Thursday, August 21, 2008

"Misteri Cinta Rafflesia" Is ready...

Salam sejahtera semua.

Bagong rasa bersyukur hari ini kerana akhirnya Bagong berjaya siapkan Novel "Misteri Cinta Rafflesia". Untuk Makluman Novel ini 4 kali ganda panjangnya dari cerita yang asal. Ia mengandungi 18 Bab keseluruhan dalam 211 muka surat. Bagong benar-benar minta maaf kepada pembaca blog ini kerana langsung tak sempat untuk update. Bagong berhempas pulas selama sebulan menyiapkannya disamping menjalani kehidupan seharian yang terlalu sibuk.

Hari ini Bagong gembira. Bagaikan satu beban telah terlepas. Bagong bersedia untuk terus menulis cerpen-cerpen untuk anda. Semoga cerita yang akan Bagong ketengahkan dapat memberi sedikit pengajaran kepada anda. Siapalah Bagong tanpa tulisannya. Di bawah ini Bagong senaraikan Bab-Bab dalam Novel Bagong, "Misteri Cinta Rafflesia". Tunggu kelahirannya dipasaran.


BAB 1 : PERMAINYA BUMI TUHAN

Bunga Rafflesia yang kaku dan keras itu kujadikan lambang keutuhan dan cinta yang sejati. Lambang ketenangan yang sering kudambakan siang dan malam. Sehingga membawaku jauh ke bumi Sabah.


BAB 2 : MISTERI SI RAFFLESIA

Aku terpaku melihat wajah ayu bermata bundar dengan lesung pipit di kedua-dua belah pipi. Wajah yang sederhana, namun ayu pada pandangan mata lelakiku. Sungguh, hatiku benar-benar terpikat tatkala pertama kali aku memandangnya. Siapakah gerangan gadis berwajah polos itu. Naluri hatiku benar-benar mendesak untuk mengenalinya…

BAB 3 : RAFFLESIA KELAYUAN

Tidak semena-mena air mata aku mengalir. Aku hanya menggeleng-gelengkan kepala, tidak percaya dengan apa yang terjadi. Pertemuan seketika yang sebegitu indah tetapi sekelip mata saja hilang bagaikan suatu mimpi ngeri yang mengganggu tidurku.


BAB 4 : BISIKAN RAFFLESIA

Rafflesia terlalu hebat. Pandangan pertama saja sudah cukup untuk menggegarkan jiwa. Bila dia bersuara ia pasti terus meresap ke dalam sanubari dan bila dia tersenyum, senyuman itu bisa melunturkan kepejalan hati yang keras. Pastinya tiada siapa yang dapat menahan panahan Cinta Rafflesia.


BAB 5 : TUMPAS KERANA RAFFLESIA

Memang Zali penuh dengan sifat pendendam. Bukan sekali ini dia cuba sakitkan hati aku tapi telah berkali-kali. Lama aku membiarkan tetapi akhirnya merasa juga dia tapak kasut aku ini. Mungkin sedap rasanya makan tapak kasut berkicapkan darah mulut sendiri.


BAB 6 : BAYANGAN RAFFLESIA
Hari ini niat aku adalah hanyalah untuk mendapatkan Rafflesia. Apa pun terjadi aku akan pastikan niat aku tercapai. Rafflesia akan benar-benar hadir dalam hidup aku. Hadir dalam keadaan yang nyata. Aku tak suka diganggu oleh bayangan Rafflesia lagi

BAB 7 : RACUN UNTUK RAFFLESIA.

Aku tersentak sejenak mendengar berita itu. Sukar untuk aku mempercayainya. Bukan sehari dua aku mengenali Shah. Kami kenal begitu lama semenjak di Sabah lagi. Tak mungkin Shah akan meninggalkan aku atau ingin mempermainkan aku kerana paksi cinta kami begitu kukuh tak mungkin akan tergugat..


