Sunday, September 30, 2007

Bayangan Rafflesia

Pesanan Bagong:
Cerita ini adalah Episod ke 2 bagi keseluruhan Cerita "Misteri Cinta Rafflesia". Oleh yang demikian sebelum membaca episod ini anda perlu membaca episod-episod yang terdahulu terlebih dahulu. (Klik pada tajuk di atas pada 'Misteri Cinta Rafflesia')


DANIAL :

Masa terus berlalu meninggalkan aku... meninggalkan kisah Rafflesia yang dulunya begitu hangat... sentiasa menghiasi muka depan tabloid yang menjadi tumpuan rakyat yang simpati akan kematian Rafflesia yang sungguh mengharukan. Mungkin orang tak kenal Rafflesia. Mereka lebih kenalkan Noni. Tak kisah lah.. apa saja namanya, dia tetap orang yang sama.

Secara tiba-tiba nama aku juga turut popular. Mereka anggap aku insan misteri yang hadir membantu menemukan mayat Rafflesia dengan cara yang agak mistik. Tapi selepas itu mereka tidak tahu betapa aku terseksa... aku menderita. Aku tidak dapat melupakan Rafflesia. Bayangan Rafflesia seolah-olah sentiasa mengekori aku walaupun aku telah kembali ke Kuala Lumpur. Fizikal nampak stabil tapi jiwaku tidak pernah tenang. Tidur malamku sering diganggu mimpi Rafflesia, datang memanggil-manggil seolah-olah mengajak aku pergi bersama-samanya. Namun setiap kali aku ingin menghampiri, bayang itu akan hilang. Sesekali apabila aku keseorangan terasa Rafflesia bagaikan hadir menemani aku. Memang jasadnya tidak nampak tapi aku dapat merasakan kehadirannya. Terasa bagai ada sesuatu yang sentiasa memerhatikan aku... kemudian berbisik lembut memanggil namaku melalui tiupan angin yang berhembus.

Aku sendiri tidak pasti sudah berapa lama aku tidak bekerja. Kereta Proton Waja yang aku beli pun sudah ditarik balik oleh pihak bank. Sewa rumah pun aku dah tak mampu bayar. Aku tak dapat bekerja selagi jiwa aku tak stabil. Entah sampai bila aku harus berterusan sebegini. Duduk di rumah terbengkalai. Siang aku merayau, malamku pula hanya bertemankan sinaran pelita yang samar, tidur beralaskan kotak buruk, ditemani nyanyian nyamuk yang membingitkan telinga. Suatu kehidupan yang terlalu asing bagi aku. Dulu memang begitu asing, tapi kini aku rasakan begitu selesa. Walau dalam keadaan yang begini usang, namun aku tetap gembira kerana setiap malamku pasti akan ditemani Rafflesia yang sentiasa memerhatikan aku dari sudut sana.

Hari ini aku mesti dapatkan Rafflesia. Orang kata Rafflesia sudah mati. Sudah disembahyangkan, sudah dikapankan dan telah dikebumikan, namun aku tetap yakin Rafflesia masih hidup. Sudah 3 minggu aku perhatikan dia berjoging setiap petang sabtu di Taman KLCC. Aku benar-benar yakin dialah Rafflesia. Susuk tubuhnya, ikal rambutnya yang menggerbang, lirik senyumannya memang sama dengan Rafflesia yang pernah aku jumpa dulu, malah rantai emas berloket berbentuk hati juga masih tersemat di dada Rafflesia. Bergoyang kekiri dan kenana apabila dia berlari.

Tapi aku begitu pelik. Dia seolah tidak mengenali aku lagi. Setiap kali aku memanggilnya dia akan lari terus meninggalkan aku. Mungkin dia sudah lupa kepada aku yang pernah bertemu di Tambunan dulu, Tak apalah kalau begitu kerana aku tetap akan merinduinya. Atau adakah dia sudah ada kekasih baru?. Ermm.. Itu semua tidak penting bagi aku. Yang penting, aku pasti mendapatkannya hari ini walau apa terjadi sekali pun. Aku mahu pastikan dia masih benar-benar hidup dan hadir dalam keadaan yang nyata. Aku tak suka diganggu oleh bayangan Rafflesia lagi.

Mentari senja mula terbenam meninggalkan cahaya kemerahan di ufuk timur. Wajah Rafflesia jelas keletihan tapi senyumannya tetap ayu. Tetap memikat hati siapa saja yang memandang. 5 pusingan dia berlari hari ini. Jenuh juga aku menunggunya tapi aku rasa berbaloi.

Aku terus mengekori Rafflesia menuju ke tempat letak kereta bersebelahan Masjid KLCC. Perlahan saja dia melangkah sambil kedua-dua tangannya memegang tuala kecil yang tersangkut di leher.

Ya... Hari ini aku mesti dapatkan Rafflesia... Rafflesia akan jadi milik aku selamanya. Tiada lagi bayang-bayang... tiada lagi igauan. Kenyataan akan hadir buat selama-lamanya. Dia akan hidup bahagia bersama aku hingga keakhirnya. Tapi adakah Rafflesia kali ini adalah suatu yang nyata... atau suatu mistik yang akan menjerat aku buat kali ke 2. Aku tak kisah semua itu. Rafflesia tetap akan menjadi milik aku!!!


RAFFLESIA :

Ahhh!!! di mana aku ini...?? Adakah ini yang dinamakan neraka?. Gelap gelita... penuh dengan nyamuk... Adakah masuk neraka tangan akan terikat sebegini... mata langsung tidak dapat melihat. Gelap... hitam... dan pekat...

Aku langsung tak dapat mengingati apa yang berlaku. Rasanya tadi aku pergi berjoging... Selepas itu??? entah..... apa yang terjadi. Tiba-tiba aku sudah di sini. Kalau aku mati... bila masa pula malaikat maut menyabut nyawa aku ?. Ah!!! aku tak mampu untuk berfikir.

"Tolong!!!!... tolong!!!!" entah berapa kali sudah aku menjerit meminta tolong tapi hampa. Apalah semua ini... Tidak ada apa yang mampu aku buat dalam keadaan tangan dan kaki yang terikat sebegini. Keadaan yang gelap langsung tidak dapat membantu... hanya sesekali terdengar libasan kelawar yang terbang di sekeliling.

Aku hanya mampu menangis. Takut yang amat sangat. "Kenapa aku boleh jadi begini????" Bisik hati ini yang terus menggeletar ketakutan. Tiba-tiba aku terpandang seperti ada cahaya yang bergerak mendekati. Cahaya yang agak samar. Bergerak sambil berhayun. Dekat dan semakin dekat membuatkan hati ini terus berdebar dan semakin berdebar. Air mata terus bercucuran kerana ketakutan. Ingin sekali aku lari sekuat hati, tapi apakan daya kaki dan tanganku masih tertambat. Aku hanya mampu menanti apa saja yang datang.

"Engkau..!!!" Mulut ku bersuara tanpa disuruh... terkejut dengan wajah yang tiba-tiba terpacul dari balik tembok sambil memegang lampu pelita. Aku masih ingat dengan wajah ini. Pengemis inilah yang mengganggu semasa aku berjoging di Taman KLCC minggu lalu.

"Kau masih kenal aku Rafflesia???" jawab lelaki yang sambil cuba memeluk kaki aku yang berselunjur lantas terus saja aku menarik kaki ku ini. Dia tahu nama aku ‘Rafflesia’... tapi apa kaitan aku dengan pengemis ini. "Tolong lah.. lepas kan saya... Apa salah saya?? tolong lah lepaskan saya..." Aku cuba merayu kepada lelaki pengemis yang ada di depanku.

Bau badannya yang busuk membuatkan aku terasa nak muntah. Rambutnya yang berserabut amat menjijikkan. "Tidak Rafflesia... aku tak akan lepas kan kau.. kau tak akan tinggal kan aku lagi.. Kita akan hidup bersama Rafflesia..." Jawab pengemis itu yang membuatkan aku terus binggung. Entah bila masa aku pernah hidup bersamanya.

