Sunday, September 30, 2007

Bayangan Rafflesia

Pesanan Bagong:
Cerita ini adalah Episod ke 2 bagi keseluruhan Cerita "Misteri Cinta Rafflesia". Oleh yang demikian sebelum membaca episod ini anda perlu membaca episod-episod yang terdahulu terlebih dahulu. (Klik pada tajuk di atas pada 'Misteri Cinta Rafflesia')


DANIAL :

Masa terus berlalu meninggalkan aku... meninggalkan kisah Rafflesia yang dulunya begitu hangat... sentiasa menghiasi muka depan tabloid yang menjadi tumpuan rakyat yang simpati akan kematian Rafflesia yang sungguh mengharukan. Mungkin orang tak kenal Rafflesia. Mereka lebih kenalkan Noni. Tak kisah lah.. apa saja namanya, dia tetap orang yang sama.

Secara tiba-tiba nama aku juga turut popular. Mereka anggap aku insan misteri yang hadir membantu menemukan mayat Rafflesia dengan cara yang agak mistik. Tapi selepas itu mereka tidak tahu betapa aku terseksa... aku menderita. Aku tidak dapat melupakan Rafflesia. Bayangan Rafflesia seolah-olah sentiasa mengekori aku walaupun aku telah kembali ke Kuala Lumpur. Fizikal nampak stabil tapi jiwaku tidak pernah tenang. Tidur malamku sering diganggu mimpi Rafflesia, datang memanggil-manggil seolah-olah mengajak aku pergi bersama-samanya. Namun setiap kali aku ingin menghampiri, bayang itu akan hilang. Sesekali apabila aku keseorangan terasa Rafflesia bagaikan hadir menemani aku. Memang jasadnya tidak nampak tapi aku dapat merasakan kehadirannya. Terasa bagai ada sesuatu yang sentiasa memerhatikan aku... kemudian berbisik lembut memanggil namaku melalui tiupan angin yang berhembus.

Aku sendiri tidak pasti sudah berapa lama aku tidak bekerja. Kereta Proton Waja yang aku beli pun sudah ditarik balik oleh pihak bank. Sewa rumah pun aku dah tak mampu bayar. Aku tak dapat bekerja selagi jiwa aku tak stabil. Entah sampai bila aku harus berterusan sebegini. Duduk di rumah terbengkalai. Siang aku merayau, malamku pula hanya bertemankan sinaran pelita yang samar, tidur beralaskan kotak buruk, ditemani nyanyian nyamuk yang membingitkan telinga. Suatu kehidupan yang terlalu asing bagi aku. Dulu memang begitu asing, tapi kini aku rasakan begitu selesa. Walau dalam keadaan yang begini usang, namun aku tetap gembira kerana setiap malamku pasti akan ditemani Rafflesia yang sentiasa memerhatikan aku dari sudut sana.

Hari ini aku mesti dapatkan Rafflesia. Orang kata Rafflesia sudah mati. Sudah disembahyangkan, sudah dikapankan dan telah dikebumikan, namun aku tetap yakin Rafflesia masih hidup. Sudah 3 minggu aku perhatikan dia berjoging setiap petang sabtu di Taman KLCC. Aku benar-benar yakin dialah Rafflesia. Susuk tubuhnya, ikal rambutnya yang menggerbang, lirik senyumannya memang sama dengan Rafflesia yang pernah aku jumpa dulu, malah rantai emas berloket berbentuk hati juga masih tersemat di dada Rafflesia. Bergoyang kekiri dan kenana apabila dia berlari.

Tapi aku begitu pelik. Dia seolah tidak mengenali aku lagi. Setiap kali aku memanggilnya dia akan lari terus meninggalkan aku. Mungkin dia sudah lupa kepada aku yang pernah bertemu di Tambunan dulu, Tak apalah kalau begitu kerana aku tetap akan merinduinya. Atau adakah dia sudah ada kekasih baru?. Ermm.. Itu semua tidak penting bagi aku. Yang penting, aku pasti mendapatkannya hari ini walau apa terjadi sekali pun. Aku mahu pastikan dia masih benar-benar hidup dan hadir dalam keadaan yang nyata. Aku tak suka diganggu oleh bayangan Rafflesia lagi.

