Saturday, August 11, 2007

1001 ALASAN.

Saya tak ada masa...
Saya sibuk...
Saya tak suka...
Saya tak pandai...
Saya tak minat...

Itu adalah contoh alasan yang biasa diberikan. Alasan yang hanya akan menjatuhkan diri sendiri. Yang akan meletakkan diri semakin lemah. Lemah berbanding orang lain yang semakin hebat dengan melaksanakan kerja tanpa alasan. Sebenarnya manusia itu memang hebat. Manusia mampu mencipta kapal yang bisa terapung di lautan, jet yang bisa menerjah hingga ke bulan, robot yang bisa melaksanakan tugasan pembedahan. Sesuatu yang tidak pernah terlintas difikiran manusia biasa sebelum ini. Adakah 20 tahun dulu kita terfikir boleh berkomunikasi tanpa wayar dengan orang lain?. Tapi hari ini semua nya begitu biasa bagi kita. Hampir setiap rakyat Malaysia berusia 20 tahun ke atas mempunyai telefon bimbit. Hatta pelajar sekolah pun sudah memilikinya. Semuanya jadi tidak mustahil jika kita ada kemahuan. Jika kita tidak terus menolak dengan memberi 1001 alasan. Kita perlu terus berusaha untuk mencapainya.

Dia boleh lah... dia pandai bercakap...
Dia boleh lah... dia rajin...
dia bolehlah... ayah dia kaya...

Itu antara alasan bagi orang yang ingin melarikan diri dari berusaha. Orang yang berjaya perlu berusaha bersungguh-sungguh dan sanggup menempuh pelbagai kesukaran, rintangan dan kesakitan. Orang yang tidak mahu berjaya tidak perlu itu semua, mereka cukup dengan memberi alasan, hanya dengan meluahkan satu ayat. Ianya begitu mudah. Kadangkala jalan yang terang sudah terbentang, tapi kita ambil mudah dengan memberi 1001 alasan. Begitulah kita. Mudah menafikan kekuatan yang diberikan tuhan kepada kita. Bila kita gagal dalam pelajaran, kita terus beranggapan kita seorang yang tidak pandai. Kita malu untuk berkata-kata dan terasa diri terlalu kerdil. Pandai, petah berkata-kata, berkeyakinan... bukan lah boleh hadir dengan serta merta. Ia hadir dari latihan yang berulang dan usaha yang tidak mengenal jemu. Sama ada kita mahukan itu semua atau mengambil jalan mudah dengan member 1001 alasan. Adakah seorang pemain bola sepak yang hebat boleh hebat dengan hanya 6 bulan bermain bola?. Mereka mengasah bakat mereka bertahun-tahun lebih dari 5 tahun. Berlari setiap hari, berlatih menendang, menahan bola, menanduk dan berlatih meningkatkan stamina supaya boleh beraksi dengan cergas selama 90 minit dan lebih. Latihan yang berterusan yang menyebabkan mereka hebat. Bakat tanpa latihan tidak akan kemana. Jangan mudah memberi alasan!!!

Penat lah kerja...
Kerja banyak... Gaji tak naik...
Kerja tiap-tiap hari tapi takde bonus...
Gaji lambat masuk... Takde mood nak kerja..
Memang gaji naik.. tapi beban kerja bertambah...

Itu antara keluhan yang biasa diluahkan. Sebenarnya orang yang suka memberi alasan memang suka mengeluh. Mengeluh adalah satu cara yang paling mudah untuk tidak perlu berusaha dan menyalahkan orang lain. Kita suka mengambil jalan yang mudah, tidak berusaha untuk mengubah kehidupan lalu menyalahkan orang lain apabila kita dalam kesukaran. Orang yang berjaya akan mengambil apa saja peluang yang melintasi dirinya, tetapi orang yang gagal akan sentiasa memberi alasan dan mengeluh. Peluang yang datang bukanlah boleh ditelan begitu saja. Ia perlu diuli, dimasak untuk menjadi satu kejayaan yang hebat. Itulah yang dipanggil usaha. Tapi jika malas dan tidak mahu berusha, awal-awal lagi kita sudah membiarkan peluang itu berlalu dengan hanya memberi 1001 alasan dan kejayaan tidak akan muncul selamanya.

Buat apa susah-susah... cukup bulan gaji masuk...
Cukup lah tu.. apa nak lagi...

Sebenarnya ramai diantara kita yang lebih selesa bekerja di bawah telunjuk orang lain. Tapi selepas itu mengeluh pula dengan apa yang diterima. Tidak bersyukur dengan apa yang diterima. Mentaliti kita bila kita belajar adalah untuk bekerja. Belajar setinggi mana pun tujuan untuk hanya menjadi kuli. Akhir sekali, bangsa asing datang ke negara kita untuk menyediakan kerja kepada rakyat kita. Kita hanya menerima apa yang diberikan kepada kita, tapi tidak pernah mahu mencipta peluang kepada orang lain. Suka mengambil jalan mudah. Kita boleh lihat berapa banyak kedai makan yang dipunyai oleh bangsa asing yang dibuka di Malaysia. Kita boleh lihat pembekal pakaian yang kini dikuasai oleh orang Pakistan walaupun dulunya mereka hanya menjual karpet dari rumah ke rumah. Namun nasib kita sungguh baik sebab kita masih punya kerajaan yang mampu menyediakaan pekerjaan dengan gaji dan kemudahan yang hebat walaupun mutu kerja tidak seberapa. Jika tidak kerana itu... manalah perginya orang-orang Melayu kita.

Ah!! cakap senang lah....

Cakap pun bukan senang.. tidak semua orang boleh bercakap atau memberi idea yang baik. Yang penting kita tidak perlu negatif. Kita perlu positif dalam apa juga tindakan. Fikirkan setiap kata-kata yang diterima dengan positif. Peluang yang ada perlu di fikirkan jangan terus dibuang dangan 1001 alasan. Jika ianya ternyata baik, ambillah ia dan berusahalah untuk mencapainya. Berusaha bersungguh-sungguh tanpa penat dan jemu, dengan sepenuh kudrat. Andainya semua itu dilakukan namun kita gagal, barulah kita paham apa yang dikatakan takdir Tuhan.... Tapi, percayalah di setiap lorong yang gelap pasti ada cahaya yang terang dipenghujungnya andai kita yakin dan bersedia itu menempuhnya. Berbekalkan matlamat yang jelas, tekad yang jitu dan semangat yang tidak luntur... Kejayaan pasti akan menjelma...

Memang mudah untuk hidup mudah. Tidak perlu berusaha cukup dengan memberi alasan. Tapi bukan senang untung hidup senang. Tiada alasan untuk kita. Apa saja perlu kita lakukan tanpa sebarang alasan.

Orang yang berjaya sukar untuk memberi alasan. Segalanya mungkin....

SELAMAT BERJAYA!!!! HINGGA KE PUNCAK.

No comments: