Friday, September 5, 2008

H K S (Bab 2). : Ayah & Ibu

Malam semakin larut. Kelihatan mata ayah semakin layu. Kadang kala terasa geli hati pula memerhati ayah yang tersenggut-senggut di bucu meja Jepun setinggi satu setengah kaki. Mungkin dia terlalu mengantuk agaknya. Kasihan dia, sanggup menemankan anak perempuannya manghabiskan kerja sekolah walaupun dalam keadaan yang tidak begitu larat.

“Ayah pergilah masuk tidur dulu… Wani nak siapkan kerja sekolah sikit lagi ni…” Ayah diam saja Cuma sedikit tersenyum. Tak pasti sama ada senyuman itu diukir dalam keadaan sedar ataupun mamai.

“Ayah… Tolong Wani pamkan lampu gas, cahayanya dah semakin malap.”

Ayah terus bangkit tidak membantah. Ternyata dia masih sedar lagi. Ayah menjengkitkan kaki memanjangkan tubuh lalu mencapai lampu gas yang tergantung pada palang kayu di tengah-tengah ruang tamu. Perlahan dia menurunkan lampu gas itu lalu meletakkannya di lantai bersandar pada tiang seri rumah.

“Gas dah nak habis ni” Ayah memberitahu. Aku diam saja kerana aku sendiri tidak faham tentang teknikal lampu gas itu.

Ayah menarik kepala pam lampu gas yang berwarna merah lalu menolaknya semula. Dia melakukannya beberapa kali sehingga cahaya lampu gas itu kembali cerah.

Ayah terus menarik dan menolak pengepam lampu gas dengan lebih laju sehingga menggegarkan lampu gas itu. Tiba-tiba terlihat koyakkan berlaku pada mentol lampu gas yang diperbuat daripada nilon. Semakin lama koyakkan itu semakin besar.

Ayah terus menggelabah. Dia terus meluru ke tepi dinding dan terus mencapai pelita yang terdampar di situ. Terus saja dia meleretkan mancis kayu lalu mencucuhkan apinya pada sumbu pelita itu. Pelita itu terus menyala, namun lampu gas semakin malap. Koyak pada mentolnya semakin membesar dan mentolnya terus terkapai-kapai menunggu masa untuk gugur.

Ayah tersenyum sambil memerhatikan aku. Aku membalas senyuman itu. Sebenarnya kami berasa gelihati dengan kejadian tadi. Tujuan asal mahu menerangkan kembali cahaya lampu gas yang semakin malap tetapi hasilnya mentol lampu gas itu terkoyak lalu memadamkan terus lampu gas. Kini rumah kami hanya diterangi dengan sebiji lampu pelita sahaja yang cahayanya jauh lebih malap berbanding cahaya lampu gas.

“Tu lah… dia suruh Wani tidur tu…”
“Mungkin juga..” Aku membalas kata-kata ayah lalu kami tersenyum bersama.

“Tapi kerja sekolah Wani belum siap lagilah ayah”
“Tak apa esokkan Wani boleh sambung lagi. Lagipun esok hari cuti..”
“Tak boleh… Kan esok ayah dah janji nak bawa Wani jalan-jalan”
“Yelah.. kita jalan esok pagi.. petang atau malam Wani siapkan lah. Tak kan nak jalan satu hari kot…”
“Tu lah... ayah tu ganas sangat, lain kali kalau nak pam lampu gas tu perlahan-lahan lah sikit…” Aku memerli ayah. Ayah senyum saja.

“Sebenarnya Ayah kamu tak sabar nak masuk tidur tu Wani..” Tiba-tiba suara ibu mencelah.

Ayah tersenyum lagi lalu dia terus menjeling ke arah ibu menandakan sedikit geram. Ibu membalasnya dengan senyum sinis sambil keningnya terangkat sedikit. Entah apa maksud disebalik reaksi mereka berdua. Insan kurang matang seperti aku masih belum mampu memahaminya reaksi orang dewasa seperti mereka.

Aku terus akur dengan keadaan dan terus masuk ke dalam bilik tidur. Ayah dan ibu juga begitu, berjalan seiring menuju ke bilik meninggalkan pelita yang hanya ditemani oleh lampu gas yang kini telah terpadam.


Awal Pagi..

Aku bangkit awal di pagi ini. Kedinginan air perigi langsung tidak melemahkan semangatku. Sebenarnya nasib aku memang cukup baik kerana setiap pagi sebelum aku bangkit dari tidur air mandi pasti sudah tersedia.

Sebelum subuh lagi ayah sudah mencedukkan air dari telaga di belakang rumah dan dipenuhkannya ke dalam tempayan simen di dalam bilik mandi. Itu sungguh memudahkan tugas aku. Aku hanya perlu menceduknya dengan gayung tempurung kelapa lalu simpah saja ke seluruh tubuh ini. Begitu beruntungnya menjadi anak perempuan yang manja seperti aku.

“Wani cepat lah sikit.. nanti tertinggal bas..” Ibu sudah mula mahu berleter seakan tidak sabar. Cepat-cepat aku keluar dari bilik dan terus menuju ke pintu hadapan. Aku lihat ibu sudah menanti di muka pintu dan ayah pula sudah bersedia di atas motorsikal Honda C70 nya. Sungguh bergaya sekali mereka hari ini. Bangga aku kerana mempunyai ibu yang cantik dan ayah yang begitu kacak.

Ayah terus mengangkat aku dan didudukkannya di hadapan sekali dengan kaki dimasukkan ke dalam bakul motorsikalnya. Ibu pula terus saja melompat di belakang ayah lalu ayah menerjahkan kakinya menekan penghidup enjin motosikal untuk menghidupkan enjinnya.

Setelah enjin dihidupkan ayah terus meluncur laju melalui denai di sisi tali air dan kemudiannya melalui jalan tanah merah yang berdebu untuk menuju ke simpang jalan masuk ke kampung kami. Aku yang duduk paling hadapan sekali terasa begitu nyaman dengan tiupan angin yang menerbangkan rambut aku yang panjangnya paras bawah bahu.

“Bang cepat sikit… bas dah nak sampai tu…” Ibu menjerit sambil menghunuskan tangan ke arah bas buruk yang bergerak perlahan menghampiri simpang. Terasa bergegar motosikal ayah apabila ibu seakan mengenjut-henjutkan badannya menguruh ayah menunggang lebih laju. Secepat kilat ayah terus melambai-lmbaikan tangan memberi isyarat supaya bas itu diberhentikan.

Ayah terus memberhentikan motorsikal dan menyandarkannya pada sebatang pohon durian. Kami sekeluarga terus berlari mengejar bas yang masih sudi menanti.

Aku terus melangkah naik ke dalam bas yang sememangnya sudah penuh sesak dan diikuti ibu dan kemudiannya ayah. Nasib kami kurang baik kerana tempat duduk semuanya sudah penuh. Kami terpaksa bersesak-sesak berdiri selama sejam hingga ke bandar.


Di Bandar…

Penat kami merayau hari ini. Dari satu kedai ke satu kedai. Matahari pula sungguh terik ditambah pula ibadah puasa yang sedang dikerjakan. Terasa begitu mencabar ibadah puasaku hari ini.

“Lama lagi ke ibu? Wani dah letihlah”
“Ada sikit lagi… Baju Wani belum beli lagi. Kita masuk kedai tu..”

Ibu memberitahu sambil menghunuskan telunjuknya ke arah kedai yang tertulis ‘Kedai Pakaian Tan Lee Lee’. Ayah diam, menurut saja kata-kata ibu. Begitulah lumrahnya wanita. Apabila membeli belah merekalah raja.

Ibu terus membelek-belek baju yang berlonggok di atas meja yang dialas dengan tikar getah berwarna coklat gelap. Ramai orang mengerumuni timbunan baju itu umpama semut yang mengerumuni gula. Mereka mengambil dan kemudian membeleknya satu persatu. Jika berkenan mereka akan terus tersenyum sebaliknya jika tidak mereka akan mencebik mulut lalu melontarkan baju itu kembali ke timbunannya.

“Wani cuba tengok ni.. lawa tak…” Kata ibu sambil menayangkan sehelai baju gaun berwarna biru tua.

“Ish awak ni. Budak ni kan dah sekolah tak kan lah nak pakai baju gaun macam tu lagi.” Ayah memprotes. Aku diam saja walaupun aku benar-benar berkenan dengan baju itu.

“Apa salahnya.. dia kan budak lagi… Baru darjah 3”
“Tapi saya ni kan imam.. nanti apa pula orang kata..”
“Abang ni segan dengan orang ke tuhan… Dia kecil lagi lah bang….” Ibu menegakkan hujah.

Itulah ibu bila dia berminat pada sesuatu dia akan tetap mahukannya. Jelas hujah ibu itu membuatkan ayah mengalah. Aku gembira mendapat baju gaun biru yang sungguh comel pilihan ibu. Ibu memang pandai memilih.

“Sayang kita balik sekarang… Bas terakhir pukul 5.30. Kita ada 10 minit lagi ni.” Ayah memberitahu sambil menayangkan jam tangan yang terlekat pada tangannya. Ibu mengangguk saja lalu menarik tangan ayah yang sedang mendokong aku. Tak larat rasanya aku mahu berdiri lagi semenjak pagi tadi. Kami terus bergerak menuju ke stesen bas yang terletak benar-benar di hadapan kedai pakaian tadi.

Sesampai saja di stesen bas kami sedari enjin bas sudah dihidupkan. Penumpang juga sudah ramai dan bersedia menantikan bas untuk digerakkan. Tidak lama kemudian pemandu bas mula masuk dan duduk di tempat duduk pemandu.

Bas itu terus meluncur laju meninggalkan bandar yang begitu sibuk dengan kenderaan. Wajah ibu terus bersinar, mungkin puas dengan barang-barang kelengkapan raya yang telah dibeli. Ayah juga tersenyum saja, mungkin gembira kerana kami sekeluarga tidak perlu lagi berdiri dalam perjalanan pulang.

Dari jauh terlihat cahaya matahari mula condong di ufuk barat. Sudah sedia untuk berlabuh. Suasana di dalam bas pula gak ceria. Seorang penumpang yang duduk di bahagian belakang mula menyanyi dan beberapa penumpang yang lain bertepuk tangan mengiringi nyanyian itu.

Tiba-tiba perjalanan bas yang tadinya lancar kini mula terhenguk-henguk. Nyanyian dan tepukan tangan girang tadi juga serta merta terhenti. Pergerakkan bas juga mula perlahan dan menuju ke bahu jalan.

“Kenapa ni…” Ayah terus menjerit bertanya kepada pemandu bas.

“Tak tahulah… nanti saya tengok dulu…” Jawab pemandu bas itu

Penumpang lain mula gelisah. Keadaan penumpang yang penuh sesak membuatkan bahang begitu terasa. Beberapa orang penumpang mula turun memandaikan diri mengeluarkan teori tentang masalah yang bas ini hadapi. Ayah dan ibu pula hanya diam saja, mungkin kepenatan agaknya.

“Minta maaf semua… Bas kehabisan minyak..” Suara pemandu bas tiba-tiba melebihi keriuhan suara penumpang lain.

“Habis tu kami ni macam mana…” Tanya seorang penumpang.

“Kita cuba tunggu bas lain..”

“Dah petang-petang macam ni mana ada bas… Lagi pun ini bas terakhir” Tanya ayah pula.

“Insya Allah ada..” Pemandu itu cuba memberi harapan.