Mentari senja mula terbenam meninggalkan cahaya kemerahan di ufuk timur. Wajah Rafflesia jelas keletihan tapi senyumannya tetap ayu. Tetap memikat hati siapa saja yang memandang. 5 pusingan dia berlari hari ini. Jenuh juga aku menunggunya tapi aku rasa berbaloi.

Aku terus mengekori Rafflesia menuju ke tempat letak kereta bersebelahan Masjid KLCC. Perlahan saja dia melangkah sambil kedua-dua tangannya memegang tuala kecil yang tersangkut di leher.

Ya... Hari ini aku mesti dapatkan Rafflesia... Rafflesia akan jadi milik aku selamanya. Tiada lagi bayang-bayang... tiada lagi igauan. Kenyataan akan hadir buat selama-lamanya. Dia akan hidup bahagia bersama aku hingga keakhirnya. Tapi adakah Rafflesia kali ini adalah suatu yang nyata... atau suatu mistik yang akan menjerat aku buat kali ke 2. Aku tak kisah semua itu. Rafflesia tetap akan menjadi milik aku!!!


RAFFLESIA :

Ahhh!!! di mana aku ini...?? Adakah ini yang dinamakan neraka?. Gelap gelita... penuh dengan nyamuk... Adakah masuk neraka tangan akan terikat sebegini... mata langsung tidak dapat melihat. Gelap... hitam... dan pekat...

Aku langsung tak dapat mengingati apa yang berlaku. Rasanya tadi aku pergi berjoging... Selepas itu??? entah..... apa yang terjadi. Tiba-tiba aku sudah di sini. Kalau aku mati... bila masa pula malaikat maut menyabut nyawa aku ?. Ah!!! aku tak mampu untuk berfikir.

"Tolong!!!!... tolong!!!!" entah berapa kali sudah aku menjerit meminta tolong tapi hampa. Apalah semua ini... Tidak ada apa yang mampu aku buat dalam keadaan tangan dan kaki yang terikat sebegini. Keadaan yang gelap langsung tidak dapat membantu... hanya sesekali terdengar libasan kelawar yang terbang di sekeliling.

Aku hanya mampu menangis. Takut yang amat sangat. "Kenapa aku boleh jadi begini????" Bisik hati ini yang terus menggeletar ketakutan. Tiba-tiba aku terpandang seperti ada cahaya yang bergerak mendekati. Cahaya yang agak samar. Bergerak sambil berhayun. Dekat dan semakin dekat membuatkan hati ini terus berdebar dan semakin berdebar. Air mata terus bercucuran kerana ketakutan. Ingin sekali aku lari sekuat hati, tapi apakan daya kaki dan tanganku masih tertambat. Aku hanya mampu menanti apa saja yang datang.

"Engkau..!!!" Mulut ku bersuara tanpa disuruh... terkejut dengan wajah yang tiba-tiba terpacul dari balik tembok sambil memegang lampu pelita. Aku masih ingat dengan wajah ini. Pengemis inilah yang mengganggu semasa aku berjoging di Taman KLCC minggu lalu.

"Kau masih kenal aku Rafflesia???" jawab lelaki yang sambil cuba memeluk kaki aku yang berselunjur lantas terus saja aku menarik kaki ku ini. Dia tahu nama aku ‘Rafflesia’... tapi apa kaitan aku dengan pengemis ini. "Tolong lah.. lepas kan saya... Apa salah saya?? tolong lah lepaskan saya..." Aku cuba merayu kepada lelaki pengemis yang ada di depanku.

Bau badannya yang busuk membuatkan aku terasa nak muntah. Rambutnya yang berserabut amat menjijikkan. "Tidak Rafflesia... aku tak akan lepas kan kau.. kau tak akan tinggal kan aku lagi.. Kita akan hidup bersama Rafflesia..." Jawab pengemis itu yang membuatkan aku terus binggung. Entah bila masa aku pernah hidup bersamanya.

Aku bukan orang semenanjung... Aku orang Tambunan... baru 5 bulan aku berpindah ke Kuala Lumpur. “Hei!!! orang gila... apa kau cakap ni… lepaskan akulah!!!” Kata ku sedikit geram. “Kau kata aku gila Rafflesia… Kau kata aku gila… Kalau aku gila pun, aku gila kerana kau Rafflesia.. Kerana Kau!!!” Marah lelaki itu sambil menghunuskan jari telunjuknya ke arah aku. Langsung saja dia menangis. Aku tak mampu bersuara lagi, hanya tangisan yang mampu aku luahkan.