Aku bukan orang semenanjung... Aku orang Tambunan... baru 5 bulan aku berpindah ke Kuala Lumpur. “Hei!!! orang gila... apa kau cakap ni… lepaskan akulah!!!” Kata ku sedikit geram. “Kau kata aku gila Rafflesia… Kau kata aku gila… Kalau aku gila pun, aku gila kerana kau Rafflesia.. Kerana Kau!!!” Marah lelaki itu sambil menghunuskan jari telunjuknya ke arah aku. Langsung saja dia menangis. Aku tak mampu bersuara lagi, hanya tangisan yang mampu aku luahkan.

"Rafflesia sayang... aku tahu kau lapar... aku ada bawakan makanan untuk mu sayang... mulai hari ini kita akan makan bersama-sama..." Lelaki itu kembali bersuara seakan terketar lalu disusuli dengan hilai tawa dengan nada yang sungguh gembira... Aku semakin takut, aku bingung... aku tak paham apa yang terjadi...

Dalam tangisan, aku hanya memerhatikan lelaki itu yang seakan mahu menghidangkan makanan. Tiada apa yang boleh aku lakukan lantas mengalihkan pandangan ke arah sisi sebelah kiri. Alangkah terkejutnya aku apabila melihat lukisan wajah aku yang agak lusuh tertampal disitu. Cantik lukisannya. Memang itu lah wajah aku... siap dengan rantai bersama-sama loket berbentuk hati pemberian ibu yang sentiasa aku pakai. Keadaan menjadi semakin misteri bersama dengan lelaki seperti pengemis gila yang sungguh misteri... Aku takut......

"Rafflesia.. makanan dah siap.. tapi sebelum makan aku nak pastikan bahawa kau adalah benar-benar Rafflesia.." Pengemis itu memecah kesunyaian malam dengan nada yang agak keras sambil memegang dagu aku.. Aku hanya diam tak mampu menepis. Apa lagi untuk melawan. Aku sungguh takut.

"Memang aku Rafflesia.. tapi kenapa kau buat aku macam ni ha??" aku cuba meminta penjelasan. Dia tidak menjawab tapi hanya ketawa... lantas duduk bersila di hadapan aku seolah-olah mahu mengaji.

"Yassin.... Wal Quran nul hakim... " Tiba-tiba pengemis itu membaca surah Yassin. Aku bagai tidak percaya apabila seorang pengemis gila sepertinya lancar membaca surah Yassin. Sayu suaranya separuh menangis. Membaca tanpa sebarang rujukan, hanya dengan hafalan. Hati aku tiba-tiba sayu mendengarnya. Dia terus membaca sambil tangannya menghayunkan satu plastik air masak. Adakah aku sebenarnya telah mati... atau adakah dia adalah Malaikat Maut yang bersedia untuk menyabut nyawa... Aku terus binggung...

"Rafflesia... Minum ni..." Aku menurut saja suruhan lelaki itu. Aku takut untuk melawan. Tapi kini aku pasti dia bukanlah seorang yang jahat tapi dia gila. Orang jahat tak kan membacakan "Yassin" sebelum melakukan kejahatan. Cuma aku rasa agak misteri. Tak paham apa yang berlaku.

"Ha..Ha.. Ha... Kau memang Rafflesia..." Katanya lagi sambil merenjis-renjiskan sisa air tadi ke muka dan tubuh badan aku. "Sekarang mari kita makan" Sambungnya lagi yang kemudian beredar ke arah makanan yang telah disediakan... "Tolonglah aku... Apa kau mahu dari aku... Tolong lah jangan apa-apakan aku..." Aku terus merayu yang terus dibalas dengan hilai tawa saja.

"Jangan Bergerak!!! Kami Polis!!!." Tiba-tiba 4 orang anggota polis menyerbu masuk lalu menghunuskan pistol ke arah lelaki itu... Aku tersentak tapi begitu bersyukur. Aku yakin, aku selamat kini. aku juga yakin aku masih hidup dan masih berada di dunia ini.

Lelaki itu tidak melawan. Dia seolah-olah tidak takut dengan polis yang menyerbu. Dia hanya diam apabila tangannya digari. "Terima kasih encik.."Ucapan itu aku ucapkan apabila salah seorang anggota polis melepaskan ikatan tangan dan kaki aku. Aku terus saja mengibaskan tangan dan kaki yang terasa begitu lenguh.

"Apa yang sebenarnya berlaku encik?. Kenapa orang gila ni colek saya ?" Aku cuba bertanya kepada salah seorang anggota yang aku rasakan ketua dalam operasi ini. "Nanti kami akan siasat.." Jawabnya ringkas... aku hanya mengangguk tanda paham...

Lelaki itu diam dan terus tunduk saja apabila pihak polis mengeledah barang-barangnya. Sesekali dia berpaling ke arah aku lalu tersengih mengeringai. Tajam renungan matanya begitu menakutkan

"Tuan.. Saya jumpa ini.." beritahu salah seorang anggota polis lalu menyerahkan satu beg duit yang agak lusuh kepada ketua mereka. Polis itu terus saja membuka apabila menerimanya lalu mengeluarkan kad pengenalan yang masih tersimpan.

"Danial Afendi Bin Azman" Kata Polis itu sambil menepuk-nepukkan tapak tangannya ke tengkok lelaki pengemis itu... "Danial Afendi!!!!!" Nama itu membuatkan aku mengangkat kepala lantas memandang tepat ke arah lelaki pengemis itu. Aku rasa aku kenal dia.

"Nanti dulu Encik..."Aku cuba menghalang pihak polis yang mula bergerak membawa Danial Afendi meninggalkan lokasi ini. "Kenapa... Cik kenal dia...???" Tanye polis itu... "Saya rasa saya kenal dia encik..." aku memberitahu sambil mengangguk lemah. Air mata ini tidak mampu dibendung lagi... Perasaan sedih juga tak dapat aku bendung lantas berlari mendakap Danial Afendi. Lupa pada baunya yang busuk. Akhirnya aku bertemu juga dengan insan misteri yang menyelesaikan kes kehilangan adik kembar aku Noni.... Noni Rafflesia...

"Sapa nama cik ?" Polis itu bertanya apabila aku melepaskan dakapan terhadap Danial Afendi. "Nani... Nani Rafflesia..." Jawabku yang membuatkan Danial Afendi mengangkat kepala lalu merenung dengan sinaran cahaya mata yang sungguh tajam. Tembus hingga ke dasar hati ini.

Sayu, sedih hati ini. Tiba-tiba teringat kembali adik kembar aku Noni yang dulunya sentiasa bersama, namun terpisah seketika kerana mengejar cita-cita, kemudian terpisah buat selama-lamanya.

Tapi aku tetap bersyukur kerana dengan kehadiran insan misteri bernama Danial Afendi, Noni mampu dijumpai walaupun dalam keadaan yang tidak bernyawa. Sekurang-kurangnya kematiannya meninggalkan bukti nesan bukan hilang ditelan masa. Tapi mengapa Danial Afendi boleh jadi sebegini? Apa telah berlaku kepadanya? Persoalan yang tak mampu aku jawab. Biarlah ia menjadi suatu misteri dalam hidupku.

"Terima kasih Danial Afendi...." bisik hatiku menahan sedih sambil memerhatikan Danial Afendi masuk ke dalam kereta polis. "Danial Afendi... Aku rela menjadi pengganti Noni Rafflesia kalau itu yang kau mahu...."

Thursday, September 13, 2007

Kekasih Gelapku....

Benar kata orang 'Hidup umpama roda', tidak sentiasa gembira, tidak selalu ceria. Sekali ombak memukul pantai pastinya pasir akan terus berubah. Begitulah lumrah kehidupan. Dulu aku memang seorang yang bebas tapi terkawal. Hidupku umpama burung yang bisa terbang bebas kemana saja yang kumahu. Mendaki gunung, membeli belah, menonton wayang, melepak di pusat membeli belah malah kadang kala pergi melalak menyanyi karaoke dengan rakan-rakan sekolej. Tapi bukan bermakna aku liar. Aku masih punya pegangan yang kuat. Kebebasan dan kepercayaan yang keluarga berikan tidak pernah aku persiakan. Aku tetap ingat pada rukun Islam yang lima. Aku tetap yakin pada rukun Iman yang enam. Cuma sesekali aku terlanggar rukun Negara yang kelima 'Kesopanan dan kesusilaan', memang itu sukar sekali aku penuhi.