Semua penumpang turun dan menanti di bahu jalan kalau-kalau ada bas yang lain melintasi jalan itu. Hari semakin tua. Matahari mula terbenam, kemerahan mega di ufuk barat mula menjelma. Semua penumpang semakin gelisah kerana waktu maghrib semakin hampir.

“Ha tu ada…” Tiba-tiba salah seorang lelaki mengejutkan kami. Semua yang ada di situ terus tercengang melihat sebuah traktor yang sedang bergerak sambil menarik sebuah gerabak kayu di belakangnya.

“Gerabak pun gerabaklah… janji sampai..” Kata seorang pemuda lalu disambut dengan ketawa yang berdekah-dekah.

Traktor itu berhenti di hadapan bas. Setelah pemandunya berbincang dengan pemandu bas, kami semua dipanggil untuk naik di bahagian dalam gerabak. Jelas terserlah wajah kelegaan disetiap muka penumpang yang ada di situ. Kami semua terus bergerak dengan gerabak yang ditarik dengan traktor.

Dalam perjalanan tiba-tiba terdengar bunyi azan dari kampung berhampiran. Sayup-sayup bunyinya. Semua penumpang terus berpandangan antara satu sama lain. Ayah terus mengeluarkan sebotol air minuman lalu meneguknya. Kemudian dia menyerahkan kepada ibu yang terus juga meneguknya. Botol air itu terus disampaikan seorang demi seorang hinggalah semua penumpang dapat meneguk airnya untuk membatalkan puasa di hari itu.

“Wani… Menungkan apa tu..” Aku tersentak dan terus menoleh ke belakang. Aku lihat wajah Pakcik Man bersama isterinya.

“Tak ada apa-apa Pakcik.. Wani ingatkan Ayah dan ibu saja…”

“Sabar Wani… yang pergi tetap pergi… kita yang hidup perlu terus bergerak. Kehidupan mesti teruskan. Kehidupan masih panjang Wani...” Pakcik Man memberi nasihat cuba melegakan hati aku.

Aku bangkit perlahan dari terus menghadap pusara ibu yang masih merah tanahnya. Kemudian aku menguatkan semangat untuk berpaling lalu terus melangkah. Aku harus meninggalkan ibu bersendirian di tanah perkuburan ini sementara dia menanti soalan dari malaikat Nukar dan Nakir. Kini dunia kami telah terpisah. Kami berada dialam yang berbeza tapi aku yakin jiwa kami tetap bersatu bersama kenangan lalu.

Memang kehidupan lalu sungguh usang namun aku berasa begitu bahagia dengan kehidupan itu. Kenangan lalu yang begitu indah bisa membuatkan aku tersenyum sendirian apabila mengingatinya. Aku begitu rindu dengan belaian ayah.. Begitu rindu dengan kasih sayang ibu. Aku begitu rindu dengan kenangan lalu.

Sesungguhnya kenangan lalu sentiasa akan menjadi bukti betapa suatu ketika dahulu keluarga kami pernah merasai erti kebahagiaan. Kebahagiaan yang sentiasa membuatkan aku gembira dan ceria. Namun kini kebahagiaan itu kian lenyap. Tiada lagi belaian ayah, tiada lagi peritnya pengorbanan ibu dan aku kini hanya bersendiri. Sesungguhnya hatiku ini semakin sepi…

Monday, September 1, 2008

HATI KIAN SEPI. : BAB 1

Bulan Ramadan memasuki hari yang ke tujuh hari ini. Bulan yang penuh keberkatan dan cucuran rahmat tuhan bagi mereka yang sanggup berkorban untuk mendapatkannya. Tuhan begitu Pemurah mengurniakan Ramadhan kepada Ummat Muhammad untuk peluang menambah bekalan pahala sebanyak yang mungkin.

Mungkin jika 11 bulan yang lain kita begitu lalai dengan kehidupan duniawi, Ramadhan adalah kurniaan tuhan untuk manusia kembali kelandasan mencari erti kehidupan yang sebenar. Hidup sebagai hamba yang hanya menumpang nikmat dunia yang hanya sementara. Begitu singkat jika dibandingkan dengan akhirat yang kekal abadi. Namun manusia seperti aku begitu lemah dan selalu lalai dengan semua itu. Kadang terlupa kepada tujuan hidup sebagai khalifah di muka bumi ini lalu begitu ego mencari kebahagiaan dunia semata sedangkan apa yang tuhan perintahkan adalah mencari kebahagiaan duniawi untuk bekalan di akhirat. Aku selalu tertipu. Mungkin itulah yang dinamakan nafsu. Nafsu yang mengawal diri melebihi akal fikiran yang waras.

“Wani… Mak tak larat nak pergi ke surau malam ni. Wani pergilah sendiri” Suara ibu begitu lemah malam itu. Jauh di sudut hati aku beranggapan ibu terlalu lemah kerana gagal melawan sedikit ujian tuhan demi menunaikan solat terawih secara berjemaah di surau yang terletak hanya kira-kira 500 meter dari teratak kami. Nyata perasaan itu begitu zalim. Mungkin perasaan sebegitu merupakan suatu kesalahan yang amat besar bagi seorang anak seperti aku. Aku begitu zalim menganggap ibu sebegitu.

Aku pergi ke surau bersendirian malam itu. Memang aku menyedari Solat Teraweh merupakan sunat Muakat bagi ummat Islam. Aku juga sedar aku sebenarnya tidak perlu pergi ke surau untuk menjalani ibadah ini kerana tempat paling afdal bagi seorang wanita mengerjakan solat adalah tempat di mana dia tidur. Namun surau itu begitu sebati dengan hidup aku setiap kali Ramadhan menjelma.

Semenjak kecil lagi ayah sudah membiasakan aku dan ibu mengerjakan terawih di Surau itu. Setiap Ramadhan ayah akan memimpin penduduk setempat menunaikan ibadah terawih ini secara berjemaah agar ia dapat ditunaikan dengan lebih tersusun, muafakat dan berkat. Aku begitu bangga dengan ayah yang merupakan seorang pemimpin, seorang imam, seorang ketua yang membawa jemaah sujud mengadap Ilahi, Tuhan yang maha Berkuasa. Ayah adalah sumber inspirasi yang sentiasa menunjukkan jalan kebenaran yang begitu lurus.

Namun langit tidak selalunya cerah. Air di kali tidak selalunya tenang. Kadangkala seketul batu yang sungguh kecil saja bisa menghasilkan gelombang apabila dicampak ke dalamnya. Begitu juga keluarga kami. Entah kenapa, Ayah seorang yang penuh dengan tanggungjawab dan kasih sayang semakin hilang pertimbangan. Pernikahannya buat kali kedua terus menyentap kebahagiaan keluarga kami.

Memang ibu sendiri yang merestui pernikahan itu. Namun madu yang diberi dibalas dengan racun yang sungguh berbisa. Ayah bagai dirampas dari keluarga kami. Kebahagiaan semakin pudar. Semakin lama ayah semakin menjauhi keluarga kami dan akhirnya ayah langsung membiarkan keluarga begitu saja. Aku dibiarkan tanpa kasih sayang. Ibu pula dibiarkan tergantung tanpa bertali. Entah apa status perkahwinan antara ayah dan ibu.

Ibu redha saja dengan apa yang berlaku. Raut wajahnya tetap tenang namun luka di hatinya tiada siapa yang tahu. Kesabaran ibu memang tiada tandingannya. Cintanya terhadap ayah begitu kental. Tidak sekalipun dia menuntut untuk berpisah walaupun mereka sudah tidak bersama sejak sekian lama. Tidak seperti wanita lain yang begitu mudah terpesong oleh sedikit saja usikan nafsu syaitan durjana. Sedikit ujian saja sudah sanggup berlaku curang dan menderhaka kepada seorang suami yang baik, yang bertanggungjawab kepada keluarga. Sungguh menyedihkan.

Penderitaan yang ibu tanggung begitu lama. Penderitaan yang seolah-olah memakan diri sendiri. Mungkin aku sebagai anak juga sebenarnya begitu zalim kerana gagal memberi keceriaan kepada ibu. Malah aku sendiri yang selalu menyakitkan hatinya. “Oh tuhan, sempena Ramadhan ini kau ampunilah dosaku kerana selalu melukakan hati ibu”

20 rakaat Terawih aku laksanakan malam ini ditambah 3 Rakaat solat Witir sebagai solat penutup malam. Bunyi surah yang dibaca di setiap rakaat oleh imam yang menggantikan ayah begitu mengusik hati. Begitu sayu. Teringat kembali ayah yang dulu mengaturkan suaranya yang lunak melagukan Ayat-Ayat Suci tuhan. Teringat kembali kebahagian lalu yang kini semakin hilang. Tinggallah aku dan ibu berdua kececeran…

Semenjak ayah tiada ibu adalah segala-galanya bagiku. Dia tempat aku bermanja, bermesra dan mengadu segala susah dan senang. Jika aku kecewa dia akan menangis, jika aku ceria dia akan tersenyum, bila aku gembira dia pasti akan tertawa. Dua tubuh yang berbeza tapi punyai hati dan jiwa yang bersatu.

Aku begitu bersyukur kerana tuhan mengurniakan aku ibu yang sebegitu baik. Sentiasa mengajar aku ke arah kebaikan tidak seperti ibu yang lain yang sering mengajar anaknya ke arah kelalaian. Kelaian yang semakin menjajah kehidupan manusia hari ini dalam keadaan yang langsung tidak disedari. Itulah permainan Yahudi…

Aku melangkah longlai pulang bersendirian. Tidak berteman seperti selalu. Dulu kami bertiga, selepas itu kami berdua dan hari ini aku sendiri. Mungkin hari esok dengan takdir tuhan kami akan bersatu semula. Jika itu tidak berlaku di dunia yang fana ini aku harapkan ianya akan berlaku di akhirat kelak. Insya Allah.

“Ibu… buka pintu… Wani dah balik…” Suara aku langsung tidak bersahut. Berkali-kali aku memanggil ibu namun ibu terus diam. Aku memutarkan tombol pintu namun ia berkunci. Aku mengalihkan pasu bunga dan mengambil kunci pendua yang sentiasa disimpan di situ. Aku terus menerjah masuk namun keadaan terus sunyi sahaja. Langsung tiada kelibat suara ibu.

Aku meluru ke bilik. Ku lihat ibu begitu lena tidur. Lega hati aku seketika. Wajahnya begitu manis penuh dengan senyuman walaupun pigmennya sudah agak lusuh dengan usia mencecah 55 tahun. Wajah seorang isteri yang sentiasa mendoakan kesejahteraan suaminya walaupun telah ditinggalkan. Mungkin itulah wajah orang yang diberkati tuhan. Di dunia lagi sudah jelas ‘Nur’ yang terpancar, moga nur itu bisa kekal hingga membawanya ke pintu Syurga.

“Bangun ibu… Wani dah balik… Mari kita makan.” Aku cuba membangkitkan ibu. Memang rutin itu yang kami lakukan selepas menunaikan ibadah terawih. Tapi hari ini ibu terus kaku, membisu tidak bersuara. Aku melekatkan telingga pada dada ibu. Nadiku berdetap kencang. Jantungku berdengut laju. Namun ia berlawanan dengan ibu. Jelas sudah tiada lagi degupan jantung ibu. Senyap dan sunyi saja…

Air mataku terus mengalir. Lemah dan kaku seluruh tubuh ini. Bagai ada suatu kuasa yang menyentap semangat ini membuatkan aku terus layu. Aku tak mampu mengangkat kembali kepala sendiri. Aaku sedar ibu telah pergi tetapi aku begitu sukar untuk aku menerima hakikat itu. Jika ayah tinggalkan aku dengan cara yang begitu perlahan tapi ibu tinggalkan aku dengan begitu drastik. Begitu cepat secara tiba-tiba. Langsung tiada pesanan. Aku terus longlai.

