Friday, December 28, 2007

Aduhai Si Mawi

Perut yang buncit, kulit yang gelap, rambut tipis yang hampir botak, gigi jarang-jarang kehitaman... Itulah dia Si Mawi. Seorang anak muda 20-an yang kurang siuman. Dulunya Mawi memang kacak, gilaan ramai wanita. Anak Mak Jah memang dulunya seorang yang hebat berkelulusan Ijazah Perakuanan dari universiti tempatan. Baik budi pekerti dan tidak pernah lupa diri. Suatu petang Mawi pulang ke kampung, sedang dia asyik mengupas sabut kelapa tiba-tiba sebatang pelepah kelapa jatuh lalu menghentak kepalanya. Semenjak kemalangan itu Mawi hilang ingatan dan menjadi tidak siuman. Kemalangan yang terus saja mengubah hidup Mawi dan keluarga. Kasihan Si Mawi.

Petang itu seperti biasa Mawi merayau-rayau di sekitar kampung. Berseluar pendek dan berbaju ketat yang menampakkan sebahagian perutnya yang buncit. Di tangannya tersidai beg plastik berwarna merah. "Nak kemana tu Mawi.."Tanye Pak Andang. "Mawi sedang cari siput nak suruh mak masak Cili Api campur batang keladi... erm sedap..." Jawab Mawi selamba. "Tapi itukan siput Babi, mana boleh makan." Pak Andang memberitahu. "Bolehlah.. nanti basuh bersih-bersih pakai air tanah, buang babinya .. baru boleh makan." Mawi menerangkan lagi yang membuatkan Pak Andang hanya menggeleng-gelengkan kepala. Ternyata Mawi masih boleh berfikir walaupun akalnya mereng.

"Mak!! Mawi bawa siput... mak tolong masak gulai..." Teriak Mawi kegirangan lalu menguhulurkan plastik berisi siput babi kepada Mak Jah. "Astagfirullah Hal Azim... " Mak Jah beristifar panjang apabila melihat siput babi yang masih bergerak-gerak dalam plastik yang di bawa Mawi, terus saja membuatkan dia tergeliat sedikit akibat kegelian.

"Mak basuh bersih-bersih tau mak... buang babi dia..." Mak Jah hanya mengangguk lemah dengan kata-kata Mawi itu. Sedih hati Mak Jah mengenangkan nasibnya. Tak tahu pada siapa dia mahu bergantung harap setelah pemergian suaminya Pak Ayub. Ditambah pula dengan penyakit gaut yang selalu menyerang kakinya membuatkan dia sukar untuk bergerak.

Anak pertama Mak Jah.. Azli pula kini semakin teruk ketagihan najis dadah. Sinar harapan yang selama ini disandarkan kepada Mawi tiba-tiba bertukar menjadi malap semenjak kemalangan yang menimpa Mawi. Semakin hari semakin tidak menentu. Dalam keadaan uzur itulah dia terpaksa mengusahakan sawah bendang yang tidak seberapa hasilnya. Tiada lagi harapan untuk masa depan yang segalanya malap bagi Mak Jah dengan anak yang langsung tidak boleh diharap... Azli dan Mawi.

"Mak cepatlah masak Mak... Mawi lapar nak makan gulai siput..." Mawi tidak sabar-sabar untuk menikmati hidangan kesukaannya. Mak Jah bingung entah apa helah yang perlu dibuat untuk melayan kerenah Mawi. "Mawi pergi tepi bendang.. Mawi ambil batang keladi.. Mak nak campur dengan Siput ni..." Mak Jah memerintahkan Mawi. Sengaja dia menguruh Mawi berlalu dari dapur supaya dia boleh buangkan siput babi yang Mawi bawa itu. Mawi hanya diam menurut perintah. Cepat-cepat Mak Jah ambil beg plastik tadi langsung mencampakkannya ke dalam longkang di belakang rumah... Bagaikan satu bala telah dilepaskan oleh Mak Jah. Puas sungguh hati orang tua itu.

Segera saja Mak Jah menangkap belut yang disimpannya dalam tempayan lalu direndam dengan air garam. Mengelitik belut yang ditangkapnya dari bendang 3 hari lalu dan akhirnya berhenti menandakan ia sudah tidak bernyawa. Lalu cepat-cepat Mak Jah mengeratnya kecil-kecil sepanjang ibu jari dan terus membelahnya.