Kini sudah lebih 3 tahun aku hidup bersama Imran. Suami yang aku anggap sungguh mithali, sungguh baik dan sentiasa mengambil berat terhadap aku dan anak kami Fakhrul Ilmi. Memang dia sentiasa menjaga kami dengan baik. Tiada kekurangan yang jelas dalam keluarga. Kami tidak pernah bertengkar. Merajuk sedikit, itu kira lumrah. Sesungguhnya tuhan telah memakbulkan doaku untuk memperlakikan seorang yang baik dan mengambil berat. Sebenarnya itulah matlamat setiap wanita, sentiasa inginkan pasangan yang baik, yang lengkap dan boleh membimbing diri ke jalan yang diredhai. Mungkin atas dasar mencari yang terbaik itulah masih ramai rakan-rakan seangkatanku yang masih membujang dan terus mencari dan menanti sesuatu yang dipanggil Mr. Right.

Hari ini genap sebulan aku bekerja sebagai juru tol. Biasanya orang gelarkan ku ‘Minah Tol’. Sebenarnya dulu aku pernah bekerja. Namun semasa aku mengandungkan Fakhrul Ilmi aku mengalami masalah kesihatan yang menyebabkan aku terpaksa berhenti bekerja. Namun akibat terlalu bosan terkurung di dalam rumah yang kurasakan seperti sangkar akhirnya aku merayu kepada Imran untuk membenarkan aku bekerja. Tak kiralah kerja apa sekalipun asalkan aku dapat keluar dari kurungan itu.

Walaupun kerja ini tidak setaraf dengan kelulusan aku sebagai pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal, namun aku tetap bersyukur kerana bukan wang ringgit yang dicari tapi pengubat kesunyian dan kebosanan.

"Selamat Pagi.." Aku terjaga dari lamunan bila saja ada suara orang menegur dari kereta Honda Civic bewarna hitam yang berhenti di sisi pondok tol. "Selamat pagi.." Aku membalas sambil melemparkan sedikit senyuman kepada seorang pemuda yang setiap hari lalu di sini sewal jam 6.30 pagi. Seperti biasa juga dia sudah bersedia dengan wang genap RM 1.80 dan seperti biasa aku akan membalas dengan menyerahkan tiket bayaran. Serentak dengan itu palang dihadapan kereta akan dibuka dan kenderaan akan terus meluncur meninggalkan aku.

"Ada apa lagi encik?..." Aku terpaksa bertanya apabila lelaki itu tidak berlalu seperti biasa. "Saya nak beri ini... kalau senang hubungi saya.." Aku terdiam tetapi tetap menerima kad perniagaan yang dihulurkan. Entah lah apa tujuannya aku sendiri tidak pasti. Mungkin ada peluang kerja yang lebih baik yang ingin ditawarkan kepadaku lantas menyimpan kad itu di dalam tas tangan.

Petang ini aku pulang seperti biasa jam 4 petang. Aku tidak keseorangan kerana Fakhrul Ilmi akan menemani. Imran pula biasanya hanya akan pulang jam 7 atau 8 malam. Begitulah rutin hidupku setiap hari yang sungguh membosankan. Aktiviti remaja aku yang bebas, terhenti serta merta semenjak aku berkahwin. Imran bagiku sungguh baik, memang langsung tidak sekepala dengan aku yang nakal ini. Pernah juga sesekali aku mengajaknya menonton wayang untuk menghilangkan rasa bosan, namun ada saja alasan yang diberi. Dia sentiasa sibuk dengan kerja serta aktiviti politik dan kemasyarakatan.

Entahlah.. Adakah ini dinamakan perkahwinan, suatu perkongsian hidup... tapi tiada insan untuk berbicara... tiada insan untuk bermanja... Jiwa terasa kosong tak berpenghuni. Sepi dan sungguh sepi sekali. Jiwa ku sering mengeluh tetapi sesekali ketawa sendiri mengingatkan zaman remaja yang penuh dengan keseronokan dan kenakalan.

"Abang balik lewat. Kena ikut datuk.." Itulah bunyi sms yang biasa aku terima. Dan malam ini aku menerimanya lagi. Tiada kata-kata yang mampu aku berikan lantas menyimpan kembali hidangan yang telah aku hidangkan. Langsung tiada nafsu untuk aku menjamahnya sendirian. Aku memandang ke arah Fakhrul. Nyenyak dia tidur, separuh berdengkur. Terus saja aku capai remote Astro lantas mencari kalau-kalau ada rancangan yang boleh menarik perhatian. Ternyata semuanya tidak mampu menarik minat aku.

"Ah!! kenapa ni..." bisik hatiku seakan kecewa dengan keadaan bosan yang mencengkam. "Nombor yang anda dail tidak dapat dihubungi buat masa ini..." Aku terus saja memadamkan panggilan yang cuba kubuat kepada Nadia, satu-satunya rakan belajar yang masih berhubung hingga kini, tapi kali ini aku hampa. Aku terus duduk bersandar di atas sofa lantas melemparkan pandangan ke arah tingkap. Samar-samar terlihat titisan air hujan menitis. Begitu jugalah hatiku yang menangis di dalam hati... tiada seorang pun yang tahu betapa sepinya hati ini... Menangis.. merintih... menghibur sendiri hati yang sepi dan terus sepi.

"Hello boleh saya tahu siapa ni.." Tiba-tiba aku menerima panggilan telefon dari seseorang. "Awak telefon saya tapi tanya siapa saya..." Aku membalas dengan sedikit marah. "Maaf... tadi saya lihat ada miss call pada telefon saya... Siapa ni?" Dia bertanya kembali... Baru aku teringat, akibat terlalu bosan aku tertelefon pemuda yang memberikan aku kad perniagaannya awal pagi tadi... tapi tiada jawapan lantas aku terlelap di atas sofa.

"Encik Arman ye... Saya yang kerja dekat tol tu. Minta maaf saya tersalah tekan tadi." aku menjawab memberi alasan yang sungguh tidak logik sambil memandang ke arah kad perniagaan yang masih terlekat ditanganku. "Eh tak apa... Kalau sengaja lagi bagus..." Dia menjawab dan membuatkan aku tergelak kecil. Entah lah seperti tidak sengaja aku melayan Arman ditelefon. Aktiviti bergayut yang memang biasa aku lakukan bersama bekas kekasih aku dulu. Dan tanpa aku sedari sudah 2 jam aku berborak dengan Arman. Semacam ada tarikan yang menyebabkan aku sukar untuk memberhentikan perbualan ini. Mungkin antara kami ada satu persamaan jiwa yang kuat yang membuatkan aku terasa begitu serasi bersama.

Pagi ini aku tidak mengelamun lagi... Hatiku berdebar menantikan kereta Honda Civic yang akan melintasi tol ini. Terasa segan juga kerana tidak semena-mena aku boleh melayan Arman begitu lama sekali. Tiba-tiba jantungku berdegup kencang apabila melihat kereta Arman mendekati... Aku begitu kenal kereta itu, malah nombor pendaftarannya pun sudah kuhafal. "Selamat pagi Farah.." Arman membuka cermin kereta sambil menghulurkan wang kertas RM100 kepada ku... "Kenapa tak sediakan RM 1.80 macam biasa?" Tanyaku yang begitu pelik dengan tindakan Arman hari ini. "Saja nak lama sikit.. Nak borak dengan Farah..." Arman membalas yang membuatkan aku hanya tersenyum tersipu-sipu. "Ah.. nakal juga dia ni.. macam aku dulu-dulu.." bisik hatiku sedikit kecewa... tetapi seakan ceria.

"Boleh tak saya call Farah malam ni?" Arman kembali bersuara... "Tak boleh..." Jawap ku ringkas... Arman seakan terkejut dengan jawapan aku. Mungkin kecewa agaknya... "Kenapa?" Arman bertanya kembali seperti tidak puas hati. "Malam tak boleh.. petang boleh..." Aku menjawab nakal sambil memulangkan wang RM 98.20 beserta tiket tol kepadanya. Arman hanya tersenyum. Tiba-tiba dia menghulurkan sekuntum Mawar Merah kepadaku dan terus berlalu meninggalkan aku. Aku terdiam. "Entah bunga mana yang dipetiknya pagi-pagi buta ni" bisik hatiku sambil mengucup wangian Mawar merah pemberian Arman. Sungguh romantis... sesuatu yang tidak pernah wujud pada diri Imran.

