Monday, September 1, 2008

HATI KIAN SEPI. : BAB 1

Bulan Ramadan memasuki hari yang ke tujuh hari ini. Bulan yang penuh keberkatan dan cucuran rahmat tuhan bagi mereka yang sanggup berkorban untuk mendapatkannya. Tuhan begitu Pemurah mengurniakan Ramadhan kepada Ummat Muhammad untuk peluang menambah bekalan pahala sebanyak yang mungkin.

Mungkin jika 11 bulan yang lain kita begitu lalai dengan kehidupan duniawi, Ramadhan adalah kurniaan tuhan untuk manusia kembali kelandasan mencari erti kehidupan yang sebenar. Hidup sebagai hamba yang hanya menumpang nikmat dunia yang hanya sementara. Begitu singkat jika dibandingkan dengan akhirat yang kekal abadi. Namun manusia seperti aku begitu lemah dan selalu lalai dengan semua itu. Kadang terlupa kepada tujuan hidup sebagai khalifah di muka bumi ini lalu begitu ego mencari kebahagiaan dunia semata sedangkan apa yang tuhan perintahkan adalah mencari kebahagiaan duniawi untuk bekalan di akhirat. Aku selalu tertipu. Mungkin itulah yang dinamakan nafsu. Nafsu yang mengawal diri melebihi akal fikiran yang waras.

“Wani… Mak tak larat nak pergi ke surau malam ni. Wani pergilah sendiri” Suara ibu begitu lemah malam itu. Jauh di sudut hati aku beranggapan ibu terlalu lemah kerana gagal melawan sedikit ujian tuhan demi menunaikan solat terawih secara berjemaah di surau yang terletak hanya kira-kira 500 meter dari teratak kami. Nyata perasaan itu begitu zalim. Mungkin perasaan sebegitu merupakan suatu kesalahan yang amat besar bagi seorang anak seperti aku. Aku begitu zalim menganggap ibu sebegitu.

Aku pergi ke surau bersendirian malam itu. Memang aku menyedari Solat Teraweh merupakan sunat Muakat bagi ummat Islam. Aku juga sedar aku sebenarnya tidak perlu pergi ke surau untuk menjalani ibadah ini kerana tempat paling afdal bagi seorang wanita mengerjakan solat adalah tempat di mana dia tidur. Namun surau itu begitu sebati dengan hidup aku setiap kali Ramadhan menjelma.

Semenjak kecil lagi ayah sudah membiasakan aku dan ibu mengerjakan terawih di Surau itu. Setiap Ramadhan ayah akan memimpin penduduk setempat menunaikan ibadah terawih ini secara berjemaah agar ia dapat ditunaikan dengan lebih tersusun, muafakat dan berkat. Aku begitu bangga dengan ayah yang merupakan seorang pemimpin, seorang imam, seorang ketua yang membawa jemaah sujud mengadap Ilahi, Tuhan yang maha Berkuasa. Ayah adalah sumber inspirasi yang sentiasa menunjukkan jalan kebenaran yang begitu lurus.

Namun langit tidak selalunya cerah. Air di kali tidak selalunya tenang. Kadangkala seketul batu yang sungguh kecil saja bisa menghasilkan gelombang apabila dicampak ke dalamnya. Begitu juga keluarga kami. Entah kenapa, Ayah seorang yang penuh dengan tanggungjawab dan kasih sayang semakin hilang pertimbangan. Pernikahannya buat kali kedua terus menyentap kebahagiaan keluarga kami.

Memang ibu sendiri yang merestui pernikahan itu. Namun madu yang diberi dibalas dengan racun yang sungguh berbisa. Ayah bagai dirampas dari keluarga kami. Kebahagiaan semakin pudar. Semakin lama ayah semakin menjauhi keluarga kami dan akhirnya ayah langsung membiarkan keluarga begitu saja. Aku dibiarkan tanpa kasih sayang. Ibu pula dibiarkan tergantung tanpa bertali. Entah apa status perkahwinan antara ayah dan ibu.

Ibu redha saja dengan apa yang berlaku. Raut wajahnya tetap tenang namun luka di hatinya tiada siapa yang tahu. Kesabaran ibu memang tiada tandingannya. Cintanya terhadap ayah begitu kental. Tidak sekalipun dia menuntut untuk berpisah walaupun mereka sudah tidak bersama sejak sekian lama. Tidak seperti wanita lain yang begitu mudah terpesong oleh sedikit saja usikan nafsu syaitan durjana. Sedikit ujian saja sudah sanggup berlaku curang dan menderhaka kepada seorang suami yang baik, yang bertanggungjawab kepada keluarga. Sungguh menyedihkan.