"Mak Mawi balik bawa batang keladi..." Mawi terus riang. Ghairah sungguh dia untuk menikmati gulai siput kesukaannya. "Mana siput tadi Mak?" Mawi bertanya.. "Ni mak tengah basuh ni.." Mak Jah cuba menipu. "Mana kulit dia mak.." Mawi bertanya lagi.. "Ni siput babi... Mak dah buang babi dia.. tinggal siputnya saja.." Mak Jah menerangkan.." Mawi diam saja sambil menggaru-garu kepala.

"Habis tu macam mana Mawi nak sedut siput nanti..." Mawi bertanya lagi dengan perasaan yang sungguh kecewa... Mak Jah mula bingung, sukar untuk dia menjawab soalan dari Mawi itu. "Tak pe Mawi duduk atas dulu, nanti masa nak makan mak ajarkan ye sayang..." Beritahu Mak Jah.

Mawi menurut saja lalu melangkah naik ke rumah bahagian hadapan rumah yang lebih tinggi sedikit dari bahagian dapur. Terasa lega hati Mak Jah bila Mawi tidak buat banyak hal... Kadang kala kelakuan Mawi sukar dikawal apabila dia tidak dapat apa yang dimahukan.

Tiba-tiba terdengar Mawi menyanyi.. mendendangkan lagu-lagu yang girang. Itulah luahan hati yang ikhlas dari seorang yang kurang siuman seperti Mawi. Apa yang dia rasa akan diluahkan. Dia tidak akan pandai untuk menipu. Mah Jah terus saja tersenyum mendengar nyanyian Mawi. Dia tahu Mawi girang dan kegirangan hati Mawi yang ikhlas itulah yang akan membuatkan hati Mak Jah juga girang...

Menyanyi kerana gembira...
Menyanyi kerana sedih...
Menyanyi kerana rindu..
Aduh siapa dapat membaca hati ku saat ini...

Malam itu selepas solat Maghrib Mak Jah terus menghidangkan makanan untuk anaknya Mawi. Seperti biasa mereka akan menikmatinya bersama tanpa Azli. Bagi Mawi hidangan hari ini begitu istimewa. Lauk kesukaannya, Siput... "Mak.. Macam mana nak sedut ni..." Tiba-tiba Mawi bertanya. Rupanya dia masih ingat lagi apa yang Mak Jah perkatakan siang tadi. Mak Jah senyum saja lalu mengulurkan sebatang penyedut air kepada Mawi. Mawi tersenyum lalu menyedut kuah cili padi yang pedas dalam mangkuk berisi belut cili padi. Merah padam juga muka Mawi kepedasan tapi langsung dia tidak mengendahkannya dan terus menyedutnya hingga hampir bersih.

"Apa kau buat tu ha..." Mak Jah tiba-tiba berteriak apabila terdengar seperti ada orang menggeledah biliknya. Tentu Azli punya kerja. Entah apa yang dia cari.

"Eh!!! engkau nak kemana? Tu duit aku..." Mak Jah menyergah lagi. Azli langsung tidak mengendahkan kata-kata mak Jah lalu terus meninggalkan rumah bersama sebungkus duit syiling yang dijumpai dari dalam bilik Mak Jah. Tak mampu untuk Mak Jah menghalang apa lagi untuk merampas duit yang dilarikan Azli itu.

Sedih pilu hati Mak Jah. Mengalir airmatanya tanpa dipaksa. Tak mampu untuknya menahan sebak. Apalah nasib dirinya mendapat anak yang bagaikan bangkai bernyawa seperti Azli. Sesekali Mawi menoleh ke arah Mak Jah yang mula minitiskan air mata. Namun dia seperti tiada perasaan... tidak paham dengan apa yang berlaku dan terus saja menikmati masakan Mak Jah yang begitu enak.

Seperti biasa setelah solah Isyak Mak Jah terus saja masuk tidur kerana keesokan pagi dia harus ke turun ke bendang. Tapi malam itu sukar untuknya melelapkan mata kerana teringatkan tingkah lalu Azli sebentar tadi. Ditambah pula sakit gaut yang tiba-tiba menyerangnya. Mungkin dia silap makan kerana dia sepatutnya tidak boleh makan belut, namun dia terlupa kepada pantang itu. Dia hanya menahan bisa dengutan yang datang dari bahagian kaki kanannya.

Tiba-tiba terdengar bunyi orang membuka pintu. Pastinya Azli sudah pulang bersama Najis dadah untuk santapannya malam ini. Mak Jah sebak apabila mengenangkan Azli. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya terhadap Azli. Setiap pagi sebelum subuh dia akan bangun lalu mengemaskan lilin dan alatan lain yang digunakan Azli untuk mengambil dadah.

Dari dalam bilik terdengar bunyi pemetik api. Seperti biasa Azli akan memadamkan suis lampu lalu menyalakan lilin dan akan mula menyantap najis dadah. Di kala itu Mak Jah hanya mendiamkan diri sambil merenung Mawi yang sedang nyenyak tidur di sebelah bawah katilnya. Terdengar pula Azli tiba-tiba tergelak, ketawa seorang diri, mungkin dia sudah mula khayal dengan asap syaitan yang sudah meresapi otaknya.

Semakin sayu hati Mak Jah. Hati seorang ibu. 9 bulan dia mengandungkan Azli, membesarkannya dengan penuh kasih sayang. Entah dimana silapnya, tiba-tiba Azli boleh tersesat. Tersasar dari matlamat hidup di dunia ini untuk berjaya di dunia dan akhirat. Teringat kembali apabila dia bersama arwah Pak Ayub, suaminya yang mendodoikan Azli bersama.

Tiba-tiba bau asap dan cahaya api yang terang dari bahagian atas dinding bilik yang tanpa bersyiling terus saja menyedarkan Mak Jah dari lamunan. Api yang datang dari lilin Azli mengambil dadah yang menyambar langsir tingkap. Api begitu cepat marak memakan dinding papan yang sudah usang.

Mak Jah bingung... dia cuba untuk bingkas namun tidak berjaya lalu rebah di sisi Mawi yang terus lena diulit mimpi. "Mawi bangun nak... rumah kita terbakar... Bangun Mawi bangun..." Mawi mula sedar tapi seperti sedikit bingung melihat api yang sedang marak dan asap yang terus meliputi keliling mereka. Mawi bingkas lalu bergerak ke belakang mengelak api yang sudah menyambar langsir pintu bilik. Mak Jah hanya menutup muka tidak mampu untuk bergerak....

"Mawi keluar Mawi... lari.. tingalkan mak.. Lari Mawi..." Mak Jah terus menjerit. Namun Mawi masih lagi bingung melihat api yang terus marak dikelilingnya. "Lari Mawi lari..." Jerit Mak Jah lagi... Namun Mawi terus bingung dan menoleh ke kanan dan ke kiri memerhatikan api yang semakin marak.

Api terus marak hingga menjilat kayu-kayu gelegar pada bumbung. Mak Jah mendongak ke atas dan melihat api yang sedang memakan kayu gelegar benar-benar di atas kepalanya... "Ya Allah.. Ampunkan dosaku.. dan selamatkan lah Mawi..."Doa saja yang mampu Mak Jah pinta di saat ajal yang semakin hampir kepadanya.

Mawi terus menoleh sekeliling melihat api yang bagaikan berpesta. Dia mendongak ke atas dan terpandang kayu yang semakin musnah dijilat api yang bakal akan menimpa Mak Jah. "Lari Mawi... Lari." Jerit Mak Jah lagi. Dia tidak mahu Mawi mati bersama-samanya.

Tiba-tiba Mawi tunduk ke arah Mak Jah lalu menyambar tangan orag tua itu. Mak Jah bangun mengikut saja tarikan dari tangan Mawi itu. Mawi terus saja meletakkan pinggang Mak Jah pada bahunya lantas bingkas berdiri dan meloleh ke kanan dan ke kiri akhirnya lalu memandang ke arah tingkap kayu yang juga kini dimamah api. Mawi terus berlari sambil memikul Mak Jah lalu merempuh tingkap itu dengan sepenuh tenaga.

Tingkap kayu itu terus saja berkecai dirempuh Mawi. Mak Jah terus jatuh ke tanah bersama-sama Mawi lalu menghempap Mawi yang berada di bahagian bawah. Tinggi juga rumah mereka kerana Mak Jah merasakan dirinya seperti melayang di udara... Sakit juga punggungnya kerana merempuh daun tingkap walaupun sudah usang.