Semenjak saat itu aku begitu terasa akan kehadiran Arman. Aku tak mampu menolak kehadirannya dalam hati ini. Aku terasa bahagia sekali dengan layanannya. Setiap petang dia pasti akan menghubungi aku. Dia lah peneman aku dikala aku benar-benar sunyi. Dia bijak mengambil hati, pandai bergurau, malah sering memberi kata-kata semangat dan perangsang kepada aku. Kekosongan yang selama ini kurasakan, kini terasa sudah terisi. Penuh dan subur dijiwa ini. Arman.. Walaupun kau tiada disisi, namun kasih mu dapat ku rasa begitu dekat hingga menusuk kesanubari ini.

Entahlah adakah salah aku bersikap sebegini. Sebenarnya tiada apa yang aku inginkan, sekadar peneman hati ini yang begitu sunyi dan aku rasa Arman dapat merasakan kesunyian itu lalu berjaya menusup masuk begitu dalam kelubuk hati ini. Cinta Arman umpama lampu suluh... Fokusnya begitu jelas dikala kegelapan malam. Terima kasih Arman kerana sudi menjadi kekasih gelapku. Mungkin atas dasar terima kasih itulah aku bersetuju untuk keluar dengan Arman yang bagiku pertama dan terakhir. Entahlah kenapa sifat nakal yang telah lama aku tinggalkan tiba-tiba datang kembali. Mungkin tarikan cinta Arman begitu kuat dan tak mampu untuk aku menolaknya.

Seperti dijanjikan malam ini aku berjumpa Arman di hotel bertaraf 5 bintang. Sungguh romantis suasana dikala itu. Aku duduk bertentang mata dengan Arman dihiasi lampu yang sedikit samar. Di tengah-tengah meja terhias sekuntum mawar merah yang baru ingin berkembang. Kemudian kami dialunkan dengan alunan muzik yang mengasyikan. Suasana romantik yang memang tidak pernah aku alami. Aku dan Arman hanya bertentang mata tanpa kata-kata. Entahlah mungkin terlalu banyak telah aku luahkan dalam perbualan ditelefon setiap petang. Bagiku hari ini aku hanya ingin bertemu dengannya dan selepas itu aku ingin lari dari cinta terlarang ini. Aku tak mahu terus menipu diri sendiri. Memang aku mengaku aku sangat sukakan Arman. Tapi apalah erti perasaan itu bagi aku sebagai seorang isteri. Aku tidak boleh mementingkan diri sendiri walau dalam apa keadaan sekali pun.

Aku dan Arman terus diam... Aku ingin sekali bersuara tetapi setiap kali aku cuba membuka mulut Arman akan meletakkan jari telunjuknya ke bibir tanda senyap. Memang dia tidak mahu aku meluahkan kata-kata perpisahan. Dia hanya mahu kami hanya berinteraksi dari hati ke hati. Arman begitu pelik dan sungguh istimewa bagi ku...

"Farah..." Tiba-tiba terasa ada suatu tangan yang menepuk bahu aku dari arah belakang lantas membuatkan aku tersentak. Aku sungguh kenal suara itu lalu membuatkan aku terus saja memejamkan mata sekuat yang mungkin. Aku tak sanggup dan tak berani membuka mata apa lagi menoleh kerana aku pasti itulah suara Imran.

Aku terus saja menekup muka dengan kedua-dua belah tangan lalu terus berlari meninggalkan Arman dan Imran. Fikiran ku terasa kosong dan aku terus berlari sambil mengalirkan airmata yang tak mampu aku bendung lagi...

Malam itu aku tidak berani untuk pulang ke rumah... Aku takut pada Imran. Apalah hukuman yang aku akan terima kali ini. Aku akan malu dengan keluarga. Entah lah... Dimana hendak aku letakkan air muka ku ini. Aku terus saja berdiri di penghujung jeti tempat orang menunggu feri yang pernah aku kunjungi semasa aku putus cinta dulu.

Deruan ombak yang ganas membuatkan aku begitu gerun. Takut sekali aku dimarahi Imran kali ini. Apalah akan jadi pada rumah tangga kami. "Fakhrul Ilmi... Maaf kan mama nak". Tak tahu apa harus ku lakukan di saat itu. Mahu saja aku terjun ke laut. Namun iman ku masih kuat. Aku harus kuat. "Hidup mesti terus.." bisik hatiku...

"Farah..." sekali lagi aku aku terdengar suara Imran yang terus saja membuatkan lulut aku terus longlai tak mampu untuk berdiri. Aku terus duduk menangis sambil memeluk tiang jeti sambil menanti Imran datang menghampiri. Aku pasrah dengan hukuman yang bakal Imran berikan.

"Farah... Abang minta maaf Farah...." Tanpa aku duga Imran datang dengan penuh kelembutan, meminta maaf lalu memapah aku untuk berdiri. Air mata terus mengalir dan terus mengalir. Imran terus merangkul aku dari sisi lalu kami bergerak bersama menuju ke kereta tanpa kata-kata. Entah lah aku tak tahu apa yang ada dalam benak Imran... Memang Imran seorang yang hebat kerana bagi ku orang yang hebat bukan lah orang yang boleh mengalahkan orang lain, tapi orang yang boleh menahan diri daripada marah.

Imran memang hebat.. begitu hebat dan semenjak itu Imran berubah bukan saja sebagai suami, malah sebagi kawan yang sungguh ceria, setia dan sentiasa di sisi... Kini aku sungguh ceria di sisi Imran.

Wednesday, September 12, 2007

Lelaki... di ‘Puncak Merdeka’

Beberapa hari lagi Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan Ke 50. Sebagai anak merdeka yang cintakan kemerdekaan aku rasa satu kewajipan untuk meraikannya. Namun kali ini aku terpaksa bertugas mengendalikan pakej perjalanan sekumpulan pelancong ke Taman Kinabalu, Kundasang. Niat di hati nak bersama rakan-rakan berkumpul di Padang Merdeka Kota Kinabalu menjelang ambang kemerdekaan. Namun terpaksa kupinggirkan demi tugas. Pakej perjalanan ke lokasi yang dikenali sebagai ‘Tapak Warisan Dunia’, telah diatur pihak agensi mengikut jadual. Beginilah tugasku. Sering memenuhi waktu minggu bersama kumpulan pelancong tempatan dan luar negara yang ingin menghabiskan masa mereka dengan bercuti. Aku lah peneman mereka.

Kali ini aku mengendalikan pelancong yang kebanyakannya pesara warga asing. Hanya terdapat seorang lelaki tempatan lingkungan usia tiga puluhan, bersama anak gadis ciliknya menyertai kumpulan itu. Agak unik lelaki berjambang berketurunan Melayu Portugis ini. Aku asik mengamatinya sejak bertolak dengan bas pesiaran dari pusat Bandar Raya Kota Kinabalu tadi. Murung saja wajahnya, senyap dan tenggelam dalam lamunannya. Cuma anak gadis ciliknya yang berusia tujuh tahun itu saja becok mulutnya Semuanya dia ingin tahu. Begitupun, lelaki itu seakan melayannya endah tak endah. Pandangannya jauh melayang, keluar lewat tingkap kenderaan yang terbuka. Seolah-olah, perjalanan sejauh 60km yang mempamerkan pemandangan indah perkampungan melalui Pekan Telipok, Tamparuli, Nabalu hingga ke dataran tinggi, tidak sedikit pun menarik perhatiannya. Sepanjang tempoh aku bertugas sebagai pemandu pelancong, aku tak pernah bertemu dengan karektor sepertinya. Teramat serius. Dingin dan tiada wajah kemesraan pada dirinya.

Senja baru kami tiba di Taman Kinabalu. Kumpulan pelawat tadi terus mendaftar diri di kaunter Ibu Pejabat Taman yang terletak pada ketinggian 1,563m. Mereka nampak letih tapi ceria. Mereka diberikan anak kunci bilik penginapan masing-masing di Nepenthes Villa yang terletak di lereng bukit berhadapan pemandangan Gunung Kinabalu. Persekitaran Taman dengan suasana dingin dan litupan kabus, begitu mendamaikan dan mempersonakan dengan pelbagai spesies flora dan faunanya yang unik. Harapanku agar kesemua pelancong dapat menjiwai kedamaian ini sebagai satu kepuasan melancong ke sini.

