Sunday, June 29, 2008

Rafflesia Mekar Kembali

Pesanan Bagong:
Cerita ini adalah Episod terakhir bagi keseluruhan Cerita "Misteri Cinta Rafflesia". Oleh yang demikian sebelum membaca episod ini anda perlu membaca episod-episod yang terdahulu terlebih dahulu. (Klik pada tajuk di atas pada 'Misteri Cinta Rafflesia')


Tiada sesuatu yang mustahil di bumi ciptaan tuhan ini. Memang segalanya mungkin. Tapi kadang kala kemungkinan yang berlaku amat pelik dan sukar diterima oleh akal fikiran yang waras.

Itulah kebesaran Tuhan. Begitu mudah tuhan menciptakan manusia, begitu mudah juga tuhan mencorakkan kehidupan manusia. Sesuatu kejadian itu mungkin suatu ujian atau mungkin juga suatu nikmat.

Pembunuhan Shah oleh Danial juga merupakan suatu kejadian yang sungguh misteri. Tiada siapa yang tahu sebabnya yang sebenar. Mengapa Danial terlalu membenci Shah yang seakan menyimpan suatu dendam yang amat mendalam.

Mungin juga pembunuhan itu merupakan suatu pembunuhan yang sungguh kejam kerana ia tidak mampu dibela di mahkamah. Namun disebalik pembunuhan itu Danial berubah begitu cepat selepas itu. Kembali mampu berfikir. Akhirnya dalam masa 6 bulan Nani Rafflesia mampu memulihkan kembali Danial Afendi. Nani Rafflesia kembali ceria….

“Danial ingat Shah tak?” Nani cuba untuk menduga Danial. Mungkin jika Danial mampu mengingati Shah, misteri pembunuhan Shah boleh dihuraikan.

“Shah??.. Siapa Shah?” Danial cuba mengingatkan kembali dengan dahi yang berkerut namun tetap gagal. Ternyata Shah langsung tiada dalam memori Danial. Nani berasa sungguh kecewa dengan jawapan itu.

“Ha Shah!!! Danial dah Ingat..” Tiba-tiba Danial kembali bersuara dengan begitu ceria sambil menudingkan jari ke langit seolah ingin menjawab soalan yang diberikan guru.

“Siapa ?”Tanya Nani tidak sabar lalu memalingkan muka memandang tepat ke arah Danial dengan penuh khusyuk.

“Aman Shah…” Beritahu Danial lalu ketawa berdekah-dekah. Lawak Bodoh rupanya.

“Oh… nak kena ni…” Ujar Nani lalu cuba mencubit peha Danial. Danial sempat menepis dan terus berlari meninggalkan Nani yang masam mencuka.

Nani terus bingkas lalu mengejar Danial. Geram dia dipermainkan oleh pelatih kesayangannya yang seorang ini.

Petugas Hospital yang lain hanya memerhatikan Nani dan Danial berkejaran di taman. Mereka pelik dengan keadaan Danial dan Dr Nani sekarang. Jelas Danial kian pulih. Tapi Dr Nani pula agak pelik. Langsung tiada sikap sebagai seorang Doktor bila berhadapan dengan Danial. Macam budak-budak.

“Ok.. Ok… Kalah.. Kalah…” Danial termengah-mengah berlari mengelilingi pokok apabila dikejar oleh Nani. Langkahnya semakin perlahan sambil membongkok badan memegang perut penuh keletihan.

“Ha tau pun mengalah…” Kata Nani dengan bangga. “Lain kali jangan main-main dengan Rafflesia…” Kata Nani lagi sambil memiat peha Danial…

“Ermm Sodap…” Danial mengejek saja sambil menggosok-gosok kesan perit cubitan Nani. Nani hanya mencebik tidak membalas…

“Raflesia… Banyak sangat yang Danial masih tak ingat… Danial masih tak tau siapa diri Danial sebenarnya… Danial selalu bermimpi berada di satu tempat di jalan yang kelilingnya hutan tebal… ada sebatang sungai yang mengalir deras…. Kemudian Rafflesia akan datang mendekati… memakai baju serba putih lalu tersenyum. Apa maksud mimpi ini..??” Danial kembali serius. Mungkin mimpi itu selalu sangat mengganggu tidurnya.

“Baguslah tu kalau Rafflesia tersenyum… Kalau Rafflesia marah ke... menangis ke… susah pulak Danial nanti…” Nani cuba bergurau tetapi tidak disambut oleh Danial. Danial terus serius memikirkan nasib dirinya. Dia masih keliru siapa dirinya yang sebenar. Sukar untuk mengembalikan semula ingatan lalu.