"Mah Jah.!!! " orang-rang kampung terus meluru ke arah Mak Jah dan Mawi lalu memadamkan api yang menyala pada pakaian mereka... "Syukurlah Mah Jah selamat" beritahu Mak Siti, jiran Mak Jah.. Mak Jah hanya diam tak mampu untuk bersuara setelah terlepas dari ajal yang bagi yang begitu hampir.

"Azli mana Mak Jah...?" Tanya Mak Siti pula... Mak Jah hanya diam lalu menghulurkan tangan menuding jari ke arah rumah yang terus dijilat api yang tiada siapa yang berani mendekatinya lagi. Jiran-jiran yang datang terus terdiam dan tidak mampu untuk berbuat apa-apa... Mak Jah terus diam memandang api yang menjilat rumahnya. Dia tahu Azli masih berada di dalam. Azli sedang khayal dan pastinya tidak mampu untuk keluar walaupun hanya untuk menyelamatkan dirinya sendiri. Namun dia tidak begitu galat dengan kehilangan Azli dan dia begitu bersyukur kerana dia punya super hero yang begitu hebat, Mawi.

"Mawi.. kau memang hebat... Aku bangga dengan kau..." Bisik hati Mak Jah sambil merangkul Mawi yang hanya mendiamkan diri... Ternyata walaupun Mawi kurang siuman namun ia lebih bererti dari seorang yang waras tapi menagih dadah.

"Mak esok Mak masak gulai siput lagi ya..." Mawi bersuara dan terus membuatkan Mak Jah tersenyum ambil menjeling rumah yang terus musnah dimamah api...

Saturday, December 1, 2007

Antara Jantan dan Lelaki

"Zita.. Ibu harap zita pandai-pandailah jaga diri. Belajar sungguh-sungguh dan sentiasa ingat kami. Ibu akan sentiasa doa kan Zita berjaya...." Lembut tangan ibu membelai rambutku sambil memberi pesanan yang sungguh berguna.

Aku seorang gadis kampung, berhijrah ke bandar untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Perundangan Islam. Anak seorang imam salah sebuah masjid di Pasir Mas, Kelantan. Memang tekad untuk berjaya mulanya sungguh kuat, hinggakan semester pertama di Universiti Malaya aku berjaya mendapat Anugerah Dekan.

Memang bila kita pandai dan rajin, ramai yang akan mendekati. Akan ramai pelajar yang akan mengambil peluang untuk menumpang kejayaan. Dan dari situlah hadirnya Razlan, pemuda kacak anak Datuk Mansor, ahli perniagaan yang berjaya. Bersih air muka Razlan bagaikan seorang yang sungguh beriman. Pandai mengambil hati dan sungguh pandai memikat. Memang ramai gadis yang tergila-gilakannya. Namun, gadis kampung ini juga yang menjadi pilihannya. Aku rasa sungguh bangga dengan itu. Bangga menjadi kekasih lelaki idaman ramai. Ternyata aku memang seorang yang hebat.

Razlan adalah segala-galanya bagiku. Dari seorang yang kolot, Razlan bangkit menjadikan aku insan yang hebat. Penampilan yang kekampungan sudah lama aku tinggalkan dan hanya akan ku ambil kembali apabila ingin pulang ke kampung. Aku kini memang nampak hebat dengan rambut panjang yang keperangan, kening yang dikikis halus, berskirt pendek dan berbaju ketat. Semuanya atas nasihat Razlan. Kini, siapa yang tidak kenalkan Zita... Kekasih Razlan yang punyai saham yang cukup tinggi. Tiada lelaki yang berani mendekati aku kerana mereka tahu akulah kekasih Razlan. Tiada perempuan lain juga yang berjaya menggoda Razlan kerana dia adalah milik aku seorang. Sehati, sejiwa dan bersama....

Malam itu aku dan Razlan meraikan hari kelahiran aku yang ke 21 bersama-sama, yang turut ditemani rakan-rakannya di salah sebuah kelab malam di Bukit Bintang. Segala-galanya telah Razlan aturkan rapi dan aku sungguh bangga kerana segalanya dilakukan untuk aku. Ternyata aku sungguh istimewa bagi Razlan. Kami menari semalaman. Memang langsung tiada rasa letih kerana aku punya kuasa tambahan dari Esctacy yang terus membuatkan aku melayang-layang di udara.

