan aku yang tidak mahu berhenti kerja. Aku gembira kerana Hairul menerimanya. Walau begitu aku rasa aku belum bersedia untuk berkahwin. Aku belum bersedia untuk mengandung. Banyak perkara yang perlu aku capai sebelum aku mula untuk memperlahankan momentum mengejar apa yang aku impikan. Tiba-tiba aku terkejut apabila dalam kesibukan aku, Hairul menghantar undangan perkahwinannya dengan rakan serumah aku. Dulu bagi aku Hairul memang seorang yang sungguh zalim yang mementingkan diri sendiri dan aku tak kisah kehilangan lelaki zalim sepertinya yang menjadikan teman serumah aku teman hidupnya.

Bila saja aku berpisah dengan Hairul aku terasa Hairul sangat jahat dan aku perlu mencari seorang lelaki yang betul-betul baik dan jujur dalam perhubungan. Tuhan maha kuasa dan menemukan aku dengan Rizman dalam suatu majlis dalam keadaan yang tidak disengajakan. Rizman sangat jujur, baik dan bagi aku segalanya ada padanya. Baru sebulan perkenalan kani Rizman mengajak aku berjumpa dengan keluarganya. Memang suatu yang berat untuk aku terima tetapi aku turuti kerana menurut Rizman dia mahu hubungan ini diberkati keluarga. Aku ingat lagi hari itu 7 Januari dan aku menyambut hari lahir yang ke 29. Suatu kejutan yang Rizman berikan apabila membuat sambutan ulang tahun kelahiran aku di rumah keluarganya. Suasana kampung yang aman dan belum pernah aku alami. Budi bahasa dan keramahan keluarga Rizman yang belum pernah aku temui. Aku dilayan seperti permaisuri sepanjang 2 hari aku tinggal di rumah keluarga Rizman. Mereka pandai melayan, mengambil hati dan lemah lembut dalam mengatur pertuturan. Berbeza dengan keadaan keluarga aku yang agak kasar, maklumlah keluarga ramai lelaki dan aku saja anak perempuan tunggal. Memang kekok bila aku berada di Rumah Rizman.

6 bulan selepas itu Rizman menyampaikan hasrat untuk melamar aku. Mulanya aku rasa sungguh gembira kerana Rizman sememangnya sebaik-baik lelaki yang pernah aku jumpa. Tapi entah perasaan apa yang tiba-tiba merosakkan aku. Tiba-tiba aku berprasangka buruk. Aku teringat kembali layanan keluarganya yang sungguh baik terutama ibunya. Ibu Rizman yang merupakan wanita yang paling rapat dengan Rizman dan boleh kah aku jadi sebaik ibu Rizman..? Adakah Rizman sesuai dengan aku yang sedikit kasar ini. Aku tak pandai untuk menghias rumah. Tak pandai memasak dan aku bukan lah seorang yang lemah lembut seperti ibu Rizman malah rasanya aku lebih kasar dan tegas daripada Rizman. Mana mungkin aku boleh menjadi isteri Rizman dan kalau itu terjadi boleh kah aku menjadi seperti ibu Rizman atau sekurang-kurangnya boleh hormat dengan lelaki sebaiki Rizman. Persoalan jahat yang selalu bermain difikiran dan akhirnya aku meminta untuk berpisah dengan Rizman.

Rizman memang hebat dan enggan menerima perpisahan yang aku pinta. Dia tidak pernah putus asa untuk terus datang kepada aku. Mulanya aku aku merasakan aku ingin menerimanya kembali namun apabila Rizman sering datang merayu aku rasa begitu rimas dan meluat. Aku rasakan Rizman mahu mengambil kesempatan di atas kejayan yang aku kecapi. Aku rasa aku tak perlukan lelaki yang tiada ego sepertinya. Lelaki perlu ada ego... Tapi anggapan aku meleset kerana setelah 6 bulan dia cuba merayu dia terus hilang begitu saja yang membuatkan aku seperti gila bayang. Aku terasa begitu kehilangan dan membuatkan aku merayu untuk kembali kepadanya. Tapi malang Rizman tegas menolak aku dan enggan menerima aku kembali. Aku Pasrah dangan keputusan Rizman.

7 Januari ini datang lagi. Membuatkan aku terkenang kisah-kisah lalu. Memang aku sudah berjaya dalam kerjaya. Memang aku selalu saja dihormati di sana sini. Dikenali sebagai seorang yang berdisiplin, tegas dan komited terhadap tugas. Itu dikala aku bekerja. Tapi tiada siapa yang tahu jiwa ini yang selalu saja menangis sendirian. Aku terasa sungguh sunyi sekali. Aku juga seperti insan lain yang mahu dibelai dan dimanja oleh insan bergelar suami. Aku juga inginkan bersenda dengan gelak tawa dan tangisan anak.

Hari terus berlalu dan aku tidak pasti adakah ada lagi insan bergelar lelaki berani mendekati aku kini bergelar seorang Ketua Pengarah. Mungkinkah dunia ini kejam kerana tidak menyediakan pasangan untuk aku... Aku terkenangkan Yazid... Lemah sangatkah Yazid? Aku terkenangkan Hairul... Zalim sangatkah Hairul... Aku terkenangkan Rizman... Tidak bolehkah aku menerima orang yang baik sebaik Rizman? Adakah mereka semuanya jahat? Lelaki yang macam mana yang sesuai dengan aku sebenarnya....

Aku terus memejamkan mata... tak sanggup untuk melihat mentari yang bakal muncul di ufur Timur. Mungkin aku harus buang sikap 'Hati Batu' ini... Keegoan yang sungguh tebal hingga memusnahkan segalanya. Memusnahkan hubungan aku dengan Yazid, Hairul dan Rizman.

Kini aku sedar dengan Hati batu ini.. dan aku bertekad akan menerima sesiapa saja yang datang kepada aku selepas itu. Namun 3 tahun aku menunggu... belum ada yang muncul kembali selepas Rizman... Mungkin aku harus menunggu setahun lagi... atau 2 tahun lagi... atau aku akan terus kesunyian sebegini dan akan meratapinya disetiap 7 Januari. Entahlah...