Malam itu, hujan lebat. Suasana di persekitaran Taman teramat dingin dan diliputi kabus tebal. Tiada aktiviti yang mampu dilakukan kecuali berkurung di dalam bilik. Alat pemanas ruang yang kupasang, seakan tak bisa menampung kedinginan yang mencengkam. Terasa begitu bosan sekali begini. Akhirnya aku keluar ke ruang tamu di bahagian bawah. Kelihatan, beberapa orang pelancong yang menginap di villa yang sama asyik menonton tv. Ada yang berbual sesama mereka. Mungkin mereka juga bosan kerana tiada aktiviti yang boleh dilakukan.

Aku melangkah keluar ke serambi villa lalu berdiri di situ merenung ke arah puncak Kinabalu yang tersembunyi di sebalik kelam malam. Tempias hujan sesekali merembes ke wajahku. Aku mendakap tubuhku yang berbungkus baju tebal. Sungguh dingin sekali. Terasa benar udara sejuk menusuk hingga ke sendi-sendi tulang.


“Err...maaf, nak tanya sikit..” Getus suatu suara serak-serak basah. Aku menoleh. Ah, lelaki berjambang dan berwajah murung itu, sudah berdiri hampir padaku. “Ya, encik Hakim. Apa yang perlu saya bantu?.” Balasku bersahaja. Aku tahu namanya, seperti biasanya aku harus tahu nama setiap pelancong di bawah jagaanku. “Saya dengar...lusa, ada ekspedisi mendaki gunung? Saya berminat nak ikut serta dalam ekspedisi itu. Bagaimana caranya?.” Soalnya dengan nada hambar. “Oh, sebenarnya...ekspedisi tu hanya khusus untuk sekumpulan pendaki yang akan mengibar Jalur Gemilang di puncak Kinabalu, menjelang ambang kemerdekaan ke 50 nanti.” Jelasku padanya. Memang ekspedisi ini hanya untuk 8 orang yang telah dipilih sahaja dan aku adalah salah seorang daripadanya.

"Bolehkah, saudari bantu saya?.” Pintanya, mengharap. Aku menatapnya dengan perasaan kurang yakin. “Saudara seriuskah ni?.” Soalku, ingin pasti. “Ya. Dah lama saya berniat nak mendaki Kinabalu. Tapi kerana terlalu sibuk, saya tak ada kesempatan. Kalau boleh, saya teringin nak meraikan detik bersejarah itu berada di puncak bersama mereka..!.” Katanya, bersemangat. Aku terkedu seketika. Dia nampak begitu mengharap tapi apakan daya tiada lagi ruang untuknya. Haruskah aku berundur demi menyempurnakan keinginannya? Sudah tiga kali mendaki dan menawan puncak Kinabalu. Tiga keping sijil bukti kejayaanku, elok tersimpan dalam frem yang tergantung di dinding ruang tamu rumahku.

“Baiklah. encik Hakim boleh gantikan tempat saya. Saya akan maklumkan pada urus setia Ekspedisi tentang hal ni.” Akhirnya, aku memutuskan tanpa rasa terpaksa. “cuma...kita kena usahakan keperluan peralatan mendaki untuk Encik hakim. Saya ada kawan ranjer di sini yang boleh membantu dapatkan keperluan tu.” Aku memberi pengakuanku. Kegembiraan jelas terpancar di matanya. Dia mengucapkan terima kasih lantas memberi sekilas senyuman yang tak bisa memaniskan wajah murungnya yang penuh jambang itu.

“Daddy...! I’m so cold...!!.” Tiba-tiba, gadis cilik itu memanggil dari arah jendela kamar di kiri serambi. Kami berdua mengalih pandang ke arahnya. “Sekejap honey! I’m coming..!.” Hakim berpaling padaku semula. “Nur Aleeya Natasha. Satu-satunya anak saya. Oh, ya...jika boleh, saya nak minta tolong saudari...tengok-tengokkan Aleeya, semasa saya mendaki nanti.” Aku mengangguk, setuju. “Terima kasih, saudari...” Dia bersuara sambil menggengam tangan dan menghunuskan ibu jari tanda ingin mengetahui namaku. “Darlyna...” sahutku, lembut. “Maaf,..saya lupa. Thanks Darlyna...” Dia tersengih, lalu berlalu meninggalkan aku keseorangan. Aku terasa seperti ada suatu aura dari senyuman dari wajah Hakim yang tadinya begitu murung... Ah!! Entahlah... aku tersenyum sendiri sambil mengeleng-gelengkan kepala.

Hakim akhirnya menyertai kumpulan peserta ekspedisi mendaki pada awal pagi 29 Ogos. Aku senang melihat Hakim yang berubah ceria. Aku sendiri tidak pasti apa yang membuatkan sinar wajahnya tiba-tiba muncul. Sebelum bergerak dia sempat mengucup dahi Aleeya di hadapanku. Jelas terbayang kasih sayangnya terhadap anaknya Aleeya. Aleeya melepaskan ayahnya dengan pandangan mata sayu tapi mengerti, namun masih juga sempat menitiskan air mata walaupun pemergian itu cuma 2 hari. Jelas kasih sayang yang tersemat antara Hakim dan Aleeya begitu menebal. Hakim memang ayah yang hebat yang mampu membuatkan anaknya terasa pemergiannya walau seketika.

Setelah mereka berlepas aku membawa pelancong yang lain melawat Ruang Pameran yang terdapat di Ibu Pejabat Taman dan menonton audio visual. Aleeya begitu leka melihat gambar-gambar dan spesimen pelbagai spesies flora dan fauna yang dipamerkan dalam kaca pameran. Namun, itu belum cukup menggembirakannya. “Miss Darlyna...i want to see the biggest flower in the world, please!. I want to see Rafflesia...!.” Katanya, lembut dan manja. Aku begitu terkejut apabila Aleeya tiba-tiba memegang tangan ku sambil menghentak-hentak kaki terlalu mengharap. Mungkin dia sudah biasa manja dan terlalu manja dengan ayah.

Harapan seorang anak kecil memang tidak harus dipersiakan. Lantas aku mendapatkan seorang ranjer dan meminta diatur jadual berasingan. Mudah berurusan dengan ranjer disini sebab aku memang sudah biasa dengan mereka. Kami agak beruntung, kerana kebetulan ada spesies Rafflesia yang sedang berkembang pada ketika itu di kawasan habitatnya. Aku kagum dengan Aleeya, seorang anak kota yang sanggup berjalan kaki...meredah hutan di kawasan tinggi. Dia tabah dengan gigitan nyamuk di kiri kanannya...hanya untuk melihat Rafflesia yang diminatinya. Langsung tidak tergambar wajah keletihan. Cuma aku yang sedikit mengah asik melayan pertanyaan yang tidak henti dari Aleeya. Sempat juga aku merakamkan beberapa kenangan Aleeya bersama Rafflesia Tengku Adlinii yang mekar berkembang dengan warna oren dan kuning keemasan. Ceria sungguh Aleeya disaat itu sehingga terusik jiwaku ini. Aku terasa sayu terasa ingin mengalirkan airmata bila saja Aleeya berlari riang mengeliling Rafflesia yang damai.

“Miss Darlyna.... Kalau ibu masih ada mesti dia gembira sebab kami pernah menanam impian bersama melihat Rafflesia dari dekat....” Petah Aleeya berkata-kata dan secara tiba-tiba kelihatan dia begitu sayu... “Mana Ibu Aleeya ?” Lantas aku bertanya. “Dia sudah meninggal akibat kemalangan setahun yang lalu...” Aleeya menjawab dan tanpa disengajakan menitis airmata dari kelopak gadis kecil ini. Aku terus mendakapnya, lantas Aleeya membalas dengan penuh kemesraan. Hati aku terasa sayu... aku juga terkenangkan mama. Mama sudah berpisah dengan Papa namun hanya berpisah keluarga sahaja. Hakikatnya aku masih lagi mampu berjumpa dengan mama tidak seperti Aleeya yang ibunya pergi buat selama-lamanya Mungkin sebab itulah Hakim begitu murung... mungkin dia juga amat terasa akan kehilangan isteri tercinta. Kesian Aleeya... kesian Hakim.