Alunan muzik terus membawa aku diawang-awangan. Air kencing setan itu memberi aku lebih tenaga untuk terus melayan suasana rancak yang bagaikan tanpa hentinya. Mungkin inilah syurga. Gembira... indah dan penuh dengan kenikmatan. Melayang... terbang dan akhirnya aku hilang....

Apabila aku sedar, aku berada dalam dakapan Razlan di Atas katil tanpa seurat benang pun di lokasi yang aku sendiri tidak pasti. Geli juga terasa bulu kaki Razlan yang menyentuh pangkal peha ini. Aku langsung tidak sedih dengan keadaan itu... apatahlah lagi kecewa.. Rasanya aku tahu apa yang telah kami lakukan malam tadi membuatkan aku rasa begitu bangga dengan semua itu lalu terus mendakap Razlan yang jelas keletihan. Sungguh istimewa hadiah harijadi yang Razlan berikan kali ini.

Mahkamah syariah Kuala Lumpur

"Norzita Bte Samudin... Anda dituduh berkhalwat bersama Razlan Bin Mansor pada 22 November 2005 di bilik bernombor 405 Hotel Brisdal. Adakah anda mengaku salah..." "Saya mengaku salah Yang Arif..." Aku terus sahaja mengaku salah apabila pertuduhan dibacakan oleh Hakim mahkamah Syariah Kuala Lumpur. Tiada alasan yang boleh aku berikan dari kesalahan yang aku dan Razlan lakukan.

"Razlan Bin Mansor... Anda dituduh berkhalwat bersama Norzita Bte Samudin pada 22 November 2005 di bilik bernombor 405 Hotel Brisdal. Adakah anda mengaku salah..." "Saya tidak mengaku salah dan mahu dibicarakan Yang Arif..." Aku terkejut dengan pengakuan tidak bersalah Razlan. Jelas sekali kami tidur di dalam bilik yang sama pada malam itu. Mengapa dia mahu dibicarakan lagi?... Mengapa dia tidak mengaku salah? Adakah itu salah aku seorang.. bukan salah Razlan atau bukan salah kami. Aku terasa longlai apabila Razlan tidak mengaku salah. Aku rasa sungguh terhina. Kenapa Razlan membiarkan aku sendirian. Dimana kasih sayangnya?. Memang.. memang detik itu lah sebenarnya yang terus merubah kegembiraan dan keceriaan aku kepada kehidupan yang sungguh gelap.

Atas kesalahan itu aku disaman RM 3000 dan tiada siapa yang mahu membantu menyelesaikan wang saman itu walaupun ahli keluargaku sendiri. Mereka tidak mahu membantu aku dan tidak dapat menerima kesalahan yang aku lakukan. Kesal aku dengan mereka. Sanggup mereka biarkan anak yang selama ini disanjung, dibelai tapi kini mereka membiarkan aku. Begitu juga Razlan terus berlalu dan menjauhkan diri dari aku. Aku tdak dapat berbuat apa-apa dan terpaksa meringkuk 2 minggu dalam penjara. Tempoh yang memang agak singkat tapi bagi mereka yang pernah merasainya, ia bagaikan setahun. Sumpah tidak akan aku jejakkan kaki ke dalam nya lagi.

Kisah dukaku tidak berakhir disitu. Apabila aku keluar, aku dipanggil oleh bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya. Aku dihadapkan pula ke mahkamah Universiti kemudian diberhentikan daripada menyambung pengajian. Masa depan yang sebelum ini kurasakan begitu cerah tiba-tiba menjadi gelap. Aku bagaikan hilang arah tuju. Malu dengan rakan-rakan seperjuangan. Razlan pula terus hilang entah kemana.

Aku tidak berani pulang ke kampung halaman kerana pastinya aku akan dimarahi oleh ayah yang sememangnya garang. Pastinya ayah dan keluarga akan marah dan tidak mahu menerima aku. Kalau tidak, masakan mereka sanggup membiarkan aku meringkuk keseorangan dalam penjara. Itu lah zalimnya dunia... Di saat aku terumbang ambing sebegini aku terus dibuang. Tiada siapa yang mahu memberi pedoman.