Penderitaan yang ibu tanggung begitu lama. Penderitaan yang seolah-olah memakan diri sendiri. Mungkin aku sebagai anak juga sebenarnya begitu zalim kerana gagal memberi keceriaan kepada ibu. Malah aku sendiri yang selalu menyakitkan hatinya. “Oh tuhan, sempena Ramadhan ini kau ampunilah dosaku kerana selalu melukakan hati ibu”

20 rakaat Terawih aku laksanakan malam ini ditambah 3 Rakaat solat Witir sebagai solat penutup malam. Bunyi surah yang dibaca di setiap rakaat oleh imam yang menggantikan ayah begitu mengusik hati. Begitu sayu. Teringat kembali ayah yang dulu mengaturkan suaranya yang lunak melagukan Ayat-Ayat Suci tuhan. Teringat kembali kebahagian lalu yang kini semakin hilang. Tinggallah aku dan ibu berdua kececeran…

Semenjak ayah tiada ibu adalah segala-galanya bagiku. Dia tempat aku bermanja, bermesra dan mengadu segala susah dan senang. Jika aku kecewa dia akan menangis, jika aku ceria dia akan tersenyum, bila aku gembira dia pasti akan tertawa. Dua tubuh yang berbeza tapi punyai hati dan jiwa yang bersatu.

Aku begitu bersyukur kerana tuhan mengurniakan aku ibu yang sebegitu baik. Sentiasa mengajar aku ke arah kebaikan tidak seperti ibu yang lain yang sering mengajar anaknya ke arah kelalaian. Kelaian yang semakin menjajah kehidupan manusia hari ini dalam keadaan yang langsung tidak disedari. Itulah permainan Yahudi…

Aku melangkah longlai pulang bersendirian. Tidak berteman seperti selalu. Dulu kami bertiga, selepas itu kami berdua dan hari ini aku sendiri. Mungkin hari esok dengan takdir tuhan kami akan bersatu semula. Jika itu tidak berlaku di dunia yang fana ini aku harapkan ianya akan berlaku di akhirat kelak. Insya Allah.

“Ibu… buka pintu… Wani dah balik…” Suara aku langsung tidak bersahut. Berkali-kali aku memanggil ibu namun ibu terus diam. Aku memutarkan tombol pintu namun ia berkunci. Aku mengalihkan pasu bunga dan mengambil kunci pendua yang sentiasa disimpan di situ. Aku terus menerjah masuk namun keadaan terus sunyi sahaja. Langsung tiada kelibat suara ibu.

Aku meluru ke bilik. Ku lihat ibu begitu lena tidur. Lega hati aku seketika. Wajahnya begitu manis penuh dengan senyuman walaupun pigmennya sudah agak lusuh dengan usia mencecah 55 tahun. Wajah seorang isteri yang sentiasa mendoakan kesejahteraan suaminya walaupun telah ditinggalkan. Mungkin itulah wajah orang yang diberkati tuhan. Di dunia lagi sudah jelas ‘Nur’ yang terpancar, moga nur itu bisa kekal hingga membawanya ke pintu Syurga.

“Bangun ibu… Wani dah balik… Mari kita makan.” Aku cuba membangkitkan ibu. Memang rutin itu yang kami lakukan selepas menunaikan ibadah terawih. Tapi hari ini ibu terus kaku, membisu tidak bersuara. Aku melekatkan telingga pada dada ibu. Nadiku berdetap kencang. Jantungku berdengut laju. Namun ia berlawanan dengan ibu. Jelas sudah tiada lagi degupan jantung ibu. Senyap dan sunyi saja…

Air mataku terus mengalir. Lemah dan kaku seluruh tubuh ini. Bagai ada suatu kuasa yang menyentap semangat ini membuatkan aku terus layu. Aku tak mampu mengangkat kembali kepala sendiri. Aaku sedar ibu telah pergi tetapi aku begitu sukar untuk aku menerima hakikat itu. Jika ayah tinggalkan aku dengan cara yang begitu perlahan tapi ibu tinggalkan aku dengan begitu drastik. Begitu cepat secara tiba-tiba. Langsung tiada pesanan. Aku terus longlai.

“Ibu.. maafkan Wani ibu…Maafkan Wani” aku begitu bersalah. Tadi aku tinggalkan ibu bersendirian demi mencari pahala yang lebih. Aku lebih pentingkan diri sendiri. Padahal bukanlah suatu keutamaan bagi wanita seperti aku menunaikan Terawih di surau. Apalagi meninggalkan ibu yang sedang dalam keadaan begitu.

