Pak Leh termenung di mata tangga. Berkain pelekat, kadang tersengih kadang masam mencuka. Macam orang gila lagaknya. Dia keliru sama ada ingin tersenyum atau bermuram durja. Mana tidaknya sebagai ketua kampung Kepala Botak dia patut berbangga dengan kejayaan menjadi johan pertandingan Desa Wawasan peringkat kebangsaan. Padahal baru 3 bulan dia menjawat jawatan itu, dalam masa yang sama baru 2 minggu kehilangan isteri tercinta.
Ucapan tahniah tak henti dihambur oleh ketua-ketua kampung berdekatan, Tok Penghulu, Pegawai Daerah malah Menteri Besar sendiri. Sebenarnya kejayaan itu bukan hasil mutlaknya, sengaja ketua kampung yang lama Pak Mahdi melepaskan jawatan kerana telah capai takat umur pencen ketua kampung iaitu 65 tahun. Lagak Pak Leh macam superstar. "Kerana aku lah kampung ini berjaya..." Wah... semakin besar lubang hidung Pak Leh. Sekali menghembus nafas umpama kerbau berdengus... kalau dua kali tak ubah serombong kapal laut yang mahu berlepas dari pelabuhan.
Sebenarnya Pak Leh umpama tong kosong. Bunyinya kuat isinya kosong. Selama ini Mak Endan isteri Pak Leh banyak membantu Pak Leh dalam memberi dorongan malah seperti penasihat peribadi Pak Leh. Namun sakit buah pinggang Mak Endan akhirnya membawa maut. Kasihan Mak Endan... Kasihan Pak Leh.... Termenung
Pak Leh sebelum ini nampak bagus orangnya. Dulu masa Mak Endan ada, lembut bahasa Pak Leh. "Jangan kerja untuk saya, tapi kerja bersama-sama saya", "Saya terbuka untuk terima teguran...", "Marilah kita sama-sama hapuskan rasuah..." Itulah antara laungan Pak Leh yang sentiasa mendapat tepukan orang kampung. Biasalah tong kosong.
Bila saja Mak Endan meninggal, Pak Leh tiba-tiba berubah sikap. Ganas macam harimau lapar. Hinggakan pernah sekali apabila mantan ketua kampung Pak Mahdi menegur kerana Pak Leh enggan meneruskan projek membina titi di hujung kampung, Pak Leh terus melenting.... "Jangan dengar kata-kata iblis.." Bentak Pak Leh keras. Kemudian apabila Pak Sahir menegur Pak Leh agar lebih hormat kepada pemimpin lama, Pak Leh terus memecat Pak Sahir dari JKKK kampung lantas meletakkan anak menantunya Khairudin sebagai pengganti. Padahal siapalah Khairudin tu, budak mentah hingusan bermata cemeh sebelah. Tong kosong kuasa dua.
Khairudin merasakan dirinya pejuang bangsa, tapi habis penduduk kampung bertelagah kerananya. Akhir sekali abang Hashim Din ketua Pemuda Caw juga yang menjadi pendamai. Semenjak penyingkiran Pak Sahir itu, tiada siapa berani melawan kuku besi Pak Leh. Pak Leh dan menantu buatlah apa saja, tiada sapa berani menentang. Bila orang kampung bertanya pada JKKK... kenapa kamu semua diam dengan tindakan gila Pak Leh... mereka hanya jawab "Kami sokong Pak Leh..." Macam dalam cerita P. Ramlee, Pendekar Bujang Lapok orang tanya apa pun dia jawab "Dugaan..." dan cerita Madu Tiga "Kesian.." He eh!!... disampuk anggau agaknya. Pemimpin ala burung kakak tua.
Sikap bermuka-muka JKKK kampung bukanlah rahsia lagi. Mereka menentang sebenarnya tapi tak berani untuk bersuara. Maklumlah... telur tak cukup masak... masing-masing nak jaga telur sendiri tak mau kasi pecah. Di depan Pak Leh mereka menjerit "Cemerlang... Gemilang... Terbilang.." Tapi di belakang Pak Leh mereka berbisik "Jahanam... tembelang.. temberang.." Kesian Pak Leh. Mana tidaknya... manusia sementah mat rempit, minah rempit malah rempit junior pun dengan selamba bagi komen... "Apa ke bodoh Pak Leh buat macam tu..." Adakah patut dia tak pergi mesyuarat bersama Menteri Besar semata-mata melayan perlawanan bola jaring anjuran Khairudin anak menantunya. Depan Pak Leh semua tepuk... belakang Pak Leh semua ludah. Itulah hakikatnya kepimpinan di bawah Pak Leh.