Oh.. dunia kenapa kau zalim.. kenapa aku diseksa.. kenapa dia bebas... Kasihanilah aku... aku bungkam.... dan diwaktu itulah aku teringat pada Asnida... GRO yang aku kenal di kelab malam yang biasa aku kunjungi.

"Zita.. kau tinggal lah di rumah aku ni... Kalau kau nak kerja aku boleh kenalkan dengan Abang Joe... Hidup mesti diteruskan Zita... Kau jangan putus asa..." Nasihat dari seorang yang dulunya aku anggap hina. Tapi kini aku sanjung kerana dialah satu-satunya insan yang ingin bersama aku diwaktu aku susah sebegini. Dan dengan bantuan Asnida aku dapat bekerja sebagai GRO dan dapat meneruskan hidup di kota ini dengan penuh keceriaan. Kedukaan mudah saja aku huraikan dengan air ajaib itu, air kencing syaitan... terus membuatkan aku lupa dengan kedukaan yang aku alami dan aku akan ceria sepanjang malam....

Sungguh sedih perjalan hidup aku untuk dikenang. Kadang-kadang aku tertanya sendiri, kenapa aku begitu mudah mengikut hawa nafsu padahal bukan lah aku cetek dari segi ilmu agama. Memang ternyata aku hancur kerana jantan itu…. Razlan.

”Zita…. kau kena gugurkan kandungan kau Zita.. Kalau tak macam mana kau nak bekerja… Perut kau semakin membesar.” Asnida memberi nasihat kepada aku… Nasihat yang langsung tidak akan aku terima… Begitu banyak dosa telah aku lakukan… Setiap malam aku akan berkepit dengan jantan, menikmati air syaitan itu, menari dan bergurau senda tanpa segan silu. Tapi aku tidak akan menjadi pembunuh kepada anak yang langsung tidak berdosa ini. Biarlah aku menderita tapi anak ini harus hidup dengan baik. Membesar dengan ceria, dan akan menjadi bukti betapa aku sayangkan Razlan sehingga ke akhirnya..

Cinta aku yang tak pernah luntur walaupun Razlan terus hilang meninggalkan aku sendirian. Aku tahu Razlan juga sayangkan aku… Aku yakin dia akan kembali kepada aku dan mengambil anaknya ini. Kemudian kami akan hidup bahagia bersama..

“Zita… Kalau kau tak mahu buang.. aku tak boleh buat apa-apa.. dan.. aku tak mahu tolong kau lagi…..” “Nida!!!!...” Aku terjerat kali ini.. Asnida adalah satu-satunya insan yang mahu menolong aku.. tapi kini dia juga mahu membuang aku hanya kerana aku tidak mahu menggugurkan kandungan ini. Syaitan jenis apalah dia ini…

“Razlan… kau kena terima aku Razlan… anak ni anak kau Razlan…” aku terpaksa datang menyembah Razlan. Betapa malunya sekiranya anak ini dilahirkan tanpa ayah… Aku tak sanggup menerima dugaan ini sendirian..

“Zita.. Zita.. ingat kau, aku boleh percaya dengan kata-kata bohsia seperti kau… Entah anak sapa-sapa kau buntingkan… lepas tu kau datang suruh aku mengaku… Aku tak mahu jadi pak sanggup….” Lembut saja kata-kata Razlan. Namun ia begitu tajam… sungguh sakit untuk aku telan. Menyentap hati dan perasaan yang terus saja membuatkan air mata ini jatuh membasahi pipi.

“Aku bersumpah tiada insan lain yang pernah meniduri aku kecuali kau Razlan.” “Sapa percaya dengan sumpah perempuan jalang seperti kau Zita…” Aku begitu sayang padanya… Aku begitu setia padanya… Segala-galanya aku serahkan kepada Razlan. Tapi inikah balasan Razlan dari kasih sayang dan kesetiaan yang aku berikan…“Perempuan macam kau tak layak untuk aku Zita….” Kau zalim Razlan.. Kau zalim..

“Mak maafkan Zita mak… Zita menyesal.. Zita janji tak buat lagi…”Aku cuba menagih simpati kepada ibu. Ibu yang selama ini begitu sayang kepada aku… Tempat untuk aku mengadu nasib dan berkongsi kisah suka duka bersama….