Malam ini Aleeya tidur bersamaku. Sebelum tidur Aleeya meminta aku bercerita. Aku terkedu seketika kerana langsung tiada idea untuk bercerita. Akhirnya aku membuka cerita sejarah mitos Kinabalu. Aleeya begitu asyik mendengar aku bercerita sambil membelai rambut ku. Aku terus bercerita sambil menepuk lemah punggungnya. Di saat itu aku merasakan Aleeya terlalu perlukan kesih sayang dan belaian manja dari seorang yang bergelar ibu. Kasihan Aleeya. Tanpa aku sedari tangan Aleeya berhenti bergerak. Aku memberhentikan cerita yang tergantung lantas melihat jam ditangan yang menghampiri jam 12 tengah malam. Aku bingkas lalu merenung puncak Kinabalu dari arah Jendela. Di kala itu aku terbayang kawan-kawan yang melaungkan perkataan “Merdeka !!!” lalu mendendangkan lagu-lagu patriotik beramai-ramai dengan penuh rasa bangga. Di satu sudut pula aku terbayang bagaimana Hakim yang tiada pengalaman mendaki perlu meredah kegelapan malam, diiringin kedinginan yang melampau dan disirami dengan hujan yang lebat dikala ini. Aku tahu betapa risikonya mendaki dikala sebegini. Namun Hakim perlu lakukannya demi negara. “Ya Allah.. selamatkanlah Hakim... demi Aleeya” Aku menadah tangan lalu menakup ke muka sambil berpaling ke arah Aleeya yang yang masih tidur melingkup. Entahlah.. mungkin aku dapat merasakan sepinya hidup tanpa ibu disisi... Bagaimana pula jika kehilangan ayah.. aku tak dapat bayangkan gadis manja sekecil Aleeya perlu menjalani kehidupan tanpa ibu dan ayah... Sekali lagi air mataku mengalir lemah membasahi pipi... Sayu dan sungguh pilu...

Merdeka!!! Merdeka!!! Merdeka!!!

Tiba-tiba aku aku terkejut dengan jeritan itu... ditengah kesunyian malam petugas-petugas Taman masih lagi mampu meraikan hari kemerdekaan yang sungguh bersejarah. Aku terus saja turun mahu melihat telatah mereka dengan meninggalkan Aleeya keseorangan. Mereka bagaikan hilang kawalan.. menghentak kaki sambil menyanyikan lagu ”Tanggal 31”. Warga asing yang ada disitu juga turut menari walaupun mereka tidak paham dengan senikata lagu. Terasa geli juga hati aku melihat telatah mereka... “Mama...” tiba-tiba seluarku terasa ditarik sesuatu.. Aku terkejut melihat Aleeya memegang kakiku sambil mengosok-gosok mata... Aku terus saja membongkokkan diri lantas mendukung Aleeya... “Darlyna lah... bukan mama..” Aku bersuara.. lantas membuatkan Aleeya tersengih sahaja.. mungkin tadinya dia mengingau agaknya.

Pakej percutian di Taman Kinabalu hampir pada penghujungnya. Hakim kelihatan masih keletihan dan kurang sihat selepas balik dari pendakian itu namun kini dia murungnya sudah hilang. Jambang yang menutupi wajahnya juga telah dicukur bersih lantas memancarkan wajahnya yang sebenar. Dia kelihatan lebih kemas dan tampan dengan penampilan barunya “Manis juga..” bisik hatiku sambil memunggah beg pakaian ke dalam bas. Sesekali sempat juga aku menjeling wajah Hakim yang begitu banyak berubah, begitu juga Aleeya ang nampak sungguh ceria.

Bas meluncur laju menuju ke Kota Kinabalu. Aku duduk sendirian. Tiba-tiba Aleeya datang kepadaku.... Aku hanya tersenyum tanpa kata-kata hanya menepuk tempat duduk bersebelahan tanda menjemput duduk bersebelahan ku.... Aleeya paham lantas duduk disebelahku... dalam diam.. Aleeya mengambil tanganku... lalu diletakkan didadanya.. Pastinya kali ini aku akan pasti merindui Aleeya... Sayu nya hati ini.. Dalam menahan sebak aku melontarkan pandangan ke arah hutan tebal yang mengiringi pemergian kami.. tak sanggup aku menatap wajah Aleeya ketika itu.... Dan akhirnya aku terlena dalam genggaman Aleeya.

“Terima kasih, Darlyna... kerana menjaga Aleeya” Hakim mengucapkan terima kasih sebelum berlalu meninggalkan aku... Aku hanya mengangguk tanpa kata-kata. Tiba-tiba hakim memberi cebisan nota kepada ku.. “Apa ni?” Tanya ku spontan... "bila saya pergi baru awak buka.." Katanya lagi. Aku hanya mengangguk lemah sambil membiarkan tangan ku dicium oleh Aleeya. Mereka terus berlalu dengan teksi menuju ke lapangan terbang meninggalkan aku keseorangan.. dengan perlahan aku membuka cebisan nota itu...

“Awak sungguh Istimewa.. Aleeya sukakan awak.. begitu juga saya...”

- Hakim 013-3323239 -

Aku hanya terdiam membacanya... “Hakim.. Aku kagum dengan dirimu.. Kagum dengan kasih sayang yang kau berikan terhadap Aleeya.. Aku juga sukakan kau..” Hati aku tiba-tiba bersuara. Ku harapkan kata-kata hatiku ini dapat singgah di telinga Hakim yang terus jauh meninggalkan aku...

Sunday, September 2, 2007

Misteri Si Rafflesia

Pesanan Bagong:
Cerita ini adalah Episod ke 1 bagi keseluruhan Cerita "Misteri Cinta Rafflesia". Anda boleh mengikuti kisah seterusnya dengam memilih pada list cerita 'Misteri Cinta Rafflesia')


Sungguh indah bumi Sabah ini... Patutlah negeri ini digelar Negeri Di bawah Bayu... Baru semalam aku menjejakkan kaki di bumi indah Sabah nan Permai ini... Niat di hati ingin sekali melihat keindahannya yang sering diperkatakan... Cemburu rasanya mendengar cerita rakan yang sering ke sini... Mereka kata, Sabah sungguh Indah.. Paling indah pemandangan Gunung Kinabalu apabila diliputi awam. Puncaknya bagaikan ditelan oleh kepulan asap tebal...

Aku memang cintakan keindahan... Keindahan itu suatu kurniaan.. Kurniaan tuhan kepada mereka yang tahu menilai, berfikir tentang diri sebagai hamba... lalu menginsafi diri dengan kebesaran yang Maka Kuasa. Di sini juga untuk aku melupakan kisah perpisahan antara aku dan Lin. Kisah cinta yang indah yang diakhiri dengan perpisahan akibat perasaan cemburu dan salah sangka. Semoga dengan keindahan bumi Sabah ini akan dapat menenangkan jiwaku yang berkecamuk untuk aku terus berdiri menghadapi kehidupan yang masih panjang.

Seharian aku berlegar-legar di Bandar Kota Kinabalu... tidaklah janggal bagi aku berada di kota ini kerana aku memang orang kota. Memang dilahirkan dan dibesarkan di Kuala Lumpur. Beza yang ketara hanya bahasa pertuturan. Kini tiba masa untuk aku mengembara di bumi Sabah. Tiada rancangan khas yang aku lakukan. Aku hanya ada sekeping peta dan beberapa maklumat tentang daerah-daerah di Sabah. Itulah yang paling menarik. Tiada kongkongan dan aku bebas untuk mengembara.

Selesai solat Maghrib aku terus mendapatkan kereta sewa yang telah ditempah siang tadi. Arah tujuan adalah ke Tambunan, satu daerah yang dikelilingi oleh banjaran yang berasal dari nama gabungan dua puak Tamadon dan Gombunan. Dua puak yang bergabung untuk menentang puak Tonsundung yang jahat dan angguh.