Mungkin ibu begitu nazak menuju akhir nafasnya. Aku tiada di sisinya di saat itu. Tak mampu aku berikannya kekuatan. Tak mampu aku mengajarnya mengucapkan kalimah-kalimah Allah di hujung hayatnya. Tak mampu aku melindunginya dengan Ayat Allah bagi menepis gangguan syaitan yang begitu kuat di kala sebegitu. Aku begitu hampa…

“Ya Allah… Ampunilah hambamu yang zalim ini…” Memang aku berasa begitu zalim terhadap ibu. Ibu yang telah mengumpulkan seluruh kudrat meneran untuk melahirkan aku. Ibu yang telah menyalurkan susu demi menyambung nafas aku hari demi hari. Ibu yang begitu sabar melayan kerenah kedegilan aku demi membesarkan insan ini. Tapi hari ini aku zalim apabila merasakan ibu terlalu lemah kerana tidak mampu melawan dugaan untuk menunaikan solat terawih. Aku zalim kerana meninggalkannya dia sendirian. Tak sempat aku memohon ampun kepada ibu kerana kezaliman aku itu. Moga tuhan akan memberi keampunan kepada aku dari kesalahan yang begitu besar terhadap ibu. Aku hanya berserah padaNya.

Aku menguatkan diri untuk mengangkat kepala. Ku pandang wajah ibu. Pucat lesu namun tetap tersenyum. Masih manis seperti biasa. Wajah yang pasti akan aku rindukan selamanya selepas ini. Inilah peluang terakhir aku menatap wajah ibu. Tiada lagi selepas ini. Esok Ibu akan dimandikan, akan dikapankan dan kemudian akan disemadikan. Selepas itu aku pasti akan bersendirian. Dulu aku sepi tanpa kasih sayang ayah, kini kesepian itu pasti lebih mencengkam tanpa belaian ibu.

Aku bangkit menguatkan semangat. Aku terus menuju ke almari baju mengambil kain batik yang terlipat rapi di susunan rak. Aku koyakkan kain batik itu kepada beberapa bahagian. Satu bahagian aku jadikannya sebagai tali untuk mengikat dagu dengan ubun-ubunnya agar mulut ibu sentiasa terkatup. Perlahan aku mengelak kain batik ibu yang masih tersimpul di bahagian pinggang. Kemudian aku menarik seluar dalamnya yang masih terletak dan mencuci kemaluan serta duburnya kalau-kalau ada najis yang terkeluar di saat nyawanya disentap oleh malaikat maut sebentar tadi.

Kemudian lebihan kain batik tadi aku lipat-lipat dan aku sarungkan sebagai cawat. Aku terus menyalinkan pakaian ibu satu persatu. Di bahagian yang agak tersembunyi aku leretkan bebola pewangi. Kemudian aku sapukan sedikit bedak di bahagian dada, tangan, leher dan mukanya. Mungkin inilah kali pertama dan terakhir aku melakukannya terhadap ibu. Itupun setelah ibu hanya tinggal jasadnya saja, kaku tidak bernyawa. Rasanya tak terbalas jasa ibu yang telah melakukannya beribu-ribu kali terhadap aku. Akhir sekali aku ambil kain batik lepas lalu aku selimutkan keseluruhan tubuh ibu hingga menutupi permukaan mukanya menandakan ibu telah pergi buat selama-lamanya. Hati ini semakin sayu...

Aku terus ke bilik air untuk mengambil wuduk yang tadinya telah terbatal. Kemudian aku ambil senaskah Kitab suci Al-Quran dan aku terus duduk bersimpuh di sisi jasad ibu yang terbaring kaku di atas katil. Aku terus membacakan ayat-ayat suci Al-Quran sebagai sedekah untuk ibu sebelum dibawa pergi esok. Biarlah aku sendiri saja menemankan ibu buat kali terakhir malam ini kerana sebelum ini sekian lama ibu telah menemankan setiap malamku…

Itulah hakikatnya hati. Bila masih bersama kita jarang merasakan kehadirannya di sisi tetapi bila ia pergi meninggalkan kita, barulah kita sedar, barulah kita akan benar-benar merasa kehilangan. Hari ini aku begitu merasai kehilangan ibu. “Ibu… Hati ini semakin sepi….”

5 comments:

Anonymous said...

Tq bagong kerana kembali dengan cerpennya. Selalu Bagong tulis cerita hepi. Kali ni cerita sedih. Bagong sedang susah hati ke?

Anonymous said...

Cepat sket abiskan citer nih.

Anonymous said...

Bagong... sedih nya cerita ni... tak sabar aku nak tunggu episod seterusnya...

Anonymous said...

Sedih.. Sgt susah utk tidak menangis di hujung cerita (bahagian ni). Saya suka! byk pengajaran spjg cerita..

Anonymous said...

hmm.. gud story.. penuh keinsafan.....