“Menyesal!!! dah takde gunanya lagi Zita… dah terlambat… Mana kami nak letak muka Zita kalau orang kampung tau kau mengandung. Ayah kau tu imam Zita…” “Tapi mana Zita nak pegi Mak…? Zita dah tak ada siapa lagi kat dunia ini mak.” Aku tak putus-putus cuba menagih simpati. “Kau pergi lah mampus…” “Mak!!!” Aku tak sangka, ibu yang selama ini aku sanjung sanggup melafazkan kata-kata sebegitu kesat dan terus memalingkan muka daripada aku. Ternyata dia tidak memperdulikan aku lagi.

Oh! Tuhan… apalah nasib ku ini. Kenapa zalim sungguh dunia ini. Kesilapan yang aku lakukan bersama-sama tapi aku seorang yang perlu menanggung. Aku sakit… aku derita.. aku terbuang sedangkan lelaki yang jantan itu terus bebas dan gembira tanpa sebarang hukuman.

Longlai langkah ini untuk ku atur. Tiada lagi arah, tiada lagi tujuan. Jiwa ini bagaikan kosong. Kusut masai segalanya. Tak tahu bagaimana untuk aku rungkaikan lagi.. Kau memang jantan Razlan…. Kau penipu!!!!. Adilkah hukuman ini… Aku terus melangkah meninggalkan desa yang permai.

Tinggallah ibu, ayah dan keluarga kerana ternyata aku tidak lagi bererti buat mereka. Mereka anggap aku seperti sampah yang tidak berguna, busuk dan harus dilontar sejauh mungkin. Rasanya tiada gunanya lagi untuk aku hidup. Tiada lagi tempat untuk mengadu.. tiada lagi tempat bergantung harap. Biarlah aku mati. Biar mereka puas. Biarlah aku luput dari alam maya yang fana ini….

Apabila aku sedar…

“Di mana saya ni?” Aku bingung… apabila aku sedar, aku berada di atas katil di sebuah rumah yang tidak pernah aku kunjungi. “Anak dah sedar… Alhamdulillah…” Tiba-tiba seorang wanita berusia pertengahan 50 an masuk ke bilik di mana aku terlantar. Aku cuba mengingatkan apa yang berlaku. Rasanya tadi aku berdiri di sebuah jambatan, Lepas itu.. entah apa yang berlaku..

“Di mana saya ni makcik…? Apa yang telah berlaku??” Aku cuba bertanya untuk mendapatkan jawapan. “Tadi anak terjatuh dalam sungai… Mujur anak makcik dapat selamatkan.”

Ah!! baru aku ingat, tadi aku terjun ke sungai itu untuk menyabut nyawa ku sendiri. Aku tak sanggup lagi meneruskan hidup yang penuh dengan kezaliman dan ketidakadilan ini. Tapi aku kecewa, kerana bila aku sedar aku masih bernyawa. Roh dan jasad ini masih bersatu. Malaikat maut masih belum ditugaskan untuk menyabut nyawa ini. Tuhan masih belum mahu menerima aku kembali… Tapi mengapa??? Teruk sangatkah aku ini sehingga tuhan sendiri tidak mahu menerima aku...

“Begitulah ceritanya makcik…”Aku menceritakan segalanya kepada makcik Asmah. “Sabarlah Zita.. percayalah tuhan itu Maha adil” Pujuk makcik Asmah kepada aku. “Kalau adil kenapa saya saja yang diseksa makcik… Kenapa Razlan boleh lepas tangan begitu saja…”Aku meluahkan perasaan tidak puashati.

“Zita.. Tuhan tu adil. Setiap yang dilakukan pasti ada hikmahnya. Mungkin Zita terseksa sekarang, tapi bahagia akan datang. Zita harus kuat… Ini semua hanya ujian Zita” Makcik Asmah terus memberi semangat kepada aku. “Tiada lagi bahagia dalam hidup Zita makcik.. semuanya gelap” Aku terus meluahkan rasa kecewa.

“Zita lihat di sana tu..” Makcik Asmah menuding jari ke arah awan gelap yang menyelubungi langit di ufuk sebelah Barat. Aku hanya melihat dengan penuh persoalan. “Awan yang gelap itu nampak seperti bencana, menjatuhkan hujan yang deras, petir dan guruh yang dahsyat, tapi ia pasti akan berhenti. Kemudian tanah yang gersang akan jadi subur. Suasana akan jadi dingin dan tenang kembali..” Makcik Asmah cuba menerangkan sesuatu yang sukar untuk aku fahami. Aku diam saja dan cuba mendalami kata-katanya.