“Ibu.. maafkan Wani ibu…Maafkan Wani” aku begitu bersalah. Tadi aku tinggalkan ibu bersendirian demi mencari pahala yang lebih. Aku lebih pentingkan diri sendiri. Padahal bukanlah suatu keutamaan bagi wanita seperti aku menunaikan Terawih di surau. Apalagi meninggalkan ibu yang sedang dalam keadaan begitu.

Mungkin ibu begitu nazak menuju akhir nafasnya. Aku tiada di sisinya di saat itu. Tak mampu aku berikannya kekuatan. Tak mampu aku mengajarnya mengucapkan kalimah-kalimah Allah di hujung hayatnya. Tak mampu aku melindunginya dengan Ayat Allah bagi menepis gangguan syaitan yang begitu kuat di kala sebegitu. Aku begitu hampa…

“Ya Allah… Ampunilah hambamu yang zalim ini…” Memang aku berasa begitu zalim terhadap ibu. Ibu yang telah mengumpulkan seluruh kudrat meneran untuk melahirkan aku. Ibu yang telah menyalurkan susu demi menyambung nafas aku hari demi hari. Ibu yang begitu sabar melayan kerenah kedegilan aku demi membesarkan insan ini. Tapi hari ini aku zalim apabila merasakan ibu terlalu lemah kerana tidak mampu melawan dugaan untuk menunaikan solat terawih. Aku zalim kerana meninggalkannya dia sendirian. Tak sempat aku memohon ampun kepada ibu kerana kezaliman aku itu. Moga tuhan akan memberi keampunan kepada aku dari kesalahan yang begitu besar terhadap ibu. Aku hanya berserah padaNya.

Aku menguatkan diri untuk mengangkat kepala. Ku pandang wajah ibu. Pucat lesu namun tetap tersenyum. Masih manis seperti biasa. Wajah yang pasti akan aku rindukan selamanya selepas ini. Inilah peluang terakhir aku menatap wajah ibu. Tiada lagi selepas ini. Esok Ibu akan dimandikan, akan dikapankan dan kemudian akan disemadikan. Selepas itu aku pasti akan bersendirian. Dulu aku sepi tanpa kasih sayang ayah, kini kesepian itu pasti lebih mencengkam tanpa belaian ibu.

Aku bangkit menguatkan semangat. Aku terus menuju ke almari baju mengambil kain batik yang terlipat rapi di susunan rak. Aku koyakkan kain batik itu kepada beberapa bahagian. Satu bahagian aku jadikannya sebagai tali untuk mengikat dagu dengan ubun-ubunnya agar mulut ibu sentiasa terkatup. Perlahan aku mengelak kain batik ibu yang masih tersimpul di bahagian pinggang. Kemudian aku menarik seluar dalamnya yang masih terletak dan mencuci kemaluan serta duburnya kalau-kalau ada najis yang terkeluar di saat nyawanya disentap oleh malaikat maut sebentar tadi.

Kemudian lebihan kain batik tadi aku lipat-lipat dan aku sarungkan sebagai cawat. Aku terus menyalinkan pakaian ibu satu persatu. Di bahagian yang agak tersembunyi aku leretkan bebola pewangi. Kemudian aku sapukan sedikit bedak di bahagian dada, tangan, leher dan mukanya. Mungkin inilah kali pertama dan terakhir aku melakukannya terhadap ibu. Itupun setelah ibu hanya tinggal jasadnya saja, kaku tidak bernyawa. Rasanya tak terbalas jasa ibu yang telah melakukannya beribu-ribu kali terhadap aku. Akhir sekali aku ambil kain batik lepas lalu aku selimutkan keseluruhan tubuh ibu hingga menutupi permukaan mukanya menandakan ibu telah pergi buat selama-lamanya. Hati ini semakin sayu...

Aku terus ke bilik air untuk mengambil wuduk yang tadinya telah terbatal. Kemudian aku ambil senaskah Kitab suci Al-Quran dan aku terus duduk bersimpuh di sisi jasad ibu yang terbaring kaku di atas katil. Aku terus membacakan ayat-ayat suci Al-Quran sebagai sedekah untuk ibu sebelum dibawa pergi esok. Biarlah aku sendiri saja menemankan ibu buat kali terakhir malam ini kerana sebelum ini sekian lama ibu telah menemankan setiap malamku…

Itulah hakikatnya hati. Bila masih bersama kita jarang merasakan kehadirannya di sisi tetapi bila ia pergi meninggalkan kita, barulah kita sedar, barulah kita akan benar-benar merasa kehilangan. Hari ini aku begitu merasai kehilangan ibu. “Ibu… Hati ini semakin sepi….”

Thursday, August 21, 2008

"Misteri Cinta Rafflesia" Is ready...

Salam sejahtera semua.

Bagong rasa bersyukur hari ini kerana akhirnya Bagong berjaya siapkan Novel "Misteri Cinta Rafflesia". Untuk Makluman Novel ini 4 kali ganda panjangnya dari cerita yang asal. Ia mengandungi 18 Bab keseluruhan dalam 211 muka surat. Bagong benar-benar minta maaf kepada pembaca blog ini kerana langsung tak sempat untuk update. Bagong berhempas pulas selama sebulan menyiapkannya disamping menjalani kehidupan seharian yang terlalu sibuk.

Hari ini Bagong gembira. Bagaikan satu beban telah terlepas. Bagong bersedia untuk terus menulis cerpen-cerpen untuk anda. Semoga cerita yang akan Bagong ketengahkan dapat memberi sedikit pengajaran kepada anda. Siapalah Bagong tanpa tulisannya. Di bawah ini Bagong senaraikan Bab-Bab dalam Novel Bagong, "Misteri Cinta Rafflesia". Tunggu kelahirannya dipasaran.


BAB 1 : PERMAINYA BUMI TUHAN

Bunga Rafflesia yang kaku dan keras itu kujadikan lambang keutuhan dan cinta yang sejati. Lambang ketenangan yang sering kudambakan siang dan malam. Sehingga membawaku jauh ke bumi Sabah.


BAB 2 : MISTERI SI RAFFLESIA

Aku terpaku melihat wajah ayu bermata bundar dengan lesung pipit di kedua-dua belah pipi. Wajah yang sederhana, namun ayu pada pandangan mata lelakiku. Sungguh, hatiku benar-benar terpikat tatkala pertama kali aku memandangnya. Siapakah gerangan gadis berwajah polos itu. Naluri hatiku benar-benar mendesak untuk mengenalinya…

BAB 3 : RAFFLESIA KELAYUAN

Tidak semena-mena air mata aku mengalir. Aku hanya menggeleng-gelengkan kepala, tidak percaya dengan apa yang terjadi. Pertemuan seketika yang sebegitu indah tetapi sekelip mata saja hilang bagaikan suatu mimpi ngeri yang mengganggu tidurku.


BAB 4 : BISIKAN RAFFLESIA

Rafflesia terlalu hebat. Pandangan pertama saja sudah cukup untuk menggegarkan jiwa. Bila dia bersuara ia pasti terus meresap ke dalam sanubari dan bila dia tersenyum, senyuman itu bisa melunturkan kepejalan hati yang keras. Pastinya tiada siapa yang dapat menahan panahan Cinta Rafflesia.


BAB 5 : TUMPAS KERANA RAFFLESIA

Memang Zali penuh dengan sifat pendendam. Bukan sekali ini dia cuba sakitkan hati aku tapi telah berkali-kali. Lama aku membiarkan tetapi akhirnya merasa juga dia tapak kasut aku ini. Mungkin sedap rasanya makan tapak kasut berkicapkan darah mulut sendiri.


BAB 6 : BAYANGAN RAFFLESIA
Hari ini niat aku adalah hanyalah untuk mendapatkan Rafflesia. Apa pun terjadi aku akan pastikan niat aku tercapai. Rafflesia akan benar-benar hadir dalam hidup aku. Hadir dalam keadaan yang nyata. Aku tak suka diganggu oleh bayangan Rafflesia lagi

BAB 7 : RACUN UNTUK RAFFLESIA.

Aku tersentak sejenak mendengar berita itu. Sukar untuk aku mempercayainya. Bukan sehari dua aku mengenali Shah. Kami kenal begitu lama semenjak di Sabah lagi. Tak mungkin Shah akan meninggalkan aku atau ingin mempermainkan aku kerana paksi cinta kami begitu kukuh tak mungkin akan tergugat..


BAB 8 : GUGUR SEKUNTUM RAFFLESIA

Aku seakan percaya apa yang diperkatakan oleh Suzy petang tadi lalu aku merasakan Shah hanya berpura-pura dalam menyayangi aku. Kucupan Shah terhadap aku malam ini juga gagal mengusik jiwa aku. Aku dapat rasakan kucupan itu begitu hambar. Tidak hadir dari hati nuraninya yang ikhlas

BAB 9 : LILIN MEMBAKAR DIRI

Mujurlah ia berlaku begitu awal. Masih belum terlajak lagi. Nani sangkakan dia begitu mengenali Shah tetapi ternyata dia silap. Sikap Manusia memang sukar diramal. Hati bagaikan aliran air. Begitu mudah dilentur, begitu mudah diubah haluannya. Kini Nani hanya pasrah dengan takdir perpisahan

BAB 10 : MENCARI SEBUAH JAWAPAN

Apa sebenarnya anggapan Dr Izhan terhadap niat aku memulihkan Danial. Mungkin dia beranggapan niat aku adalah untuk menanti cinta dari Danial yang tidak pasti. Jika itu anggapannya aku rasa Izhan silap. Dia perlu tahu antara cinta dan tanggungjawab. Cinta Danial tidak perlu dinanti. Ia memang benar-benar wujud dan begitu utuh sekali. Tapi sayangnya cinta itu bukan milik aku tetapi milik Noni Rafflesia.

BAB 11 : MASIH ADAKAH RUANG DI HATI

Kejayaan aku mengajaknya ke Desaru adalah satu permulaan kejayaan sebelum mencapai kejayaan yang lebih besar. Kalaulah dia langsung tiada hati terhadap aku, tak kan dia akan sudi menerima pelawaan aku. Lagi pun sepanjang perjalanan Nani nampak begitu ceria. Harapan aku keceriaan itu berterusan dan membibitkan satu hubungan kasih antara kami berdua.


BAB 12 : KESAYUAN RAFFLESIA

Dr Izhan memang pelik dengan telatah Danial terhadap Nani. Seakan ada suatu kaitan yang kuat antara mereka berdua. Kadang Kala pula dia melihat Nani dan Danial bagaikan sepasang insan yang sedang berkasih. Kasih yang amat pelik. Bersatu dalam roh cinta yang begitu mendalam. Antara dua situasi yang berbeza, antara siuman dan tidak.


BAB 13 : IGAUAN RAFFLESIA

Aku begitu terharu dengan ucapan Rafflesia yang begitu ikhlas. Dia menghulurkan tangannya lalu aku menyambutnya. Tangan kami bersatu menggenggam erat bersama bagai memadu janji yang diluah dari hati ke hati. Tanpa bicara, tanpa suara, namun ia memang ada .


BAB 14 : RAFFLESIA KEMBALI BERPUTIK

Bagaikan ada satu hubungan intim antara mereka berdua. Dia dapat merasakannya tetapi tidak pasti. Yang pasti hubungan yang sebegitu intim seringkali membuatkan Danial keliru terhadap Nani sama ada Nani adalah Doktor yang sedang merawatnya ataupun Nani adalah kekasih yang sering menjaga dan sentiasa bertahta di hati.