Gelap sungguh perjalanan aku malam ini, tiada lampu jalan yang menemani tidak seperti di Kuala Lumpur. Sesekali terasa silau dengan lampu kenderaan yang berselisih. Sampai kilometer 58 aku berhenti seketika di "Rafflesia Information Center". Ingin sekali aku melihat bunga yang terbesar di dunia yang telah diiktiraf oleh 'Genuise Book Of Record'. Tapi keadaan sunyi saja.

"Kenapa encik?.. ada apa-apa yang boleh saya bantu" Tiba-tiba aku disapa oleh seorang gadis dari arah belakang, lantas terus menoleh. Aku terpaku melihat wajah itu. Wajah yang sungguh cantik, asli... bulat sedikit tetapi dagunya agak tajam... bagai ada sinar cahaya yang terpancar dari wajahnya. Sungguh ayu gadis ini. Rasanya belum pernah aku melihat wajah secantik ini di semenjak aku keluar dari perut ibuku...

"Kenapa Encik...?" Aku bagai terperanjat apabila gadis itu kembali bersuara. Baru aku sedar mulut ku yang terlopong. "Saya nak pegi sini tapi kenapa sunyi saja? " aku bertanya. "Dah tutup dah Encik... Esok sajalah encik datang" Aku hanya mengangguk kecil dengan jawapan itu... "Takpelah terima kasih.." Jawabku ringkas lantas cepat-cepat masuk kembali ke dalam kereta meninggalkan gadis itu keseorangan.

Entahlah kenapa tiba-tiba aku sungguh berdebar berdepan dengan gadis itu. Mungkin sinar matanya membuatkan aku terasa tewas walaupun dalam hati ini meronta untuk mengenalinya. "Takpelah.." bisik hati ini yang bagai kecewa dengan sifat pemalu yang selalu menghantui diri.

Aku tiba-tiba terpaksa membatalkan niat untuk bergerak apabila melihat gadis itu melangkah menuju ke arah pintu tempat duduk penumpang kereta Wira yang aku sewa. "Kenapa cik adik?" Aku membuka cermin tingkat lantas bertanya. "Awak nak kemana?" Dia tidak menjawab tapi membalas soalan kepadaku. "Tambunan.." Jawabku ringkas. "Boleh saya tumpang..?"dia bertanya... Aku terdiam buat seketika.. kemudian mengangguk bagaikan tidak sengaja... Entahlah aku bagai terpaku...

"Kenapa encik diam saja?.. Saya minta maaf sebab ganggu perjalanan encik. Saya tertinggal bas tadi." Gadis itu bersuara apabila menyedari suasana perjalanan begitu bungkam. "Tak adalah.. Ok juga.. saya pun tak ada teman. Boleh juga awak tunjukkan jalan di sini". Aku membalas...

"Nama saya Rafflesia... Nama encik siapa ?" Aku terdiam bila mendengar nama itu. "Oh patutlah" bisik hatiku.. mukanya yang bulat, dagunya yang tajam umpama kelopak Rafflesia, warna kulit yang putih tapi kemerahan sedikit.. Memang nama itu sungguh sesuai dengan wajah anggun ini.

"Sapa nama encik ?" aku terkejut apabila dia bertanya kembali... "Tak payah panggil encik. Panggil Danial saja." Jawabku. "Oh sedap nama tu tentu awak bukan orang sini..." Dia memuji namaku.. Entah lah tiba-tiba dengan pujian itu aku berasa bagaikan lebih yakin dan lebih berani.. dan dari saat itu kami terus berbual panjang.

Seronok aku mendengar cerita bagaimana ibunya memberi nama Rafflesia kepadanya. Paling seronok tentang cerita tentang pahlawan Gombunan yang membuka daerah Tambunan. Nyata sekali gadis ayu ini begitu unik. Pakaian yang agak seksi langsung tidak mencerminkan budi bahasanya yang sopan dan penuh kelembutan, tidak lupa pada nilai ketimuran, tidak lupa pada sejarah malah pandai mengambil hati. Begitu pandai dia mencuri hati ini... Memang tanpa diduga, seketika saja hati ini sudah terpaut...

"Dah sampai Tambunan ini... Rumah Rafflesia kat mana? " Aku bertanya apabila terpandang Papan tanda bertulis 'Bandar Tambunan'. "Depan tu ada simpang.. tempat saya belok kiri... kilometer 15.95... " Rafflesia menerangkan. "Wah lengkap sungguh kilometernya" aku mengusik. "Mestilah... Sebab saya nak jemput awak datang." Jawab Rafflesia lalu kami ketawa kecil.

"Danial awak boleh tolong saya?" Raffles kembali bersuara. "Kalau Rafflesia minta tolong... walaupun saya di semenanjung sekalipun... pasti saya akan datang menolong.. Saya kan Superman.." Aku menjawab secara lawak... Kami ketawa lagi... Memang ceria perjalanan aku kini.. berbeza dari 20 minit yang lepas.

"Boleh hantarkan saya pulang di kilometer 15.95 ?".. Pinta Rafflesia lagi seakan-akan terlalu mengharap. "Baik lah..." aku bersuara sambil memandang wajah Rafflesia yang tersenyum penuh mengharap... sesekali terlihat kilauan rantai emas halus dihiasi loket berbentuk hati yang menghuni dada Rafflesia. Kecil tapi menarik, sesuai dengan tubuh genit Rafflesia.

Aku singgah sebentar di Bandar Tambunan untuk mendapatkan hotel. Setelah selesai mendaftar aku dan Rafflesia terus menuju ke arah Ranau untuk menghantar Rafflesia pulang. Perjalanan yang agak mencabar kerana kegelapan malam dan melalui jalanraya di tebing bukit. Maklumlah aku memang ada rabun ayam.

Kami terus berbual bertukar-tukar pengalaman. Aku tertarik dengan cerita Rafflesia yang amat sukakan tarian tradisional sambil melenggokkan jarinya yang lentik. Nyaris tertusuk ke lubang hidung aku. Rupanya dia memang seorang penari tradisional separuh masa di Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan negeri Sabah. Sungguh berbeza dengan kehidupan aku yang selalu berdepan dengan mesin. Rancak kami berbual sehingga tak terasa perjalanan yang dilalui.

Tiba-tiba aku terasa seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan tayar belakang kereta, lalu terpaksa memberhentikan kereta di bahu jalan. Aku turun dan dalam kegelapan aku periksa tayar belakang sebelah kiri. Benar tekaan aku. Tayar keretaku pancit. Mujurlah Aku membawa lampu suluh.

"Rafflesia.. Awak tolong pegangkan lampu suluh.. saya nak tukar tayar... tayar keta pancit lah.."Aku meminta tolong dari Rafflesia dengan nada yang agak hampa. Rafflesia mengangguk saja.

"Berat juga tayar ganti ni yer" bisik hatiku sambil mengangkat tayar. Rafflesia kelihatan agak kelihatan agak gelisah. Mungkin dia tak selesa dengan keadaan nyamuk yang banyak, maklumlah dia hanya berskirt pendek dan lokasi itu sungguh gelap, terasa bagaikan di dalam hutan. Ditambah bunyi cengkerik yang bingit. Di sebelah belakang dari kereta kami pula ada sungai yang melintang dengan bunyi deruan air yang ganas.

Aku pun sebenarnya penakut juga. Tapi bersama Rafflesia, aku buat-buat berani. Sempat jua aku menjeling wajah Rafflesia yang mencangkung menemani aku menukar tayar kereta. Tapi dia nampak begitu sayu bagaikan wajah yang baru ditinggalkan kekasih. Berbeza sungguh dengan wajah ceria tadi.

"Kenapa Rafflesia?..." Aku bertanya sambil memusingkan skru terakhir tayar kereta. "Rafflesia minta maaf sebab susah kan Danial...." Rafflesia menjawab lemah.. "Tak ada apa. Ini semua dah takdir.... atau sebenarnya Rafflesia takut Danial apa-apa kan Rafflesia.. maklum lah gelap ni.. Tapi, Rafflesia jangan risau.. Danial bukan jenis yang macam tu..." Aku cuba bergurau sambil memasukkan tayar yang pancit dan peralatan ke dalam bonet kereta. Rafflesia hanya diam sahaja.