“Makcik percaya.. Zita juga akan bahagia selepas ini. Percayalah Zita..” “Kenapa makcik cakap macam tu?” Aku terasa pelik dan sukar memahami kata-kata yang makcik Asmah berikan. “Zita jangan anggap orang seperti Datuk Mansor dan Razlan tidak diuji. Mereka diuji lebih dahsyat Zita. Mereka tidak sedar mereka sedang diuji dengan kemewahan, kebahagian dan kemenangan. Akhirnya mereka lupa dengan permainan hidup di dunia dan lupa pada balasan di akhirat.” Aku terkejut dengat kata-kata makcik Asmah. Ternyata orang tua ini mempunyai pemikiran yang begitu jauh, tidak terjangkau oleh akalku yang lemah ini. Rasanya aku faham dengan maksud yang ingin disampaikan. Tuhan masih sayangkan aku. Tuhan masih memberi masa untuk aku bertaubat.

Sudah hampir sebulan aku tinggal di rumah makcik Asmah. Taufik anak makcik Asmah hanya pulang setiap hujung minggu kerana bertugas sebagai Jurutera Petrokimia di Kuala Terengganu. Taufik memang baik dan tampan tapi aku sungguh benci dengannya. Kerana Taufik lah aku masih hidup di dunia ini. Aku langsung tidak pernah berbual dengannya walaupun sebaris ayat.

Petang semalam Taufik pulang bersama beberapa barangan hadiah hantaran pertunangan. Dengan siapa aku pun tak pasti. Semalaman aku dan makcik Asmah tidak tidur kerana menyiapkan hiasan barang-barang tersebut. Semoga Taufik bahagia bersama orang yang disayang. “Zita pakai baju ni..” Makcik Asmah menghulurkan baju kurung berwarna hijau muda beserta selendang. Lembut saja warnanya… tapi terlalu cantik buat aku dan sukar untuk aku menerimanya.

“Sapa punya ni makcik?” Aku bertanya. “Zita punya lah.. Taufik belikan… sudah pakai lekas… kejap lagi tetamu datang kita nak berangkat.” Jawab makcik Asmah sambil tersenyum. Aku terus memakainya. Memang terlalu cantik. Malu rasanya aku memakainya dengan perut yang semakin membesar. Aku memandang ke arah katil. Sayu sungguh hati ini melihat barang-barang hadiah pertunangan Taufik yang tersusun rapi. Kalaulah aku yang bertunang alangkah bahagianya. Dimanalah Razlan dikala ini… Bilalah dia akan datang untuk meminang aku…

Suasana di luar agak riuh dengan kehadiran tetamu yang datang. Mungkin jiran-jiran agaknya yang ingin bersama-sama menikmati saat gembira mengiringi rombongan peminangan. Tiba-tiba pintu bilik diketuk… dan aku bangkit untuk membukanya.

“Ibu!!!, Ayah!!!...” Aku hampir pitam apabila melihat ibu, ayah dan keluarga terpacul dimuka pintu. “Selamat pengantin Baru Zita..” Aku terpaku apabila Ibu mengucapkan kata-kata Ibu itu dan terus saja mengucup pipi dan dahi ku sepenuh perasaan. Aku terdiam.. tergamam bagaikan patung tanpa bernyawa…

“Apa semua nya ini?”
”Majlis perkahwinan…”
“Sapa yang kawin ibu…?”
“Zita lah…”
“Zita???? Dengan Sapa…??”
“Dengan saya Zita…”

Aku terduduk dibucu katil melihat lelaki yang mengaku ingin berkawin dengan ku. Makcik Asmah terus meluru dan terus merangkul aku. Aku tak mampu untuk bersuara lagi. Air mata terus mengalir tak mampu untuk kutahan. Begitu juga ibu… ayah.. dan semua yang hadir… semuanya menitiskan air mata beramai-ramai tanpa segan silu lagi… Suasana begitu pilu… sungguh sayu… Oh tuhan... inikah yang dinamakan nikmatnya hidup. Aku bersyukur kepadamu. Kau memang Maha adil.. Ya Tuhanku..... Ternyata tidak semua lelaki itu jantan. Masih ada rupanya lelaki sejati di bumi ini... Kau lah lelaki sejati… Taufik…