BAB 15 : RAFFLESIA MEKAR KEMBALI.

Danial terus menarik tangan Nani yang kaku bagai terkunci menuju ke jambatan lama yang kelihatan semakin usang. Nani tiada pilihan lain. Dia tidak mampu melawan genggaman erat tangan Danial lalu terus menghayunkan langkah secara paksa mengekori menuju ke jambatan usang yang sungguh mengerikan.


BAB 16 : CINTA SI RAFFLESIA

Tangan Danial dilepaskan namun hati masih bersatu. Dengan senyuman yang penuh kebahagian mereka keluar dari kereta dari arah kiri dan kanan lalu melangkah ke hadapan dan bersatu kembali menggenggam tangan bersama tanpa dipaksa.


BAB 17 : MISTERI CINTA RAFFLESIA

Aku terus tenang. Nani terus bingung. Bagi aku kehadiran Noni Rafflesia kali ini bukanlah ancaman tapi sebaliknya hanya untuk menghuraikan segala misteri yang telah tersimpan. Keadilan yang perlu dihuraikan terhadap pembunuhan kejam yang tiada sebarang pembalasan.


BAB 18 : SATUKAN CINTA RAFFLESIA

Hari ini aku begitu bangga dengan Danial Afendi. Dia begitu tenang menghuraikan satu persatu misteri yang tidak pernah terfikir selama ini. Paling aku bangga Danial begitu tenang melalui Misteri Rafflesia untuk kali kedua. Tidak sia-sia selama ini aku memberi kekuatan dan dorongan kepada Danial. Aku harap Danial Afendi akan terus kuat menyusuri kehidupan hari-hari mendatang walaupun tanpa Nani Rafflesia.

Sunday, June 29, 2008

Rafflesia Mekar Kembali

Pesanan Bagong:
Cerita ini adalah Episod terakhir bagi keseluruhan Cerita "Misteri Cinta Rafflesia". Oleh yang demikian sebelum membaca episod ini anda perlu membaca episod-episod yang terdahulu terlebih dahulu. (Klik pada tajuk di atas pada 'Misteri Cinta Rafflesia')


Tiada sesuatu yang mustahil di bumi ciptaan tuhan ini. Memang segalanya mungkin. Tapi kadang kala kemungkinan yang berlaku amat pelik dan sukar diterima oleh akal fikiran yang waras.

Itulah kebesaran Tuhan. Begitu mudah tuhan menciptakan manusia, begitu mudah juga tuhan mencorakkan kehidupan manusia. Sesuatu kejadian itu mungkin suatu ujian atau mungkin juga suatu nikmat.

Pembunuhan Shah oleh Danial juga merupakan suatu kejadian yang sungguh misteri. Tiada siapa yang tahu sebabnya yang sebenar. Mengapa Danial terlalu membenci Shah yang seakan menyimpan suatu dendam yang amat mendalam.

Mungin juga pembunuhan itu merupakan suatu pembunuhan yang sungguh kejam kerana ia tidak mampu dibela di mahkamah. Namun disebalik pembunuhan itu Danial berubah begitu cepat selepas itu. Kembali mampu berfikir. Akhirnya dalam masa 6 bulan Nani Rafflesia mampu memulihkan kembali Danial Afendi. Nani Rafflesia kembali ceria….

“Danial ingat Shah tak?” Nani cuba untuk menduga Danial. Mungkin jika Danial mampu mengingati Shah, misteri pembunuhan Shah boleh dihuraikan.

“Shah??.. Siapa Shah?” Danial cuba mengingatkan kembali dengan dahi yang berkerut namun tetap gagal. Ternyata Shah langsung tiada dalam memori Danial. Nani berasa sungguh kecewa dengan jawapan itu.

“Ha Shah!!! Danial dah Ingat..” Tiba-tiba Danial kembali bersuara dengan begitu ceria sambil menudingkan jari ke langit seolah ingin menjawab soalan yang diberikan guru.

“Siapa ?”Tanya Nani tidak sabar lalu memalingkan muka memandang tepat ke arah Danial dengan penuh khusyuk.

“Aman Shah…” Beritahu Danial lalu ketawa berdekah-dekah. Lawak Bodoh rupanya.

“Oh… nak kena ni…” Ujar Nani lalu cuba mencubit peha Danial. Danial sempat menepis dan terus berlari meninggalkan Nani yang masam mencuka.

Nani terus bingkas lalu mengejar Danial. Geram dia dipermainkan oleh pelatih kesayangannya yang seorang ini.

Petugas Hospital yang lain hanya memerhatikan Nani dan Danial berkejaran di taman. Mereka pelik dengan keadaan Danial dan Dr Nani sekarang. Jelas Danial kian pulih. Tapi Dr Nani pula agak pelik. Langsung tiada sikap sebagai seorang Doktor bila berhadapan dengan Danial. Macam budak-budak.

“Ok.. Ok… Kalah.. Kalah…” Danial termengah-mengah berlari mengelilingi pokok apabila dikejar oleh Nani. Langkahnya semakin perlahan sambil membongkok badan memegang perut penuh keletihan.

“Ha tau pun mengalah…” Kata Nani dengan bangga. “Lain kali jangan main-main dengan Rafflesia…” Kata Nani lagi sambil memiat peha Danial…

“Ermm Sodap…” Danial mengejek saja sambil menggosok-gosok kesan perit cubitan Nani. Nani hanya mencebik tidak membalas…

“Raflesia… Banyak sangat yang Danial masih tak ingat… Danial masih tak tau siapa diri Danial sebenarnya… Danial selalu bermimpi berada di satu tempat di jalan yang kelilingnya hutan tebal… ada sebatang sungai yang mengalir deras…. Kemudian Rafflesia akan datang mendekati… memakai baju serba putih lalu tersenyum. Apa maksud mimpi ini..??” Danial kembali serius. Mungkin mimpi itu selalu sangat mengganggu tidurnya.

“Baguslah tu kalau Rafflesia tersenyum… Kalau Rafflesia marah ke... menangis ke… susah pulak Danial nanti…” Nani cuba bergurau tetapi tidak disambut oleh Danial. Danial terus serius memikirkan nasib dirinya. Dia masih keliru siapa dirinya yang sebenar. Sukar untuk mengembalikan semula ingatan lalu.

“Rafflesia tahu tak tempat tu di mana ?... Rafflesia tolong bawa Danial ke sana.. Mungkin Danial boleh jumpa kembali diri Danial di sana…” Danial mengharap.. Nani diam saja seolah memikirkan sesuatu…

“Baiklah… Rafflesia akan bawa Danial ke sana… Mungkin itu boleh bantu Danial…” Nani memberi sedikit harapan… Danial adalah tanggungjawabnya. Dia harus membantu memulihkan Danial walau dengan cara apa sekalipun demi menebus gangguan misteri Rafflesia yang Danial alami.

“Lagi satu… Kenapa Saya seorang saja panggil awak ‘Rafflesia’… Orang lain panggil Dr. Nani…” Danial meminta penjelasan… Namun Nani tidak menjawab. Sukar untuknya menghuraikan suatu kisah misteri yang panjang yang telah berlaku ke atas Danial. Mungkin suatu hari nanti Danial akan tahu juga…


Perjalanan ke Tambunan…

“Rafflesia… Betul ke tempat yang Danial gambarkan itu di Sabah?... Macammana Rafflesia boleh tahu…?” Danial bingung apabila Nani membawanya ke Tambunan untuk ke tempat yang diceritakannya.

“Nak jumpa dengan mimpi Rafflesia mestilah di SabahKan bunga Rafflesia hanya ada di Sabah.” Nani menjawab. Tetapi jawapan itu hanya dianggap sebagai gurauan oleh Danial yang terus diam memerhatikan keadaan sekeliling.

Danial berasa begitu pelik. Begitu luas dunia ini.. Begitu banyak kawasan hutan tebal yang ada sungai mengalir melintasinya... Namun Nani Rafflesia memilih Sabah… Kalaulah betul kenyataan Nani Rafflesia tadi… apa kaitan dirinya dengan Tambunan??? Apa pula kaitannya dengan Dr Nani yang selalu hadir lalu tersenyum dalam mimpinya. Hati Danial terus tertanya.

“Danial… Hari dah malam.. elok kita rehat saja di Tambunan dulu… Esok baru kita pergi tempat tu..” Nani memberi cadangan.

“Tidak… Kita pergi malam ni juga.. Lagi pun dalam mimpi tu waktunya malam. Kalau siang macam mana mimpi Rafflesia nak muncul…” Danial tidak menerima cadangan Nani. Dia seakan tidak sabar… Terlalu banyak persoalan yang berlegar-legar di mindanya.

“Danial tak takut?”
“Tak.. sebab Rafflesia kan ada…” Persoalan Nani terus saja dijawab oleh Danial yang terus tersenyum menyeringai. Wajahnya nampak begitu yakin sehingga Nani rasa begitu rungsing.

“Danial nak tengok kalau Rafflesia sudah bersama Danial.. ada tak Rafflesia lain yang akan datang lalu tersenyum kepada Danial nanti….” Danial menyambung kata-kata lalu membuatkan muka Nani menjadi sedikit pucat. Risau juga jika Noni Rafflesia benar-benar muncul di tempat itu.

“Danial… Kita dah hampir sampai…Danial tolong jaga sikit mulut tu.. sini hutan… Malam pulak tu” Nani memberi peringatan..

“Kat Mana Rafflesia?” Danial bertanya seakan tidak sabar… Dia terlau ghairah mahu segera sampai ke tempat itu.

“Depan tu saja... Kilometer 15.95.. Ingat pesan Rafflesia… jaga sikit mulut tu…” Kata Nani lagi…Danial hanya mendiamkan diri sambil menutup mulutnya dengan kedua-dua belah telapak tangan bagaikan murid tahun satu yang diarahkan guru...


Kilometer 15.95….

Kilometer 15.95 ini memang agak sunyi dan mengerikan. Danial yang tadinya agak ghairah kini hanya diam saja melihat keadaan sekeliling. Bagai ada sesuatu yang bermain difikirannya. Nani pula nampak begitu gusar. Entahlah kenapa dia perlu membawa Danial ke tempat yang telah membawa sejarah hitam kepada Danial. Mungkin ada suatu rahsia lagi yang masih belum terhurai…

“Rafflesia… tempat ni lah yang selalu datang dalam mimpi Danial… Betul-betul sama… Macam mana Rafflesia tahu tempat ni sama dalam mimpi Danial?”

Nani tidak menjawab sebaliknya hanya meletakkan jari telunjuk pada bibirnya tanda diam… Danial mengangguk perlahan… Mungkin dia paham dan ingat amaran yang Nani berikan sebentar tadi.

“Rafflesia… Kita ke tepi jambatan tu…” Danial memegang tangan Nani mengajaknya menuju ke jambatan yang berada dibelakang kereta Proton Waja hitam yang mereka sewa.

“Jangan Danial.. Jangan…” Nani ketakutan apabila melihat jambatan itu.. Dia masih ingat lagi di sisi jambatan itulah mayat akak kembarnya Noni Rafflesia ditemui…

“Kenapa Rafflesia? Dalam mimpi tu awak akan berdiri di sana lalu tersenyum kepada saya…” Danial memberitahu lalu menarik tangan Nani yang kaku bagai terkunci menuju ke jambatan lama yang kelihatan semakin usang.