“Rafflesia tahu tak tempat tu di mana ?... Rafflesia tolong bawa Danial ke sana.. Mungkin Danial boleh jumpa kembali diri Danial di sana…” Danial mengharap.. Nani diam saja seolah memikirkan sesuatu…

“Baiklah… Rafflesia akan bawa Danial ke sana… Mungkin itu boleh bantu Danial…” Nani memberi sedikit harapan… Danial adalah tanggungjawabnya. Dia harus membantu memulihkan Danial walau dengan cara apa sekalipun demi menebus gangguan misteri Rafflesia yang Danial alami.

“Lagi satu… Kenapa Saya seorang saja panggil awak ‘Rafflesia’… Orang lain panggil Dr. Nani…” Danial meminta penjelasan… Namun Nani tidak menjawab. Sukar untuknya menghuraikan suatu kisah misteri yang panjang yang telah berlaku ke atas Danial. Mungkin suatu hari nanti Danial akan tahu juga…


Perjalanan ke Tambunan…

“Rafflesia… Betul ke tempat yang Danial gambarkan itu di Sabah?... Macammana Rafflesia boleh tahu…?” Danial bingung apabila Nani membawanya ke Tambunan untuk ke tempat yang diceritakannya.

“Nak jumpa dengan mimpi Rafflesia mestilah di SabahKan bunga Rafflesia hanya ada di Sabah.” Nani menjawab. Tetapi jawapan itu hanya dianggap sebagai gurauan oleh Danial yang terus diam memerhatikan keadaan sekeliling.

Danial berasa begitu pelik. Begitu luas dunia ini.. Begitu banyak kawasan hutan tebal yang ada sungai mengalir melintasinya... Namun Nani Rafflesia memilih Sabah… Kalaulah betul kenyataan Nani Rafflesia tadi… apa kaitan dirinya dengan Tambunan??? Apa pula kaitannya dengan Dr Nani yang selalu hadir lalu tersenyum dalam mimpinya. Hati Danial terus tertanya.

“Danial… Hari dah malam.. elok kita rehat saja di Tambunan dulu… Esok baru kita pergi tempat tu..” Nani memberi cadangan.

“Tidak… Kita pergi malam ni juga.. Lagi pun dalam mimpi tu waktunya malam. Kalau siang macam mana mimpi Rafflesia nak muncul…” Danial tidak menerima cadangan Nani. Dia seakan tidak sabar… Terlalu banyak persoalan yang berlegar-legar di mindanya.

“Danial tak takut?”
“Tak.. sebab Rafflesia kan ada…” Persoalan Nani terus saja dijawab oleh Danial yang terus tersenyum menyeringai. Wajahnya nampak begitu yakin sehingga Nani rasa begitu rungsing.

“Danial nak tengok kalau Rafflesia sudah bersama Danial.. ada tak Rafflesia lain yang akan datang lalu tersenyum kepada Danial nanti….” Danial menyambung kata-kata lalu membuatkan muka Nani menjadi sedikit pucat. Risau juga jika Noni Rafflesia benar-benar muncul di tempat itu.

“Danial… Kita dah hampir sampai…Danial tolong jaga sikit mulut tu.. sini hutan… Malam pulak tu” Nani memberi peringatan..

“Kat Mana Rafflesia?” Danial bertanya seakan tidak sabar… Dia terlau ghairah mahu segera sampai ke tempat itu.

“Depan tu saja... Kilometer 15.95.. Ingat pesan Rafflesia… jaga sikit mulut tu…” Kata Nani lagi…Danial hanya mendiamkan diri sambil menutup mulutnya dengan kedua-dua belah telapak tangan bagaikan murid tahun satu yang diarahkan guru...


Kilometer 15.95….

Kilometer 15.95 ini memang agak sunyi dan mengerikan. Danial yang tadinya agak ghairah kini hanya diam saja melihat keadaan sekeliling. Bagai ada sesuatu yang bermain difikirannya. Nani pula nampak begitu gusar. Entahlah kenapa dia perlu membawa Danial ke tempat yang telah membawa sejarah hitam kepada Danial. Mungkin ada suatu rahsia lagi yang masih belum terhurai…

“Rafflesia… tempat ni lah yang selalu datang dalam mimpi Danial… Betul-betul sama… Macam mana Rafflesia tahu tempat ni sama dalam mimpi Danial?”

Nani tidak menjawab sebaliknya hanya meletakkan jari telunjuk pada bibirnya tanda diam… Danial mengangguk perlahan… Mungkin dia paham dan ingat amaran yang Nani berikan sebentar tadi.