Sedih sebenarnya keadaan Kampung Kepala Botak semenjak kematian Mak Endan. Umpama lalang tidak bertebas. Dari jauh nampak cantik tapi dari dekat sungguh hancur, punah… ranah. Nak dekat pun gatal. Pak Leh pula asyik-asyik termenung saja. Tak tau lah termenung sedih atau berangan nak kawinkan Si Milah janda. Pernah sekali dalam mesyuarat JKKK, Pak Ajib bertanya kepada Pak Leh. "Macam mana nak atasi kemasukan sayuran asing ke kampung kita ni... harga diorang murah sampai habis sayur penduduk kampung tak laku..." Tiba-tiba dengan mata yang terkebil-kebil macam katak kena jirus Pak Leh menjawab "Saya tak fikir akan kawin lagi... Mak Endan tiada gantinya..." Tercengang JKKK kampung semua. Mereka semua berpandangan sesama sendiri kemudian tersengeh lalu bersorak "Hidup Pak Leh... Kami sokong Pak Leh..." Tapi dalam kepala otak meraka berkata "Apa punye bangganglah kata-kata Pak Leh tu... Tidur saja tau"
"Eh Milah... kau layan saje lah Si Pak Leh gatal tu... bukan kau tak tau dia gilakan kau... untung kalau jadi suami kau Milah... kaya orang tua tu.. Alah.. paling kuat 5 tahun je orang tua tu... lepas tu kau janda lah balik.. tapi kau dah kaya masa tu Milah oiii... " Mak Cik Peedah beri cadangan pada Milah, janda genit kampung seberang. Mana tak nya, makcik Peedah pun memang gila duit.. dalam mata nampak ungu je. Pak Leh memang kaya raya sekarang ni. Maklumlah duit hadiah kemenangan kampung ada RM 500 ribu. Tapi bila orang kampung mahukan pembangunan Pak Leh selalu jawab... "Mana ada duit.. duit dah dihabiskan Pak Mahdi sebelum letak jawatan..." Manalah Pak Mahdi tak sakit jantung.
Bila saja Pak Mahdi bersuara... dikatanya Pak Mahdi penipu... Apa susah, Pak Leh sebagai Ketua kampung... dia juga bendahari kampung... dan dia juga pegang Pengerusi Biro Keselamatan kampung... jadi kuasa mutlak terletak padanya...
Milah akhirnya setuju dengan cadangan Mak Peedah. Lagipun dia kasihan dengan keadaan kampung yang semakin teruk. Peniaga banyak yang gulung tikar bila banyak sangat sayuran luar masuk tanpa sekatan... Syarikat besar yang berjanji nak buka cawangan kilang kat kampung pun dah tarik diri. Mungkin perkahwinannya dengan Pak Leh dapat menaikkan martabat Kampung Kepala Botak... Siapa tau...
Berita perkahwinan Milah dan Pak Leh yang pada mulanya hanya umpatan orang kampung kini tersebar luas apabila Pak Leh sendiri membuat pengumuman dalam satu mesyuarat PIBG sekolah. "Saya sungguh sedih dan amat terharu dengan kemerosotan keputusan peperiksaan UPSR yang lalu. Oleh yang demikian, saya ingin mengumumkan perkahwinan saya dengan Milah janda Genit pada hari sabtu hadapan." Seperti biasa ucapan Pak Leh mendapat sorakan dan tepukan gemuruh oleh JKKK serta AJK PIBG. "Kami sokong Pak Leh..."
Berita perkahwinan itu tiba-tiba menjadi sensasi hinggakan papan kenyataan kampung pun terpampang muka Pak Leh dan Milah sambil tertulis "Semoga berbahagia Pak Leh dan Milah..." di pintu masuk kampung pula tergantung kain rentang sebesar 5 meter berbunyi "Milah Kampung Seberang Srikandi kampung Kepala Botak." Milah tiba-tiba menjadi popular umpama gadis yang baru menang rancangan realiti TV. Sebenarnya seluruh penduduk kampung bergembira. Harapan mereka, Milah akan mengembalikan kewibawaan Pak Leh yang disanjung tinggi sebelum ini.
Mungkin juga dengan kehadiran Milah, hubungan intim Pak Leh dan Khairudin dapat direnggangkan sedikit. Sekurang-kurangnya hasutan-hasutan nakal Khairudin yang tamakkan harta dapat ditapis oleh Milah. Maklumlah darah muda. Seluruh kampung mengharapkan Pak Leh kembali sebagai seorang pemimpin yang dilihat bersih dan disegani.
Sekarang semuanya terpulang kepada Milah. Mungkinkah Milah dapat menyedarkan Pak Leh yang terus tidur. Bolehkah Milah bertindak sebagai penasihat sepertimana yang dimainkan oleh Mak Endan. Jelas kini penduduk kampung sudah muak dan malu dengan tindak tanduk Pak Leh yang semakin melalut. Kepercayaan penduduk kampung terhadap kepimpinan Pak Leh harus dikembalikan segera menjelang pemilihan ketua kampung yang akan datang.
Di saat inilah Milah perlu memainkan peranan sebaiknya. Milah… kehadiranmu persis mutiara. Persoalannya… Adakah mutiara ini akan membawa kegemilangan kepada kepimpinan Pak Leh atau pun mutiara ini akan membuatkan Pak Leh terus hanyut dilamun tidur yang semakin indah. Lantas meng’qadak’
1 comment:
Power bro ko punye cerpen. Cite bodo tapi menarik. Kena tepat kat dahi. Lu ahli politik sejati bro. Ko ni mesti edutated person. Tahniah!!!
Post a Comment