Danial terus meninjau-ninjau keadaan sekeliling dan menyuluh tebing sungai serta airnya yang mengalir deras. Nani diam saja.. pucat.. lesu… ketakutan.. Dia begitu ngeri dengan keadaan ini… tempat ini dan di waktu sebegini…

Semuanya begitu mengerikan. Cerita misteri penemuan mayat Noni Rafflesia oleh Danial Afendi di sini juga amat mengerikan. Pendek kata sesiapa saja yang mengetahui cerita itu tidak akan berani melintasinya terutama pada waktu malam sebegini.

Namun Danial langsung tidak takut pada keadaan itu. Dia terus menunggu sesuatu dan meninjau mencari jawapan… Mungkin menantikan Rafflesia yang akan muncul lalu tersenyum kepadanya.

“Danial Tolong!!!!” Danial tersentak lalu menoleh kebelakang. Dilihatnya Nani tiba-tiba ngaib dari pandangan. Dia panik seketika.

“Danial.. Tolong…” Lemah suara Nani kali ini… Danial menyuluh ke bawah tebing sungai. Kelihatan Nani jatuh terduduk di situ… Mujur tidak terjatuh terus ke dalam sungai.

“Danial Tolong.. tebing tu licin… Rafflesia tergelincir…” Nani bersuara separuh menangis. Danial tidak menjawab tapi seakan mahu sedikit tergelak. Suasana ngeri langsung tidak diendahkan apabila melihat Nani Rafflesia terduduk sebegitu. Melucukan.

“Danial tolong suluhkan.. kasut Rafflesia hilang...” Ujar Nani dengan manja. Danial terus menghunuskan cahaya lampu suluh menyuluh disekeliling Nani. Rumput yang panjang menyukarkan pencarian mereka.

“Ha tu dia…” Danial bersuara sedikit gembira sambil memberhentikan gerakan cahaya lampu suluh. Nani terus cuba mencapai kasutnya yang berwarna merah yang berada di sisi kanannya…

“Rafflesia… Apa tu….?” Danial terpandang suatu benda yang agak menyinar yang tadinya dihalang oleh kasut Nani tapi kini nampak jelas apabila kasut Nani itu dialihkan. Seperti suatu logam yang memantulkan cahaya lampu suluh… Nani mencapainya.

“Apa tu…?” Tanya Danial lagi tetapi persoalan itu kali ini ditujukan tepat kepada Nani…. Nani bingkas sambil menggenggam benda yang dicapainya tadi… Mimik mukanya seakan cuba mengingatkan sesuatu…

Nani menghulurkan tangan dan disambut oleh Danial lalu terus menariknya ke atas.

“Apa benda tu Rafflesia…?” Tanya Danial lagi apabila melihat Nani tidak menjawab. Dia seakan memikirkan dan cuba menyembunyikan sesuatu dari penemuan benda itu…

“Shah…” Jawab Nani ringkas lalu meleraikan genggaman dan menayangkan seutas jam tangan yang agak lusuh kepada Danial.

“Shah???” Danial terpinga-pinga mendengar nama itu disebut kembali. Nama yang pernah didengar tetapi tidak mengenalinya.

Nani tiba-tiba tersenyum. Dalam samar Danial hanya memerhatikan senyuman itu. Senyuman Rafflesia yang sungguh manis dan menawan. Senyuman yang penuh kepuasan dan ikhlas.

"Eh.. kenapa Danial pandang Rafflesia macam tu..." Nani bersuara tiba-tiba apabila perasan Danial merenung teat ke arah mukanya.

Danial tidak menjawab. Dia terpesona dengan senyuman itu. Sungguh ayu sama seperti Rafflesia yang muncul dalam mimpinya saban hari. Tapi Danial langsung tidak tahu apa jawapan disebalik senyuman Nani Rafflesia itu. Dia datang ke sini untuk mencari jawapan tetapi langsung tiada jawapan yang ditemui sebaliknya Nani Rafflesia yang nampak begitu puas seolah-olah berjaya menyelongkar suatu misteri yang besar.

“Danial… Kita pulang sekarang… Rafflesia sudah jumpa jawapannya…” Nani memberitahu dengan penuh yakin dan puas. Danial mengangguk dengan penuh persoalan. Dia masih lagi terpaku. Dia tidak tahu sama ada ini adalah mimpi atau kenyataan.

Ternyata senyuman Nani Rafflesia malam ini sudah cukup untuk memuaskan hati Danial Afendi yang terus dipimpin oleh Nani untuk bergerak pulang.


Perjalanan Pulang…

Nani terus memecut laju meninggalkan kilometer 15.95. Dia seakan tidak percaya dengan teori yang baru terhurai. Sesuatu yang amat pedih untuk diterima tetapi segalanya telah terjadi. Dia harus menerima hakikat yang sungguh menyakitkan itu. Namun dia berasa puas dapat menyelongkar suatu misteri yang berlegar dalam dirinya serta insan bernama Danial Afendi.

Patutlah semasa Danial tidak siuman, dia begitu marahkan Shah yang akhirnya meragut nyawa Shah. Mungkin itulah dendam kakak kembarnya arwah Noni Rafflesia yang menyerap ke tubuh Danial Afendi sehingga Danial Afendi menjadi tidak siuman. Kemudian apabila Shah terbunuh… Danial Afendi terus beransur pulih. Sesuatu yang amat pelik. Mungkin juga kerana dendam itu sudah terbalas.

Entah lah… mengapa di dunia ini perlu ada manusia yang sekeji Shah. Sanggup menganiaya gadis yang begitu ayu bernama Noni Rafflesia sedangkan waktu itu Noni Rafflesia adalah kekasih hatinya. Sanggup melakukan pembunuhan yang sebegitu kejam yang menjadi perbualan besar suatu masa dahulu. Sungguh Zalim!!!

Kemudian setelah Noni Rafflesia meninggal, Shah sanggup pula memindahkan cintanya kepada Nani Rafflesia buat seketika semata-mata ingin menyakitkan hati. Entahlah apa dendam yang ingin dibalas oleh Shah sehingga sanggup melakukan sebegitu terhadap 2 beradik kembar Rafflesia ini.

Teringat kembali Nani semasa dia menemani Noni memilih jam tangan berwarna silver itu sempena hadiah ulang tahun Shah yang ke 24. Betapa sayangnya Noni terhadap Shah pada ketika itu. Namun balasan yang sebegitu zalim Shah berikan terhadap Noni. Tak tahu insan jenis apa Shah itu… Mujurlah ada hero bernama Danial Afendi yang menyelesaikan persoalan pembunuhan ini…

“Danial Afendi kau bukan saja milikku… malah kau juga milik Noni Rafflesia… Kau diciptakan untuk kami…” Bisik hati Nani yang begitu yakin. Tak mungkin dia akan melepaskan insan yang begitu istimewa dan sebati zahir dan batin bagi diri dan kembarnya…

Memang Noni Rafflesia sudah tiada lagi di dunia ini tetapi selagi Nani bersama Danial, Nani akan merasakan seolah-olah bayangan Noni Rafflesia tetap bersamanya. Tetap seiring melayari hari-hari yang berlalu.

“Kenapa Rafflesia….? Apa sebenarnya semua ini? ” Danial bertanya kerana kebinggungan. Nani tidak menjawab tetapi hanya disambut senyum dan wajah yang begitu pelik seperti senyuman orang kurang siuman..

“Rafflesia akan ceritakan segalanya kepada Danial tetapi dengan satu syarat…”
“Syarat?.. Apa syaratnya? ”
“Kita kawin…”
“Kawin ???? ” Danial terus tercengang… Kemudiannya dia juga tersenyum.. lalu mereka ketawa bersama-sama...

Dalam ketawa Danial merayapi tangannya lalu menggenggam erat tangan Rafflesia bagaikan meluahkan suatu janji untuk terus bersama...

Itulah takdir tuhan… Jodoh mereka disatukan dalam suatu perjalanan cinta yang sungguh misteri dan berbeza dengan cinta-cinta lain di dunia ini. Sesungguhnya kebesaran tuhan itu memang nyata walau dalam soal cinta sekalipun.

Danial Afendi dan Nani Rafflesia…. Mekarlah kamu dalam Misteri Cinta Rafflesia yang akan kekal abadi semalanya…

Thursday, May 8, 2008

Kesayuan Rafflesia

Pesanan Bagong:
Cerita ini adalah Episod ke 4 bagi keseluruhan Cerita "Misteri Cinta Rafflesia". Oleh yang demikian sebelum membaca episod ini anda perlu membaca episod-episod yang terdahulu terlebih dahulu. (Klik pada tajuk di atas pada 'Misteri Cinta Rafflesia')


Angin petang menghembus perlahan lalu melayangkan rambut Nani sehingga menutupi sebahagian mukanya. Nani menyelak perlahan agar terserlah kembali wajah ayu yang penuh kesucian. Sesekali dia tersenyum sendiri memerhatikan telatah pelatih-pelatih termasuk Danial Afendi yang begitu melucukan. Terpancar wajah yang sungguh manis, ditambah dengan lesung pipit yang menawan hati. Mungkin jika pelatih-pelatih itu semua siuman nescaya semuanya akan menjadi gila, gila dengan keayuan Nani Rafflesia.

Nani tergelak kecil apabila terlihat Danial jatuh terduduk ketika melompat bermain ‘ting-ting’. Macam budak-budak telatah mereka. Sesekali Nani merasakan seronok tetapi adakalanya dia seakan menyesal. Entahlah dia sendiri tidak pasti adakah berbaloi dia meninggalkan dunia glamour sebagai seorang model dan kemudiannya menyorokkan diri menjadi seorang doktor psikologi yang hanya melayan orang-orang kurang siuman.

Kadang kala dia merasakan dialah yang kurang siuman kerana membuat keputusan sebegitu yang begitu bodoh. Tapi hakikatnya apa yang dilakukan bukanlah kerana kerjaya tetapi kerana insan misteri bernama Danial Afendi.

“Termenung sorang nampak” Sergah Dr Izhan yang membuatkan Nani sedikit tersentak. “Tak lah seronok tengok budak-budak tu”. Jawab Nani sambil memalingkan muka ke arah sekumpulan pelatih yang ceria bermain. “Bosan ker tinggal di sini?” Tanya Dr Izhan lagi menyambung bicara “Biasa saja..” Balas Nani ringkas. “Yer… ke?” Tanya Dr Izhan seakan menyindir.

Nani tidak menjawab, sekadar meninggalkan satu senyuman manis yang penuh persoalan. Segera Dr Izhan mengurut-urut dadanya sendiri melihat senyuman itu. Mungkin tiada lelaki yang boleh bertahan apabila menerima lontaran senyuman dari gadis seayu Nani Rafflesia.

“Dr Nani…. lihat tu” Beritahu Dr Izhan kepada Nani sambil memuncungkan bibir ke arah Danial Afendi. Kelihatan wajah Danial yang tadinya ceria kini tiba-tiba berubah masam mencuka. Mungkin dia cemburu apabila melihat Dr Izhan mendekati Nani. Hati Danial tidak akan senang apabila ada lelaki lain yang menghampiri Nani.

“Hai Danial…” Terus saja Nani menghayunkan lambaian mesra kepada Danial sebagai mencuri hatinya kembali. Lantas sepantas kilat Danial kembali tersenyum. “Hebat cinta Danial terhadap awak ye.” Seloroh Dr Izhan semacam menyindir. Nani hanya mengangguk tanpa bicara. Entah apa maksud disebalik anggukannya itu.

“Apa sebenarnya hubungan awak dengan Danial ?” Tanya Dr Izhan lagi. Entah berapa kali sudah dia mengulangi soalan itu terhadap Nani, namun tidak pernah menemui jawapan. “Dia pesakit saya” Jawab Nani ringkas. Jawapan yang langsung tidak memuaskan hati Dr Izhan.