"Rafflesia sayang... aku tahu kau lapar... aku ada bawakan makanan untuk mu sayang... mulai hari ini kita akan makan bersama-sama..." Lelaki itu kembali bersuara seakan terketar lalu disusuli dengan hilai tawa dengan nada yang sungguh gembira... Aku semakin takut, aku bingung... aku tak paham apa yang terjadi...

Dalam tangisan, aku hanya memerhatikan lelaki itu yang seakan mahu menghidangkan makanan. Tiada apa yang boleh aku lakukan lantas mengalihkan pandangan ke arah sisi sebelah kiri. Alangkah terkejutnya aku apabila melihat lukisan wajah aku yang agak lusuh tertampal disitu. Cantik lukisannya. Memang itu lah wajah aku... siap dengan rantai bersama-sama loket berbentuk hati pemberian ibu yang sentiasa aku pakai. Keadaan menjadi semakin misteri bersama dengan lelaki seperti pengemis gila yang sungguh misteri... Aku takut......

"Rafflesia.. makanan dah siap.. tapi sebelum makan aku nak pastikan bahawa kau adalah benar-benar Rafflesia.." Pengemis itu memecah kesunyaian malam dengan nada yang agak keras sambil memegang dagu aku.. Aku hanya diam tak mampu menepis. Apa lagi untuk melawan. Aku sungguh takut.

"Memang aku Rafflesia.. tapi kenapa kau buat aku macam ni ha??" aku cuba meminta penjelasan. Dia tidak menjawab tapi hanya ketawa... lantas duduk bersila di hadapan aku seolah-olah mahu mengaji.

"Yassin.... Wal Quran nul hakim... " Tiba-tiba pengemis itu membaca surah Yassin. Aku bagai tidak percaya apabila seorang pengemis gila sepertinya lancar membaca surah Yassin. Sayu suaranya separuh menangis. Membaca tanpa sebarang rujukan, hanya dengan hafalan. Hati aku tiba-tiba sayu mendengarnya. Dia terus membaca sambil tangannya menghayunkan satu plastik air masak. Adakah aku sebenarnya telah mati... atau adakah dia adalah Malaikat Maut yang bersedia untuk menyabut nyawa... Aku terus binggung...

"Rafflesia... Minum ni..." Aku menurut saja suruhan lelaki itu. Aku takut untuk melawan. Tapi kini aku pasti dia bukanlah seorang yang jahat tapi dia gila. Orang jahat tak kan membacakan "Yassin" sebelum melakukan kejahatan. Cuma aku rasa agak misteri. Tak paham apa yang berlaku.

"Ha..Ha.. Ha... Kau memang Rafflesia..." Katanya lagi sambil merenjis-renjiskan sisa air tadi ke muka dan tubuh badan aku. "Sekarang mari kita makan" Sambungnya lagi yang kemudian beredar ke arah makanan yang telah disediakan... "Tolonglah aku... Apa kau mahu dari aku... Tolong lah jangan apa-apakan aku..." Aku terus merayu yang terus dibalas dengan hilai tawa saja.

"Jangan Bergerak!!! Kami Polis!!!." Tiba-tiba 4 orang anggota polis menyerbu masuk lalu menghunuskan pistol ke arah lelaki itu... Aku tersentak tapi begitu bersyukur. Aku yakin, aku selamat kini. aku juga yakin aku masih hidup dan masih berada di dunia ini.

Lelaki itu tidak melawan. Dia seolah-olah tidak takut dengan polis yang menyerbu. Dia hanya diam apabila tangannya digari. "Terima kasih encik.."Ucapan itu aku ucapkan apabila salah seorang anggota polis melepaskan ikatan tangan dan kaki aku. Aku terus saja mengibaskan tangan dan kaki yang terasa begitu lenguh.

"Apa yang sebenarnya berlaku encik?. Kenapa orang gila ni colek saya ?" Aku cuba bertanya kepada salah seorang anggota yang aku rasakan ketua dalam operasi ini. "Nanti kami akan siasat.." Jawabnya ringkas... aku hanya mengangguk tanda paham...