“Rafflesia… Kita ke tepi jambatan tu…” Danial memegang tangan Nani mengajaknya menuju ke jambatan yang berada dibelakang kereta Proton Waja hitam yang mereka sewa.

“Jangan Danial.. Jangan…” Nani ketakutan apabila melihat jambatan itu.. Dia masih ingat lagi di sisi jambatan itulah mayat akak kembarnya Noni Rafflesia ditemui…

“Kenapa Rafflesia? Dalam mimpi tu awak akan berdiri di sana lalu tersenyum kepada saya…” Danial memberitahu lalu menarik tangan Nani yang kaku bagai terkunci menuju ke jambatan lama yang kelihatan semakin usang.

Danial terus meninjau-ninjau keadaan sekeliling dan menyuluh tebing sungai serta airnya yang mengalir deras. Nani diam saja.. pucat.. lesu… ketakutan.. Dia begitu ngeri dengan keadaan ini… tempat ini dan di waktu sebegini…

Semuanya begitu mengerikan. Cerita misteri penemuan mayat Noni Rafflesia oleh Danial Afendi di sini juga amat mengerikan. Pendek kata sesiapa saja yang mengetahui cerita itu tidak akan berani melintasinya terutama pada waktu malam sebegini.

Namun Danial langsung tidak takut pada keadaan itu. Dia terus menunggu sesuatu dan meninjau mencari jawapan… Mungkin menantikan Rafflesia yang akan muncul lalu tersenyum kepadanya.

“Danial Tolong!!!!” Danial tersentak lalu menoleh kebelakang. Dilihatnya Nani tiba-tiba ngaib dari pandangan. Dia panik seketika.

“Danial.. Tolong…” Lemah suara Nani kali ini… Danial menyuluh ke bawah tebing sungai. Kelihatan Nani jatuh terduduk di situ… Mujur tidak terjatuh terus ke dalam sungai.

“Danial Tolong.. tebing tu licin… Rafflesia tergelincir…” Nani bersuara separuh menangis. Danial tidak menjawab tapi seakan mahu sedikit tergelak. Suasana ngeri langsung tidak diendahkan apabila melihat Nani Rafflesia terduduk sebegitu. Melucukan.

“Danial tolong suluhkan.. kasut Rafflesia hilang...” Ujar Nani dengan manja. Danial terus menghunuskan cahaya lampu suluh menyuluh disekeliling Nani. Rumput yang panjang menyukarkan pencarian mereka.

“Ha tu dia…” Danial bersuara sedikit gembira sambil memberhentikan gerakan cahaya lampu suluh. Nani terus cuba mencapai kasutnya yang berwarna merah yang berada di sisi kanannya…

“Rafflesia… Apa tu….?” Danial terpandang suatu benda yang agak menyinar yang tadinya dihalang oleh kasut Nani tapi kini nampak jelas apabila kasut Nani itu dialihkan. Seperti suatu logam yang memantulkan cahaya lampu suluh… Nani mencapainya.

“Apa tu…?” Tanya Danial lagi tetapi persoalan itu kali ini ditujukan tepat kepada Nani…. Nani bingkas sambil menggenggam benda yang dicapainya tadi… Mimik mukanya seakan cuba mengingatkan sesuatu…

Nani menghulurkan tangan dan disambut oleh Danial lalu terus menariknya ke atas.

“Apa benda tu Rafflesia…?” Tanya Danial lagi apabila melihat Nani tidak menjawab. Dia seakan memikirkan dan cuba menyembunyikan sesuatu dari penemuan benda itu…

“Shah…” Jawab Nani ringkas lalu meleraikan genggaman dan menayangkan seutas jam tangan yang agak lusuh kepada Danial.

“Shah???” Danial terpinga-pinga mendengar nama itu disebut kembali. Nama yang pernah didengar tetapi tidak mengenalinya.

Nani tiba-tiba tersenyum. Dalam samar Danial hanya memerhatikan senyuman itu. Senyuman Rafflesia yang sungguh manis dan menawan. Senyuman yang penuh kepuasan dan ikhlas.

"Eh.. kenapa Danial pandang Rafflesia macam tu..." Nani bersuara tiba-tiba apabila perasan Danial merenung teat ke arah mukanya.

Danial tidak menjawab. Dia terpesona dengan senyuman itu. Sungguh ayu sama seperti Rafflesia yang muncul dalam mimpinya saban hari. Tapi Danial langsung tidak tahu apa jawapan disebalik senyuman Nani Rafflesia itu. Dia datang ke sini untuk mencari jawapan tetapi langsung tiada jawapan yang ditemui sebaliknya Nani Rafflesia yang nampak begitu puas seolah-olah berjaya menyelongkar suatu misteri yang besar.