Dr Izhan memang pelik dengan telatah Danial terhadap Nani. Seakan ada suatu kaitan yang kuat antara mereka berdua. Kadang Kala pula dia melihat Nani dan Danial bagaikan sepasang insan yang sedang berkasih. Bersatu dalam roh cinta yang begitu mendalam. Antara dua situasi yang berbeza, antara siuman dan tidak.

Tiba-tiba suatu suatu jeritan memanggil…

“Nani… ” Nani segera menoleh apabila mendengar namanya dipanggil. “Eisya!!!!!” Nani membalas jeritan Eisya yang datang mendekati lalu mereka berpelukan seolah melepaskan rindu yang amat sangat.

Shah bekas kekasih lama Nani ada bersama Eisya tapi hanya mendiamkan diri. Sesekali Nani melirikkan sinaran matanya yang tajam ke arah Shah. Perasaan geram terhadap Shah masih menebal. Dia masih ingat begitu mudah Shah memutuskan cinta mereka.

Dr Izhan tidak mahu mengganggu mereka, bersalaman dengan Shah lalu melangkah menjauhkan diri.

“Kau nampak kurus Nani. Kau tertekan ke?.” Tanya Eisya seakan mengambil berat. “Tak lah.. aku gembira di sini. Di sini aku dapat merasakan betapa kita bernasib baik dikurniakan otak. Di sini aku jumpa cinta yang lebih suci.” Jawab Nani seakan memerli Shah sambil melirikkan mata.

“Nani… Sebenarnya kami datang nak berikan ini.” Shah memotong seakan tidak mahu terus diperli oleh Nani lalu menghulurkan sekeping kad. “Mungkin jemputan kahwin” Hati Nani cuba meneka.

Nani sedikit tersentak. Maklumlah baru 4 bulan mereka berpisah, Shah sudah punyai teman baru dan telah bersedia untuk berkahwin. Sesuatu yang agak hebat tapi pelik. Nani cuba menenangkan diri sambil menyambut kad yang Shah hulurkan dengan keadaan yang tenang. Dia tidak harus menunjukkan perasaan kecewa terhadap Shah yang merupakan seorang lelaki yang ego. Dia juga perlu bersikap lebih ego bila berhadapan dengan lelaki seperti Shah.

“Eisya!!! Apa ertinya semua ni”
“Maaf kan aku Nani. Dah jodoh kami.”
“Jodoh ??? Baru 4 bulan Eisya... Kau suruh aku pergi sini, sebab kau nak rampas Shah ?” Eisya hanya mendiamkan diri tapi sedikit tersenyum. Ternyata tekaan Nani ada kebenarannya.

“Eisya…. Kenapa kau buat aku macam ni.. Apa salah aku Eisya…?” Nani sedikit menekan, merayu mendapatkan kepastian. Dia tidak dapat menahan perasaan kecewa apabila mengetahui Eisya rakan karibnya akan berkahwin dengan Shah bekas kekasihnya. Mengapa Eisya sanggup menerima Shah dan mengapa baru 4 bulan mereka berpisah Eisya dan Shah sudah bersedia untuk berkahwin ?. Nani jadi bungkam.

“Hubungan kami dah lama..., semenjak kau di KL lagi Nani” Shah menerangkan dengan nada penuh bangga. “Jadi.. kau sengaja pujuk aku ke sini Eisya? Kemudian Kau Shah... sengaja cari pasal untuk berpisah dengan aku?” Nani cuba membuat andaian dengan sedikit geram. Dia cuba meleraikan konspirasi yang sengaja dilakukan terhadapnya.

“Ya..” Jawab Eisya ringkas sambil mengukir senyuman yang begitu menjengkelkan. Nani jadi begitu sebak. Kenapalah dunia ini begitu zalim kepadanya. Satu permainan hidup yang sungguh menghina dirinya. "Jadi hari ni kau berdua datang jumpa aku jauh-jauh dari KL semata-mata nak sakitkan hati aku? Apa maksudnya semua nya ini?" Nani cuba mendapatkan kepastian dengan nada yang sungguh sayu. Namun soalan itu hanya dijawab dengan senyuman dari dua insan yang sungguh kejam.

Nani tidak dapat menahan sebak. Air mata mula membasahi bebola matanya lalu berlinang perlahan turun lemah menyusuri pipi tanpa dipaksa. Dia hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala seakan tidak percaya apa yang dialaminya. Satu penghinaan yang sungguh kejam dari Eisya dan Shah terhadapnya.

Eisya dan Shah pula melihat keadaan Nani itu dengan senyuman yang begitu puas. Dr Izhan yang tadinya hanya memerhati datang mendekati lalu memegang bahu Nani agar bertenang menghadapi ujian yang sungguh menghinakan ini. Nani tidak mampu lagi untuk menahan kesedihan. Dia terasa begitu lemah lalu melentukkan kepalanya ke bahu Dr Izhan seakan mengharap sedikit belas.

“Saudara.. Saudari.. baliklah. Jangan ganggu Dr Nani lagi. Jiwanya sungguh tertekan di sini. Cukuplah ini semua..” Dr Izhan cuba menenangkan keadaan. Tak sanggup dia melihat wajah ayu Nani yang berkerut menahan sebak yang amat sangat. Nani gagal untuk menahan tangisan, hilang segala keegoannya.

Dr Izhan faham betapa hancurnya hati Nani. Dia faham betapa sukarnya menjadi seorang Doktor Psikologi yang penuh dengan tekanan dan kini kekecewaan ini pula harus Nani tanggung. Dr Izhan terus menepuk-nepuk perlahan bahu nani. Nani terus sebak lalu mengalirkan air mata yang kian deras.

Tiba-tiba terdengar suatu jeritan yang kuat…

“Kau!!!!!!!!” Secara tiba-tiba terdengar suara Danial menjerit panjang sambil berlari menuju ke arah Shah lalu melepaskan satu tendangan yang sungguh kencang tepat ke dada Shah. Shah tidak sempat mengelak lalu tumbang ke belakang terhentak bucu tiang yang terkena pada bahagian kepalanya.

“Danial!!! Apa awak buat ni?” Nani terus menjerit sambil memandang Danial yang mengeletar seakan terlalu marah. Danial tidak mengendahkan lalu menerkam dan melepaskan beberapa tumbukan ganas pada kepala Shah yang longlai, langsung tidak melawan. Dr Izhan dan beberapa petugas Hospital bergegas segera menangkap dan memegang erat Danial walaupun Danial terus meronta ganas cuba melepaskan diri.

“Dia!!!!.... Dia!!! …” Danial menjerit dengan mata yang seakan mahu tersembul keluar sambil cuba menghunuskan jari ke arah Shah yang telah terkulai layu dipangkuan Eisya. Bagai ada sesuatu yang ingin dinyatakannya. Merah menyala matanya begitu marah. Entah kenapa Danial yang selalu saja diam tiba-tiba menjadi berang dan begitu ganas sekali. Danial terus mengelupur mahu melepaskan diri dan mahu menerkam Shah.

“Danial… tenang Danial…. tenang…” Nani merayu lalu menggenggam erat tangan Danial yang pejal menggenggam penumbuk. Danial berpaling sedikit melihat wajah sayu Nani yang sedikit comot dibasahi air mata.

“Danial sayang Rafflesiakan....” Danial terus mengangguk lemah mengiakan kata-kata Nani. Dia terus layu mendengar kata-kata Nani yang begitu lemah itu. “Kalau Danial Sayang Rafflesia… Danial kena tenang…Tak boleh ganas macam ni” Nani memujuk dengan suara sedu serak-serak basah setengah menangis. Namun suara itu umpama satu suntikan penenang yang diberikan kepada Danial. Danial terus longlai lalu mengendurkan diri dan tidak meronta lagi. Tapi matanya tetap melirik ke arah Shah. Seakan ada sesuatu dendam kesumat yang telah lama terbuku di dalam hatinya.

“Lepaskan dia” Bentak Nani tegas. “Tak boleh Doktor… bahaya” Jawab salah seorang petugas yang terus memegang Danial. “Lepaskan dia saya kata..” Bentak Nani lagi dengan nada lebih keras. Dr Izhan mengangguk perlahan kepada petugas-petugas itu seakan menyokong agar Danial dilepaskan. Danial dilepaskan dengan perlahan dan ternyata Danial tidak lagi merbahaya kepada sesiapa.

Nani menepuk-nepuk bahu Danial. Danial diam saja lalu menjelmakan satu senyuman dari bibirnya. Orang lain terus mengerumuni Shah yang berlumuran darah dibahagian kepala dan tidak mengendahkan Danial dan Nani lagi. “Mari kita pergi..” Nani berkata berlahan sambil memalingkan bahu Danial dari terus menghadap dan merenung Shah.

“Hei orang gila… Kenapa kau belasah tunang aku ni ha?…” Tiba-tiba Eisya menjerit keras seakan tidak puas hati menyebabkan Nani dan Danial berpaling serentak.

“Apa kau cakap… Orang gila?” kata Nani sambil bergerak mendekati Eisya. “Ya memang dia gila..” Jawab Eisya penuh geram tetapi hanya disambut dengan satu penampar keras dari tangan kanan Nani. Eisya terdiam lalu memegang pipinya yang perit ditampar. Nani terus berpaling tanpa sebarang kata-kata. Puas sudah hatinya dapat melepaskan geram yang tadinya terpendam. Ternyata dia tidak boleh menerima orang mengatakan Danial Afendi gila. Danial pula terus menyeringai seakan puas hati.

Nani terus memimpin Danial bergerak menjauhi keadaan yang kelam kabut orang-orang yang cuba membantu Shah. Tidak ada sedikit hati pun untuk Nani mengetahui keadaan Shah. Mungkin itulah pengajaran yang harus diberikan kepada insan zalim seperti Shah dan Eisya. Mereka berdua terus melangkah berpegangan tangan bagaikan sepasang kekasih yang sedang asyik bercinta.

Sampai di bawah satu pohon kayu Nani memberhentikan langkah. Danial juga begitu. Lalu mereka duduk berdua di kerusi batu tanpa sebarang kata-kata. Danial hanya tersenyum tenang. Mungkin dia merasakan dirinya bagaikan sedang bersanding berdua bersama Rafflesia di atas pelamin. Nani pula begitu sebak menahan sedih seakan dipaksa untuk bersanding.

Fikiran Nani berkecamuk. Dia tidak tahu kenapa Danial boleh menjadi ganas sebegitu. Mungkinkah Danial dapat merasakan betapa sakitnya hati Nani terhadap Shah. Tapi bagaimana Danial yang tidak siuman ini dapat merasakannya ?. Kenapa orang lain tidak?

Nani tidak dapat menjelaskan teori yang terus bermain dibenaknya. Dia tidak faham apa kaitan yang begitu kuat antara Danial dan dirinya. Kalaulah Danial cemburu, kenapa dia tidak bertindak ganas terhadap Dr Izhan yang selalu bersamanya. Entahlah… Kesimpulan yang dicari tidak diketemui, semakin tersimpul dan tidak mampu untuk dijawab.

“Dr Nani…” Tiba-tiba suara Dr Izhan menganggu Nani dan Danial. Nani memalingkan muka. “Dr Nani… Shah telah pergi….” Dr Izhan menghabiskan ayat.

“Ya Allah…” Kalimah seakan kesal yang keluar dari mulut Nani. Nani menekup muka lalu menundukkan badan hingga ke lutut. Tak mahu dia mampamerkan wajah yang penuh kekecewaan itu pada sesiapa.