BAB 8 : GUGUR SEKUNTUM RAFFLESIA

Aku seakan percaya apa yang diperkatakan oleh Suzy petang tadi lalu aku merasakan Shah hanya berpura-pura dalam menyayangi aku. Kucupan Shah terhadap aku malam ini juga gagal mengusik jiwa aku. Aku dapat rasakan kucupan itu begitu hambar. Tidak hadir dari hati nuraninya yang ikhlas

BAB 9 : LILIN MEMBAKAR DIRI

Mujurlah ia berlaku begitu awal. Masih belum terlajak lagi. Nani sangkakan dia begitu mengenali Shah tetapi ternyata dia silap. Sikap Manusia memang sukar diramal. Hati bagaikan aliran air. Begitu mudah dilentur, begitu mudah diubah haluannya. Kini Nani hanya pasrah dengan takdir perpisahan

BAB 10 : MENCARI SEBUAH JAWAPAN

Apa sebenarnya anggapan Dr Izhan terhadap niat aku memulihkan Danial. Mungkin dia beranggapan niat aku adalah untuk menanti cinta dari Danial yang tidak pasti. Jika itu anggapannya aku rasa Izhan silap. Dia perlu tahu antara cinta dan tanggungjawab. Cinta Danial tidak perlu dinanti. Ia memang benar-benar wujud dan begitu utuh sekali. Tapi sayangnya cinta itu bukan milik aku tetapi milik Noni Rafflesia.

BAB 11 : MASIH ADAKAH RUANG DI HATI

Kejayaan aku mengajaknya ke Desaru adalah satu permulaan kejayaan sebelum mencapai kejayaan yang lebih besar. Kalaulah dia langsung tiada hati terhadap aku, tak kan dia akan sudi menerima pelawaan aku. Lagi pun sepanjang perjalanan Nani nampak begitu ceria. Harapan aku keceriaan itu berterusan dan membibitkan satu hubungan kasih antara kami berdua.


BAB 12 : KESAYUAN RAFFLESIA

Dr Izhan memang pelik dengan telatah Danial terhadap Nani. Seakan ada suatu kaitan yang kuat antara mereka berdua. Kadang Kala pula dia melihat Nani dan Danial bagaikan sepasang insan yang sedang berkasih. Kasih yang amat pelik. Bersatu dalam roh cinta yang begitu mendalam. Antara dua situasi yang berbeza, antara siuman dan tidak.


BAB 13 : IGAUAN RAFFLESIA

Aku begitu terharu dengan ucapan Rafflesia yang begitu ikhlas. Dia menghulurkan tangannya lalu aku menyambutnya. Tangan kami bersatu menggenggam erat bersama bagai memadu janji yang diluah dari hati ke hati. Tanpa bicara, tanpa suara, namun ia memang ada .


BAB 14 : RAFFLESIA KEMBALI BERPUTIK

Bagaikan ada satu hubungan intim antara mereka berdua. Dia dapat merasakannya tetapi tidak pasti. Yang pasti hubungan yang sebegitu intim seringkali membuatkan Danial keliru terhadap Nani sama ada Nani adalah Doktor yang sedang merawatnya ataupun Nani adalah kekasih yang sering menjaga dan sentiasa bertahta di hati.


BAB 15 : RAFFLESIA MEKAR KEMBALI.

Danial terus menarik tangan Nani yang kaku bagai terkunci menuju ke jambatan lama yang kelihatan semakin usang. Nani tiada pilihan lain. Dia tidak mampu melawan genggaman erat tangan Danial lalu terus menghayunkan langkah secara paksa mengekori menuju ke jambatan usang yang sungguh mengerikan.


BAB 16 : CINTA SI RAFFLESIA

Tangan Danial dilepaskan namun hati masih bersatu. Dengan senyuman yang penuh kebahagian mereka keluar dari kereta dari arah kiri dan kanan lalu melangkah ke hadapan dan bersatu kembali menggenggam tangan bersama tanpa dipaksa.


BAB 17 : MISTERI CINTA RAFFLESIA

Aku terus tenang. Nani terus bingung. Bagi aku kehadiran Noni Rafflesia kali ini bukanlah ancaman tapi sebaliknya hanya untuk menghuraikan segala misteri yang telah tersimpan. Keadilan yang perlu dihuraikan terhadap pembunuhan kejam yang tiada sebarang pembalasan.


BAB 18 : SATUKAN CINTA RAFFLESIA

Hari ini aku begitu bangga dengan Danial Afendi. Dia begitu tenang menghuraikan satu persatu misteri yang tidak pernah terfikir selama ini. Paling aku bangga Danial begitu tenang melalui Misteri Rafflesia untuk kali kedua. Tidak sia-sia selama ini aku memberi kekuatan dan dorongan kepada Danial. Aku harap Danial Afendi akan terus kuat menyusuri kehidupan hari-hari mendatang walaupun tanpa Nani Rafflesia.