Lelaki itu diam dan terus tunduk saja apabila pihak polis mengeledah barang-barangnya. Sesekali dia berpaling ke arah aku lalu tersengih mengeringai. Tajam renungan matanya begitu menakutkan

"Tuan.. Saya jumpa ini.." beritahu salah seorang anggota polis lalu menyerahkan satu beg duit yang agak lusuh kepada ketua mereka. Polis itu terus saja membuka apabila menerimanya lalu mengeluarkan kad pengenalan yang masih tersimpan.

"Danial Afendi Bin Azman" Kata Polis itu sambil menepuk-nepukkan tapak tangannya ke tengkok lelaki pengemis itu... "Danial Afendi!!!!!" Nama itu membuatkan aku mengangkat kepala lantas memandang tepat ke arah lelaki pengemis itu. Aku rasa aku kenal dia.

"Nanti dulu Encik..."Aku cuba menghalang pihak polis yang mula bergerak membawa Danial Afendi meninggalkan lokasi ini. "Kenapa... Cik kenal dia...???" Tanye polis itu... "Saya rasa saya kenal dia encik..." aku memberitahu sambil mengangguk lemah. Air mata ini tidak mampu dibendung lagi... Perasaan sedih juga tak dapat aku bendung lantas berlari mendakap Danial Afendi. Lupa pada baunya yang busuk. Akhirnya aku bertemu juga dengan insan misteri yang menyelesaikan kes kehilangan adik kembar aku Noni.... Noni Rafflesia...

"Sapa nama cik ?" Polis itu bertanya apabila aku melepaskan dakapan terhadap Danial Afendi. "Nani... Nani Rafflesia..." Jawabku yang membuatkan Danial Afendi mengangkat kepala lalu merenung dengan sinaran cahaya mata yang sungguh tajam. Tembus hingga ke dasar hati ini.

Sayu, sedih hati ini. Tiba-tiba teringat kembali adik kembar aku Noni yang dulunya sentiasa bersama, namun terpisah seketika kerana mengejar cita-cita, kemudian terpisah buat selama-lamanya.

Tapi aku tetap bersyukur kerana dengan kehadiran insan misteri bernama Danial Afendi, Noni mampu dijumpai walaupun dalam keadaan yang tidak bernyawa. Sekurang-kurangnya kematiannya meninggalkan bukti nesan bukan hilang ditelan masa. Tapi mengapa Danial Afendi boleh jadi sebegini? Apa telah berlaku kepadanya? Persoalan yang tak mampu aku jawab. Biarlah ia menjadi suatu misteri dalam hidupku.

"Terima kasih Danial Afendi...." bisik hatiku menahan sedih sambil memerhatikan Danial Afendi masuk ke dalam kereta polis. "Danial Afendi... Aku rela menjadi pengganti Noni Rafflesia kalau itu yang kau mahu...."

18 comments:

Anonymous said...

Tak tau nak komen apa. Cuma terima kasih kerna menghidupkan kembali Rafflesia. Kesian Danial Afendi.

Anonymous said...

jalan cerita agak terabur dan tak teratur.. boleh perbaiki lagi..
-analiya83-

Anonymous said...

erm..lanjutan citer tang 'Misteri Si Rafflesia'yang bagus dan menarik. Satu'ending' yg cantik tuk menjelaskan sape dia 'Bayangan Rafflesia' sebenarnya. Wujudnye the real Nani Rafflesia bisa mengungkap kisah misteri si Noni Rafflesia yg menghantui Danial Afendi akhirnya. Akhiran yang logik tapi mengejutkan. Tahniah buat Bagong Perkasa.

Anonymous said...

w caya lu, bagong. bestlah citer u tang "Bayangan RAFFLESIA' tu. i ingatkan, u ni memang penulis yg berbakat. ader sense of mistik tersendiri. simple tapi menghiburkan. Rafflesia memang best giler ah..!

Anonymous said...

Sallam, sdr. Bagong. sya memang suke citer tulisan you tang Rafflesia tu sejak mula i baca tempoh hari. Baby girl sya yg i bagi nama Noni Rafflesia kang dah montel dan cute. xsangka,nama tu bawa tuah pada dia n the whole family. Sya hrp, dia akan secantik dan sebaik Noni Rafflesia yh wujud dlm citer you.