Itulah takdirnya tuhan. Setiap yang datang pasti akan kembali. Tapi persoalannya Kenapa Danial harus membunuh Shah? Apa dosa Shah terhadap Danial? Adakah Danial marahkan Shah semata-mata kerana mempermainkan Nani ?. Atau ada suatu dendam lama Danial terhadap Shah? Mungkin juga, kerana dulunya Danial dan Shah sama-sama tinggal di Kuala Lumpur. Persoalan yang memang tak mampu Nani jawab.

Memang Nani berhadapan dengan kehidupan yang penuh dengan persoalan, bersama dengan insan yang sungguh misteri bernama Danial Afendi.

“Kenapa Danial?… Kenapa Danial bunuh Shah ?” Danial tidak menjawab soalan Nani itu, tetapi terus menyambutnya dengan senyuman yang menyeringai. Entah apa ertinya… Yang pasti senyuman itu masih mampu mengubati kesayuan hati Nani Rafflesia yang begitu kecewa.

Terima kasih Danial... Kau lah raja yang sentiasa bertahta di hati ini.....

Thursday, April 3, 2008

Kasihnya Rafflesia

Pesanan Bagong:
Cerita ini adalah Episod ke 3 bagi keseluruhan Cerita "Misteri Cinta Rafflesia". Oleh yang demikian sebelum membaca episod ini anda perlu membaca episod-episod yang terdahulu terlebih dahulu. (Klik pada tajuk di atas pada 'Misteri Cinta Rafflesia')

“Kau perlu bantu dia Nani… itu tanggungjawab kau…” Nasihat Eisya siang tadi membuatkan Nani sukar untuk melelapkan mata. Dia keliru sama ada mahu membantu orang gila yang langsung tiada kaitan dengannya, orang gila yang pernah mencoleknya dan kini adakah itu menjadi tanggungjawabnya untuk membantu memulihkan kembali ingatan insan yang bernama Danial Afendi.

Memang kisah pencolekkan Nani semakin berlalu dan kini sudah hampir 3 bulan. Namun peristiwa itu masih segar dalam ingatan Nani. Sukar untuk dia melupakan detik hitam yang amat menyakitkan itu. Namun disebalik pengalaman ngeri itu, dia akhirnya bertemu dengan Danial Afendi, seorang lelaki yang sungguh mistik yang berjaya menyelesaikan penemuan mayat adik kembar Rafflesia nya, Noni…

“Shah… I dah buat keputusan, esok I akan ke Johor Bahru”. Nani terpaksa berterus terang dengan niatnya kepada kekasihnya Shah. “Habis tak kan u nak tinggalkan I.. Kerjaya u sebagai model. U punya masa depan yang cerah dalam bidang modeling Nani” Shah cuba memujuk.

“Tidak Shah... Ini keputusan muktamad I” Tegas Nani. “Ok Nani kalau u fikir si gila tu lebih penting dari I dan kerjaya U… u boleh pergi… dan jangan cari I lagi…” Shah cuba mengugut lantas memalingkan mukanya dari Nani.

“Shah!!!… sampai hati u cakap macam tu Shah… Murahnya cinta u terhadap I Shah… U tak faham Shah... Danial Afendi tu tanggungjawab I” Nani cuba menerangkan dengan nada sedikit menekan. “Oklah kalau itu keputusan U.. Up to U... Kita putus” Shah menutup terus perbincangan mereka. Mudah sungguh dia memutuskan perhubungan yang selama ini dijalin mesra. “Shah!!!” Nani seakan tidak percaya kata-kata Shah yang begitu zalim. Namun dia tetap teguh dengan pendiriannya untuk ke Johor Bahru bertemu Danial Afendi.

Sebenarnya, Shah memang tidak pernah senang dengan kehadiran Danial Afendi yang tiba-tiba mengganggu hubungan mereka. Bukanlah dia rasa tercabar kerana nyata Danial Afendi bukanlah pencabarnya. Hanya seorang lelaki yang gila. Cuma Shah rimas kerana Nani yang sering membangkitkan nama itu dalam perbualan mereka. Kadang-kadang dia sendiri tidak faham mengapa Nani terlalu memikirkan lelaki gila yang pernah mencoleknya itu. Entahlah Apalah istimewanya Danial Afendi itu pada Nani. Selamat Tinggal Nani….

‘Hospital Permai, Tampoi, Johor Bahru’

“Doktor... saya Nani… Boleh saya melawat Danial Afendi?..” Nani meminta kebenaran. “Boleh tapi apa hubungan awak dengan Danial?” Tanya Dr Izhan yang seakan pelik apabila dia melihat wajah Nani. Seperti ada sesuatu yang bermain difikirannya.

“Saya saudaranya Doktor. Tapi kenapa Doktor?” Nani bertanya kembali apabila melihat wajah Dr Izhan yang seakan pelik merenung tepat ke wajahnya. “Erm.. Tak ada apa-apa… mari kita kebiliknya… nanti awak lihat sendiri…” Jawab Dr Izhan yang terus menimbulkan tanda tanya kepada Nani. Nani menggangguk lemah lalu mereka berjalan menuju ke bilik khas yang menempatkan Danial Afendi.

“Danial.. tengok sini siapa yang datang.” Dr Izhan memanggil Danial yang sedang duduk sambil memeluk lutut. Danial langsung tidak mengendahkan apalagi menoleh dan terus memfokuskan pandangan pada gambar seakan wajah Nani yang tertampal kemas di dinding. Mungkin itulah yang menimbulkan tanda tanya terhadap Dr Izhan apabila mula-mula terpandang wajah Nani sebentar tadi.

Di bilik itu dipenuhi dengan gambar wanita yang menyerupai dirinya… berdiri.. duduk.. baring dan pelbagai gaya telah dilukis. Setiap gambar tetap ada disematkan rantai berloket bentuk hati seperti yang sentiasa dipakainya. Namun begitu tidak satu pun gambar itu yang tersenyum. Semuanya wajah sayu bagaikan seorang gadis yang ditinggalkan kekasih.

“Siapa yang buat lukisan tu semua Doktor?” Tanya Nani. “Danial melukisnya sendiri.”Jawab Dr Izhan ringkas. Nani mengangguk kecil seakan tidak percaya. Seorang pemuda gila yang mempunyai bakat yang tinggi.. imiginasi yang tinggi dan punyai nilai kasih sayang yang begitu mendalam.

Tiba-tiba Nani berasa begitu sayu. Air matanya mengalir membasahi pipi. Sedih melihat betapa dalamnya cinta Danial terhadap Rafflesia walau hanya seketika. Tidak seperti cinta Shah terhadapnya yang begitu rapuh. Itulah keutuhan cinta Danial yang membuatkan Nani sanggup ke Johor Bahru dan meninggalkan Shah serta kerjayanya sebagai seorang model. Entah lah salah siapa sebenarnya sehingga Danial Afendi boleh jadi gila sebegini. Seorang insan yang punyai cinta yang hebat sehingga menjadi gila dengan cinta mistik Rafflesia.

“Danial… Saya datang...” Lembut suara Nani memanggil Danial. Namun kelembutan itu bisa menyentak hati Danial lantas berpaling ke arah Nani “Rafflesia… Kau datang Rafflesia…” Danial bersuara lantas melemparkan pandangan yang sungguh tajam dengan senyum yang penuh puas. Dipandangnya wajah Nani yang begitu Ayu lantas membuatkan dia bangkit lalu menerpa dan memeluk kaki Nani seakan melepaskan rindu yang lama terpendam.

Nani hanya diam berdiri. Tak mampu untuk Nani bergerak. Sebak yang tak mampu dibendung lagi lantas memejamkan mata sekuatnya bagaikan terasa sesuatu menusuk ke dalam lubuk hatinya.

“Oh tuhan.. apalah ertinya semua ini. Kenapa aku harus terperangkap dalam keadaan yang sungguh ganjil ini.” Bisik hati Nani. Memanglah Nani terperangkap dengan keadaan itu namun jauh dilubuk hatinya dia lebih memikirkan nasib Danial Afendi yang lebih terperangkap dengan Misteri Si Rafflesia sehingga membuatkan dia gila. Mungkin jika insan lain… Danial Afendi akan terus dibiarkan. Tapi Nani tidak. Dia seorang yang bertanggungjawab. Punyai nilai kasih sensitiviti yang sungguh tinggi lalu boleh membaca hati seorang gila seperti Danial Afendi. Kini baginya Noni dan Nani perlu bersatu di bawah satu roh ‘Rafflesia’. Cinta Si Rafflesia perlu disemai.

Nani tunduk lalu memegang kedua-dua bahu Danial. “Danial… Rafflesia dah datang… Rafflesia tak kan tinggalkan Danial lagi… Rafflesia akan terus bersama Danial” Dr Izhan yang berada disitu seakan tercengang dengan kata-kata Nani. Dia tidak faham apa yang dimaksudkan. Namun Danial tiba-tiba tersenyum seakan faham dan terlalu gembira dengan kata-kata itu.

Dikesatnya air mata yang terus mengalir di pipi Nani lalu melemparkan senyuman yang paling manis kepada Nani seakan bersyukur yang amat sangat. Nani tiba-tiba membalas senyuman Danial tanpa dipaksa. Suasan menjadi begitu romantis sekali.

Danial bangkit lantas merangkul Nani dengan erat dan Nani membiarkan saja itu semua berlaku. Dr Izhan terus tercengang tidak paham dengan apa yang terjadi. Bagaikan melihat suatu drama cinta yang sungguh mengasyikkan.

“Rafflesia… Jangan tinggalkan Danial lagi Rafflesia. Danial tak boleh hidup tanpa Rafflesia.” Danial Afendi terus merayu. Entah apalah istimewanya Rafflesia sehingga dia gagal mengawal perasaan dan pertimbangan diri. “Ya Danial… Rafflesia akan terus bersama Danial… Rafflesia sayangkan Danial…” Balas Nani lagi membuatkan Dr Izhan terus tercengang tidak paham dengan drama yang dimainkan antara Danial dan Nani. Dalam hatinya berbisik “Mungkin Nani juga seorang yang gila seperti Danial. Mungkinkah dulunya Nani dan Danial adalah sepasang kekasih yang hebat bercinta… dan kemudian terpisah oleh halangan keluarga…" Begitu banyak teori yang keluar dari benak Dr. Izhan.

“Dr Izhan… Mulai hari ini saya akan tinggal di sini.. Saya akan rawat Danial” Nani memberitahu Dr Izhan yang terus terpaku. Dia tidak paham siapakah Nani di hati Danial. Dia juga tidak paham siapa Danial di hati Nani sehingga wanita secantik ini sanggup untuk tinggal di sini demi merawat orang gila seperti Danial. Siapa pula Nani untuk merawat Danial.

Kenapa Dr Izhan..” Tanya Nani. Dr. Izhan tidak menjawab sebaliknya hanya menggelengkan kepala sambil terpaku memerhatikan Nani yang terus membiarkan Danial membelai rambutnya. Dia tidak pernah melihat Danial seceria ini. Selalunya Danial tampil dengan wajah masam dan muram sepanjang hari. Tapi hari ini keadaan begitu berbeza. Secara tiba-tiba Danial berubah menjadi ceria. Nyata Danial Afendi asalnya seorang yang kacak.

“Oh ya… sekejap…” Nani bersuara lantas mengeluarkan sepucuk surat dari tas tangannya dan menyerahkan kepada Dr Izhan. Dr Izhan terus membacanya lalu menggangguk-angguk kemudiannya tersenyum tanda faham. Barulah dia tahu bahawa Nani akan bertugas sebagai Doktor Psikologi sepertinya di Hospital ini.