Aku terus saja menutup bonet kereta apabila selesai mengemas peralatan menukar tayar. Di saat itu aku sungguh terperanjat. Darahku tiba-tiba berderau apabila melihat Rafflesia tiada dalam pandangan aku. Hanya lampu suluh yang ditinggalkan di atas kereta. "Ah!! mungkin dia ada dalam kereta.."Bisik hatiku menenangkan diri yang memang penakut.

Aku terus melangkah menuju ke pintu pemandu lantas memandang ke dalam. Ternyata Rafflesia tiada.. lantas aku mengalihkan pandangan ke hadapan. Di saat itu aku terasa begitu lemah apabila melihat batu penanda jalan yang berada lebih kurang 50 meter dari kereta aku tertulis 'KM 16'. Maksudnya di sinilah kilometer 15.95 dan di sinilah tempat yang Rafflesia mahu aku menghantarkannya.

Aku terus cuba menoleh sekeliling dan cuba untuk menolak teori yang sungguh mengerikan. Namun ternyata Rafflesia tiada. Yang ada hanya hutan rimba yang gelap gelita. Dalam keadaan yang aku sendiri tidak terkata aku terus memasuki kereta lalu berpatah balik ke Tambunan.

Perjalanan yang tadinya aku rasa begitu singkat kini terasa begitu lama, begitu jauh sekali. Tak henti-henti aku membaca ayat-ayat suci Al-Quran yang aku hafal walaupun sesekali tersasul akibat terlalu takut. Aku bingung dengan apa yang terjadi. Wajah Rafflesia yang pada mulanya ceria dan gembira, tiba-tiba sayu dan terus hilang meninggalkan aku. Siapakah Rafflesia? Adakah dia hantu??.. Kalau Hantu kenapa dia tidak mengganggu aku... sekadar cuba mencuri hati ini... kemudian ngaib tiba-tiba. Ah!! begitu banyak persoalan yang bermain di fikiran. Dan akhirnya aku sampai kembali di Bandar Tambunan. Aku tidak terus pulang ke hotel sebaliknya terus ke Balai Polis Tambunan untuk melaporkan tentang kejadian yang aku lalui.

"Encik... Saya nak buat laporan tentang kehilangan gadis.." Aku terus memberitahu kepada seorang pegawai polis bertugas. "Encik duduk dulu dan beri saya IC..." Aku menurut saja..."Boleh encik ceritakan apa yang berlaku" Pinta pegawai polis itu lagi... Langsung aku menceritakan apa yang aku lalui. Entah lah aku sendiri tidak pasti sama ada polis akan menerima laporan aku yang agak misteri ini.

Aku bernasib baik kerana tidak ditertawakan oleh pegawai polis itu dan rakan-rakannya malah mereka nampak tertarik mendengarnya. "Boleh tak encik beri gambaran gadis itu.." Pinta pegawai itu lagi, yang menyebabkan beberapa pegawai polis yang lain terus datang mendekati meja dimana aku berada. Aku terus membayangkan wajah Rafflesia. Wajah ayu yang masih terbayang diminda ini.

"Itu Noni.." Tiba-tiba seorang pegawai polis yang memakai tanda nama Nazrul bersuara. "Bukan.. Nama dia Rafflesia... bukan Noni" Aku cuba membantah nama yang disebut oleh pegawai itu... "Betulkah ini wajahnya..?" Tiba-tiba Nazrul menunjukkan sekeping gambar Rafflesia kepada aku. Aku terdiam. Aku semakin bingung dengan apa yang terjadi. Aku hanya mengangguk lemah.

"Kalau begitu boleh encik tunjukkan tempat dimana encik hantar Noni.. tadi..." Tanya pegawai polis itu lagi.. "Saya tak hantar.. tayar kereta saya rosak di situ tadi... Dia Rafflesia bukan Noni." Aku membetulkan ayat yang aku rasa salah disebut oleh pegawai itu. "Apa-apalah..." Jawab begawai polis itu ringkas. Aku terus mengekori pegawai polis itu menuju ke kereta bersama 3 pegawai yang lain, lalu kami terus menuju ke kilometer 15.95.

Kilometer 15.95 memang agak gelap. walaupun kami berempat namun aku rasa begitu seram berbeza di saat aku ditemani Rafflesia tadi. 3 orang pegawai polis itu terus meninjau-ninjau keadaan dengan lampu suluh yang dibawa. "Sarjan... saya jumpa ini.." Jerit seorang pegawai polis sambil menunjukkan seutas rantai berloket berbentuk hati yang dijumpai di tebing sungai kepada pegawai Polis bernama Nazrul, lantas membuatkan kesemua pegawai polis berlari ke arahnya termasuk aku. Aku terperanjat kerana rantai itulah yang tadi dipakai oleh Rafflesia.

"Adakah dia membunuh diri dengan terjun ke dalam sungai. Tapi mengapa... Apa yang telah berlaku kepadanya sedangkan tadi dia begitu ceria bersama aku." Aku terus tertanya-tanya. Berbagai-bagai teori melintasi minda ini... "Ha!! itu dia..." jerit seorang pegawai polis sambil menghunuskan cahaya lampu suluh ke arah satu tubuh separuh bogel yang terkulai layu.

Aku hampir pitam melihat keadaan itu... Baju putih yang sama dipakai oleh Rafflesia tadi, kini koyak dan berlumur darah. Kami semua mendekati tubuh itu.. ternyata baunya amat busuk sekali. Aku menutup hidung tetapi pegawai polis yang lain hanya bersahaja. Mungkin mereka sudah biasa dengan keadaan dan bau sebegini.

Setelah mengambil gambar mereka terus mengangkat tubuh yang tersadai di tebing sungai naik ke atas. Aku terus menghampiri tubuh itu. Ternyata wajah itu memang wajah Rafflesia... wajah yang begitu sayu sama seperti wajah semasa menemani aku menukar tayar tadi. Tidak semena-mena air mata aku mengalir. Aku hanya menggeleng-gelengkan kepala, tidak percaya dengan apa yang terjadi...

"Encik Danial.." Tiba-tiba Sarjan Nazrul menepuk bahu aku.. "Saya tak bunuh dia sarjan.."Aku bersuara dengan nada separuh menangis secara tidak sengaja... Memang bukan aku yang membunuh dia. Aku tak kenal dia. "Saya tahu... Sebenarnya Noni dilaporkan hilang semenjak 5 hari lalu. Daripada kesan dan keadaan mayat kami percaya ia telah berlaku 4 atau 5 hari lalu. Kami juga percaya dia dirogol sebelum dibunuh..." Sarjan Nazrul menerangkan kepada aku. Pegawai polis lain hanya diam sahaja. "Tapi saya bersama Rafflesia dari Rafflesia Information Center tadi...." Aku memberitahu... "Itu lah kebesaran tuhan encik Danial... Kamu yang baru datang dari semenanjung dipilih tuhan untuk membantu menyelesaikan kes ini..." Beritahu Sarjan Nazrul..

Aku hanya diam... Selalu aku suka untuk melihat keindahan alam sebagai tanda kebesaran tuhan, tapi kali ini misteri Rafflesia ini jelas menunjukkan kebesaran tuhan kepada aku. Tapi kenapa aku??? Kenapa aku yang datang dari jauh beribu batu merentasi Laut Cina Selatan. Itu semua tak mampu aku jawab kerana yang pasti itulah ketentuanNya.

Cinta si Rafflesia walaupun seketika tapi sungguh bermakna. Mungkin inilah kali pertama dan terakhir aku menjejakkan kaki di bumi Sabah kerana Misteri Rafflesia begitu misteri hingga menyebabkan aku hampir gila. Bermulanya dengan kekecewaan aku dengan Lin, lantas disuburi dengan tarikan Rafflesia yang palsu dan disudahi dengan tragedi yang sungguh ngeri...

Ternyata Misteri Rafflesia ini akan menjadi satu misteri sepanjang zaman bagi diriku. Misteri inilah yang lebih mendorong aku untuk terus menghayati akan kebesaranNya. Sesungguhnya kelahiran itu misteri, segala kehidupan itu misteri dan kematian itu juga misteri, namun selagi kita percaya dan yakin dengan sepenuh hati tentang kekuasaan yang Maha Esa, semuanya bukanlah misteri kerana baginya semuanya amat mudah. Hanya 'Kun Fayakun...'