“Danial… Kita pulang sekarang… Rafflesia sudah jumpa jawapannya…” Nani memberitahu dengan penuh yakin dan puas. Danial mengangguk dengan penuh persoalan. Dia masih lagi terpaku. Dia tidak tahu sama ada ini adalah mimpi atau kenyataan.

Ternyata senyuman Nani Rafflesia malam ini sudah cukup untuk memuaskan hati Danial Afendi yang terus dipimpin oleh Nani untuk bergerak pulang.


Perjalanan Pulang…

Nani terus memecut laju meninggalkan kilometer 15.95. Dia seakan tidak percaya dengan teori yang baru terhurai. Sesuatu yang amat pedih untuk diterima tetapi segalanya telah terjadi. Dia harus menerima hakikat yang sungguh menyakitkan itu. Namun dia berasa puas dapat menyelongkar suatu misteri yang berlegar dalam dirinya serta insan bernama Danial Afendi.

Patutlah semasa Danial tidak siuman, dia begitu marahkan Shah yang akhirnya meragut nyawa Shah. Mungkin itulah dendam kakak kembarnya arwah Noni Rafflesia yang menyerap ke tubuh Danial Afendi sehingga Danial Afendi menjadi tidak siuman. Kemudian apabila Shah terbunuh… Danial Afendi terus beransur pulih. Sesuatu yang amat pelik. Mungkin juga kerana dendam itu sudah terbalas.

Entah lah… mengapa di dunia ini perlu ada manusia yang sekeji Shah. Sanggup menganiaya gadis yang begitu ayu bernama Noni Rafflesia sedangkan waktu itu Noni Rafflesia adalah kekasih hatinya. Sanggup melakukan pembunuhan yang sebegitu kejam yang menjadi perbualan besar suatu masa dahulu. Sungguh Zalim!!!

Kemudian setelah Noni Rafflesia meninggal, Shah sanggup pula memindahkan cintanya kepada Nani Rafflesia buat seketika semata-mata ingin menyakitkan hati. Entahlah apa dendam yang ingin dibalas oleh Shah sehingga sanggup melakukan sebegitu terhadap 2 beradik kembar Rafflesia ini.

Teringat kembali Nani semasa dia menemani Noni memilih jam tangan berwarna silver itu sempena hadiah ulang tahun Shah yang ke 24. Betapa sayangnya Noni terhadap Shah pada ketika itu. Namun balasan yang sebegitu zalim Shah berikan terhadap Noni. Tak tahu insan jenis apa Shah itu… Mujurlah ada hero bernama Danial Afendi yang menyelesaikan persoalan pembunuhan ini…

“Danial Afendi kau bukan saja milikku… malah kau juga milik Noni Rafflesia… Kau diciptakan untuk kami…” Bisik hati Nani yang begitu yakin. Tak mungkin dia akan melepaskan insan yang begitu istimewa dan sebati zahir dan batin bagi diri dan kembarnya…

Memang Noni Rafflesia sudah tiada lagi di dunia ini tetapi selagi Nani bersama Danial, Nani akan merasakan seolah-olah bayangan Noni Rafflesia tetap bersamanya. Tetap seiring melayari hari-hari yang berlalu.

“Kenapa Rafflesia….? Apa sebenarnya semua ini? ” Danial bertanya kerana kebinggungan. Nani tidak menjawab tetapi hanya disambut senyum dan wajah yang begitu pelik seperti senyuman orang kurang siuman..

“Rafflesia akan ceritakan segalanya kepada Danial tetapi dengan satu syarat…”
“Syarat?.. Apa syaratnya? ”
“Kita kawin…”
“Kawin ???? ” Danial terus tercengang… Kemudiannya dia juga tersenyum.. lalu mereka ketawa bersama-sama...

Dalam ketawa Danial merayapi tangannya lalu menggenggam erat tangan Rafflesia bagaikan meluahkan suatu janji untuk terus bersama...

Itulah takdir tuhan… Jodoh mereka disatukan dalam suatu perjalanan cinta yang sungguh misteri dan berbeza dengan cinta-cinta lain di dunia ini. Sesungguhnya kebesaran tuhan itu memang nyata walau dalam soal cinta sekalipun.

Danial Afendi dan Nani Rafflesia…. Mekarlah kamu dalam Misteri Cinta Rafflesia yang akan kekal abadi semalanya…