“Tak Sangka Dr Nani berkelulusan Kedoktoran Psikologi juga” Dr Izhan mula bersuara. Kali ini Nani pula diam dan hanya membalas dengan senyuman. “Dr Nani… Siapa Rafflesia tu…” tanya Dr Izhan… Nani terus tersenyum lantas menjawab.. “Hantu…”. Dan meneruskan senyuman. Dr Izhan terus melopong tanda pelik… Tidak faham… Cuma dalam hatinya bertanya sendiri “Adakah dihadapannya ini juga adalah hantu… Atau seorang yang gila… Entah lah…”

Kehidupan ini sememangnya suatu yang mistik dan sukar untuk ditafsirkan. Namun semuanya bukanlah sesuatu yang mustahil kerana disebalik kehidupan ini ada suatu kuasa yang amat Berkuasa.. Tuhan yang maha Esa… Dan kuasa itulah akhirnya menyatukan Kasihnya Rafflesia yang tidak pernah terfikir oleh Danial Afendi dan Nani Rafflesia.

Sunday, January 6, 2008

Hati Batu.

7 Januari. Genaplah umur aku 35 tahun. Mungkin bagi sesetengah orang mereka begitu gembira menyambutnya. Sambut dengan keriangan dan kegembiraan. Mereka meraikan bersama keluarga, rakan-rakan dan sesiapa saja yang rapat di sekeliling. Sambutan yang meriah dengan kek yang enak, belon berwarna-warni yang bergantungan, nyanyian, hilai tawa dan ucapan tahniah yang tidak putus-putus. Namun bagi aku, tarikh keramat 7 Januari saban tahun membuatkan aku menjadi takut. Takut pada diri sendiri, takut pada masa yang terus berlalu dan membuatkan aku benci dengan tarikh 7 Januari.

Kalau dulu masa umur aku belasan tahun aku juga seperti orang lain yang pastinya ngairah menyambut ulang tahun. Bangga kerana merasakan aku semakin dewasa. Namun kini setiap 7 Januari aku sedih meratapi diri sendiri. Aku masih sendiri tiada berteman. Bukankah tuhan menciptakan manusia itu berpasang-pasangan. Tapi siapa pasangan aku?. Mengapa aku masih sendiri?. Buruk sangatkah wajah aku ini? padahal aku juga insan ciptaan tuhan seperti mereka. Kawan-kawan seangkatan dengan ku semuanya sudah bahagia bersama keluarga masing-masing. Gembira bersama suami, bersenda bersama anak. Masa depan mereka cerah. Hidup sentiasa ditemani dan hari tua yang pasti dibela tidak seperti aku yang hidup keseorangan.

10 tahun lalu aku bercinta dengan Yazid. Aku mengenalinya semenjak sama-sama menuntut di Institut Teknologi Mara di Dungun lagi. Yazid seorang yang tampan, baik dan penyabar. Aku sayang sangat padanya. Tapi aku selalu saja suka menduganya, suka mencurigainya dan terlalu mengongkongnya. Entahlah mungkin aku terlalu sayang padanya sehingga aku terlupa pada kebebasan hak peribadi seorang anak lelaki.

Mungkin dia rimas dengan sikap aku. Pernah sekali aku menduganya untuk memilih antara untuk menemani aku pergi menonton wayang dikala dia mahu pulang ke kampung untuk majlis kenduri keluarganya. Mungkin aku merasakan aku terlalu bagus dan aku rasa Yazid terlalu menyayangi aku dari yang lain-lain. Tapi aku silap kerana sikap aku membuatkan Yazid terus meninggalkan aku dan bernikah dengan gadis pilihan ibunya. Bagi aku Yazid bukan lelaki sejati yang perlu mengikut arahan walaupun dalam perkara yang amat penting dalam memilih pasangan hidup. Dulu aku rasa aku tak galat kehilangan lelaki lemah seperti Yazid.

2 tahun selepas itu aku mengenali seorang jejaka bernama Hairul. Tegap, gagah dan berkulit sawa matang. Berbeza dengan Yazid yang putih melepak. Hairul agak pendiam, tegas dalam setiap tindakan. Aku suka dengan sikap Hairul yang menampakkan dia lelaki sejati tidak sepeti Yazid yang menurut saja kemahuan ibunya. Kami bercinta tetapi tidaklah seperti kekasih lain yang berkepit seperti belangkas. Jarang sekali aku dapat menyentuh kulitnya walaupun kami berjalan atau duduk bersama walau dalam panggung wayang sekali pun.

Hairul menyampaikan hasrat untuk menikahi aku. Waktu itu usia aku baru 25 tahun dan aku rasa ia terlalu muda. Aku belum puas untuk enjoy. Belum bersedia untuk berhenti kerja seperti yang dimahukan oleh Hairul yang menginginkan aku menjadi suri rumah sepenuh masa. Hairul memberi aku tempoh selama 2 tahun untuk berhenti kerja dan menikah dengannya.

Kami terus bercinta seperti biasa dan aku rasa aku tak akan meninggalkan kerjaya aku. Aku selesa dengan kejayaan kerjaya aku sebagai seorang pegawai kerajaan dan sentiasa dipandang dan semakin dipandang tinggi. Waktu itu dalam hati aku sudah terbayang kerusi Pengarah Jabatan yang aku begitu yakin suatu hari nanti akan menjadi milik aku.

Prestasi aku yang sentiasa mendapat pujian membuatkan aku lupa pada tempoh 2 tahun yang diberikan Hairul yang semakin berjaya dalam perniagaannya. Akhirnya Hairul akur dengan keputusan aku yang tidak mahu berhenti kerja. Aku gembira kerana Hairul menerimanya. Walau begitu aku rasa aku belum bersedia untuk berkahwin. Aku belum bersedia untuk mengandung. Banyak perkara yang perlu aku capai sebelum aku mula untuk memperlahankan momentum mengejar apa yang aku impikan. Tiba-tiba aku terkejut apabila dalam kesibukan aku, Hairul menghantar undangan perkahwinannya dengan rakan serumah aku. Dulu bagi aku Hairul memang seorang yang sungguh zalim yang mementingkan diri sendiri dan aku tak kisah kehilangan lelaki zalim sepertinya yang menjadikan teman serumah aku teman hidupnya.

Bila saja aku berpisah dengan Hairul aku terasa Hairul sangat jahat dan aku perlu mencari seorang lelaki yang betul-betul baik dan jujur dalam perhubungan. Tuhan maha kuasa dan menemukan aku dengan Rizman dalam suatu majlis dalam keadaan yang tidak disengajakan. Rizman sangat jujur, baik dan bagi aku segalanya ada padanya. Baru sebulan perkenalan kani Rizman mengajak aku berjumpa dengan keluarganya. Memang suatu yang berat untuk aku terima tetapi aku turuti kerana menurut Rizman dia mahu hubungan ini diberkati keluarga. Aku ingat lagi hari itu 7 Januari dan aku menyambut hari lahir yang ke 29. Suatu kejutan yang Rizman berikan apabila membuat sambutan ulang tahun kelahiran aku di rumah keluarganya. Suasana kampung yang aman dan belum pernah aku alami. Budi bahasa dan keramahan keluarga Rizman yang belum pernah aku temui. Aku dilayan seperti permaisuri sepanjang 2 hari aku tinggal di rumah keluarga Rizman. Mereka pandai melayan, mengambil hati dan lemah lembut dalam mengatur pertuturan. Berbeza dengan keadaan keluarga aku yang agak kasar, maklumlah keluarga ramai lelaki dan aku saja anak perempuan tunggal. Memang kekok bila aku berada di Rumah Rizman.

6 bulan selepas itu Rizman menyampaikan hasrat untuk melamar aku. Mulanya aku rasa sungguh gembira kerana Rizman sememangnya sebaik-baik lelaki yang pernah aku jumpa. Tapi entah perasaan apa yang tiba-tiba merosakkan aku. Tiba-tiba aku berprasangka buruk. Aku teringat kembali layanan keluarganya yang sungguh baik terutama ibunya. Ibu Rizman yang merupakan wanita yang paling rapat dengan Rizman dan boleh kah aku jadi sebaik ibu Rizman..? Adakah Rizman sesuai dengan aku yang sedikit kasar ini. Aku tak pandai untuk menghias rumah. Tak pandai memasak dan aku bukan lah seorang yang lemah lembut seperti ibu Rizman malah rasanya aku lebih kasar dan tegas daripada Rizman. Mana mungkin aku boleh menjadi isteri Rizman dan kalau itu terjadi boleh kah aku menjadi seperti ibu Rizman atau sekurang-kurangnya boleh hormat dengan lelaki sebaiki Rizman. Persoalan jahat yang selalu bermain difikiran dan akhirnya aku meminta untuk berpisah dengan Rizman.

Rizman memang hebat dan enggan menerima perpisahan yang aku pinta. Dia tidak pernah putus asa untuk terus datang kepada aku. Mulanya aku aku merasakan aku ingin menerimanya kembali namun apabila Rizman sering datang merayu aku rasa begitu rimas dan meluat. Aku rasakan Rizman mahu mengambil kesempatan di atas kejayan yang aku kecapi. Aku rasa aku tak perlukan lelaki yang tiada ego sepertinya. Lelaki perlu ada ego... Tapi anggapan aku meleset kerana setelah 6 bulan dia cuba merayu dia terus hilang begitu saja yang membuatkan aku seperti gila bayang. Aku terasa begitu kehilangan dan membuatkan aku merayu untuk kembali kepadanya. Tapi malang Rizman tegas menolak aku dan enggan menerima aku kembali. Aku Pasrah dangan keputusan Rizman.

7 Januari ini datang lagi. Membuatkan aku terkenang kisah-kisah lalu. Memang aku sudah berjaya dalam kerjaya. Memang aku selalu saja dihormati di sana sini. Dikenali sebagai seorang yang berdisiplin, tegas dan komited terhadap tugas. Itu dikala aku bekerja. Tapi tiada siapa yang tahu jiwa ini yang selalu saja menangis sendirian. Aku terasa sungguh sunyi sekali. Aku juga seperti insan lain yang mahu dibelai dan dimanja oleh insan bergelar suami. Aku juga inginkan bersenda dengan gelak tawa dan tangisan anak.

Hari terus berlalu dan aku tidak pasti adakah ada lagi insan bergelar lelaki berani mendekati aku kini bergelar seorang Ketua Pengarah. Mungkinkah dunia ini kejam kerana tidak menyediakan pasangan untuk aku... Aku terkenangkan Yazid... Lemah sangatkah Yazid? Aku terkenangkan Hairul... Zalim sangatkah Hairul... Aku terkenangkan Rizman... Tidak bolehkah aku menerima orang yang baik sebaik Rizman? Adakah mereka semuanya jahat? Lelaki yang macam mana yang sesuai dengan aku sebenarnya....

Aku terus memejamkan mata... tak sanggup untuk melihat mentari yang bakal muncul di ufur Timur. Mungkin aku harus buang sikap 'Hati Batu' ini... Keegoan yang sungguh tebal hingga memusnahkan segalanya. Memusnahkan hubungan aku dengan Yazid, Hairul dan Rizman.

Kini aku sedar dengan Hati batu ini.. dan aku bertekad akan menerima sesiapa saja yang datang kepada aku selepas itu. Namun 3 tahun aku menunggu... belum ada yang muncul kembali selepas Rizman... Mungkin aku harus menunggu setahun lagi... atau 2 tahun lagi... atau aku akan terus kesunyian sebegini dan akan meratapinya disetiap 7 Januari. Entahlah...