Anonymous said...

Satu gaya penulisan dari 2 view yang berbeza. Cerita yang agak berat untuk difahami. Perlu ada kosentrasi dari pembaca. Aku pun baca 2 kali baru paham. Memang best. Nampak kematangan dan skil dalam penulisan kau kali ni.

Anonymous said...

Bagong, tulisan u mulai jadi perhatian. So, teruskanlah berkarya. Misteri Si Rafflesia dan Bayangan Rafflesia suatu permulaan yg baik. u did it!

Anonymous said...

i xnak komen. cuma, citer tu memang bagus. mengelirukan tapi jwapannya ade kat ending. Suke kat nama Rafflesia. Unik dan ada aura tersendiri.

Anonymous said...

Noni Rafflesia..Nani Rafflesia, sikembar yang seiras. 2 insan dlm hidup Danial Affendi. I think, u r the hero in that story. Citer benar or ilusi..only u know, bagong.

Anonymous said...

Apalah u all ni, psl citer Rafflesia tupun, u all nak ribut2. Bukannyer best sgt. Rafflesia tukan nama bunga jer. Dah tu, xdak bau Melayupun. Carilah Anggerik ke, Melor ke, Melati ker..baru ori.

Anonymous said...

Ala, jgn peduli ngan komen murahan tu bagong. Org yg xkenal Rafflesia jer yg kata cam tu. U datang Sabahlah, tengok ngan matakepala sendiri, camaner Rafflesia mekar berkembang waktu malam or subuh hari. baru u haru setengah mati. i dah tengok dah..smpai matipun, i xleh lupa! Iulah power yg ader kat Bunga Rafflesia yg famous in d world tu.

Anonymous said...

Aku paling suke nama Rafflesia tu. Memang minat sejak kecik kat bunga dunia tu. Tapi tahniah untuk bagong kerana mewujudkan citer tang Misteri dan Bayangan Rafflesia dlm blog dia ni. Memang haru sgt. bisa kita meremang bulu roma. sedihpun ade. Rasa kitapun nak jumpa ngan bayangan si Rafflesia tu. Bagong, betulkah citer u ni? atau u ade gf nama NoniRafflesia? bagitaulah kite..

Anonymous said...

Hehee...aku nak cari bini nama Rafflesialah. Jeles rasa kat bagong Perkasa yg tulis citer tu. Tapi, Rafflesia cuma ade kat Tambunan Sabah jer ke? kat semenanjung sini xdak..tahniahlah bagong. citer u menarik. gaya bahasa mudah difahami. jln citerpun bagus. kita suke.

Anonymous said...

Dari pengalaman ilah, penulis yg berjaya mengolah citer like Misteri or bayangan Rafflesia tu..memang punyer pengalaman peribadi yang menarik. kuasa imajinasinya, hebat. Ditambah pula ngan pilihan nama watak yg cantik seperti Noni Rafflesia. wow! sape xterpana.

Anonymous said...

naper mesti nak sebut psl nama watak si Rafflesia tu jer? tu yg buat kitaorang jeles tu..nama lain xcantik ker? yg best story dialah. jln citer tu yg menarik. bukan psl nama Rafflesia tu jer. Ipun, Noni gak..cuma xdak Rafflesia jer. heheee

Anonymous said...

Bagong, sya suke citer nukilan awk. u ader skill dan pala otak yg baik tang plot citer tu. Syapun heran, mana u dpt idea menulis citer misteri cam tu? yg peliknya gik, mana u dpt nama Noni Rafflesia tu? Gf u ker? sorry, tanya.

Bagong Perkasa said...

Untuk Pengetahuan Semua... Semua cerita dalam blog saya adalah imiginasi semata. Langsung tiada kaitan dengan diri saya. Saya tidak pernah gila. Kalau ada kaitan dengan orang lain itu hanyalah kebetulan semata. Komen anda semua amat lah saya hargai untuk memberi saya semangat untuk terus menulis kerana aku hanyalah penulis jalanan. Tunggu kehadiran cerita "Cinta Si Rafflesia" selepas ini...

Unknown said...

saya suka lg citer misteri rafflesia.....slot citer yang menarik....dpt bayangkan camner kecantikan rafflesia....teruja aku...